SHAH ALAM: Julung kalinya, Majlis Malam Aspresiasi Usahawan Agrogems dan Industri Asas Tani Selangor 2018 telah meraikan kejayaan 13 usahawan tani dan usahawan Industri Asas Tani (IAT) dengan pemenang menerima trofi dan sijil serta insentif berbentuk bantuan peralatan.
 
Pemenang-pemenang yang diraikan merupakan sebahagian program Agro Generasi Muda Selangor yang telah bermula sejak tahun 2015 sehingga 2017.
 
Menurut Exco Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib di bawah program AGROGEMS sepanjang tempoh empat tahun program berlangsung telah melibatkan seramai 1,100 golongan muda yang menceburkan diri dalam sektor pertanian sebagai sumber ekonomi utama.
 
"Bermula dari tahun 2015 sehingga 2017, hasil dari program seminar tersebut, kerajaan Selangor telah menyalurkan sejumlah hampir RM1.5 juta kepada seramai 103 penerima yang terdiri daripada pelbagai bidang usahawan tani.
 
"Melalui pemantauan yang dibuat oleh pihak jabatan, laporan yang diterima menunjukkan penerima-penerima bantuan melalui program AGROGEMS untuk tahun 2015 hingga 2016 adalah seramai 65 penerima bantuan," katanya pada Majlis Aspresiasi Usahawan AGROGEMS dan Industri Asas Tani yang diadakan di Wisma PKPS, di sini semalam.
 
Tambahnya hasil usaha tersebut menunjukkan kesan positif di mana data hasil jualan menunjukkan peningkatan sehingga 63 peratus dari sebelum menerima bantuan peralatan dan hanya 6 peratus gagal disebabkan oleh faktor tanah yang tidak disambung penyewaan. -HARAKAHDAILY 24/2/2018

JERAI: Rangka pemerintahan PAS berlandaskan Islam yang telah dipersembahkan dalam dokumen-dokumen rasmi digagaskan mestilah dikemuka oleh ahli PAS supaya menjadi pilihan masyarakat.
 
Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Jerai, Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, ia penting dibawa kepada rakyat Malaysia yang masih berada dalam pentadbiran sekular kapitalis hingga membawa banyak masalah kepada sosial dan ekonomi.
 
Perkara itu dinyatakannya pada Himpunan Jentera Pilihan Raya dan perasmian Markas Operasi MTD Guar Chempedak di Dataran MDY Guar Chempedak, di sini semalam.
 
Serunya, segala beban disebabkan pemerintahan Umno-BN mesti dihapuskan termasuk segala karut marut hanya parti itu boleh memerintah sedangkan PAS telah membuktikan kemampuannya di Kelantan sejak tahun 1990.
 
Dalam perkembangan terkini dilaporkan, Kerajaan PAS Kelantan mencapai lebihan (surplus) sebanyak RM38.76 juta berbanding defisit RM33.47 juta tahun sebelumnya.
 
Ia petunjuk kepada pengurusan kewangan terbaik yang diakui pihak audit ketika belanjawan negara terus menunjukkan defisit hampir 20 tahun, selain agensi Kerajaan Negeri Kelantan turut mencapai banyak pengiktirafan dan penarafan.
 
Ustaz Azam berkata, selain Kelantan, PAS juga menuju untuk mengambil alih pemerintahan negara dari Umno-BN dengan perancangan jelas menerusi Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).
 
Juga tambahnya, Dokumen Hijau dan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) 2051 dan Kerajaan Teknokrat sebagai penyelesaian bersepadu terhadap segala masalah sedia ada.
 
Disebalik semua itu menurutnya, musuh politik PAS pula sedang berpolemik dan bersengketa dengan perbalahan dalaman dan perebutan kerusi sesama mereka. HARAKAHDAILY 24/2/2018

JERAI: Agenda dan pergerakan PAS meluas meliputi semua aspek kehidupan manusia dan tidak terhad kepada politik dengan dukungan ahli daripada pelbagai latarbelakang dan kepakaran.
 
Sehubungan itu, PAS mengendalikan setiap urusan kehidupan dan tidak bermusim semasa pilihan raya di mana semua itu ditunaikan kerana tanggungjawab khalifah tuntutan Allah S.W.T.
 
Demikian dinyatakan Yang DiPertua PAS Kawasan Jerai, Ustaz Musoddak Ahmad pada Himpunan Jentera Pilihan Raya dan perasmian Markas Operasi MTD Guar Chempedak di Dataran MDY Guar Chempedak, di sini semalam.
 
Katanya, hanya PAS satu-satunya parti yang menggerakkan kebajikan, pendidikan, ekonomi dan pelbagai bidang lain menggunakan instrumen siyasah dan dakwah disamping kesepaduan ahlinya.
 
Bermakna jelasnya, PAS juga mempunyai kerja yang banyak di mana semua itu mengarah kepada tekad meletakkan Islam di kedudukan tertinggi iaitu memerintah dan menegakkan kalimah Allah S.W.T.
 
Oleh itu terangnya, peranan dan kesungguhan setiap ahli menyumbang di posisi masing-masing adalah kebaikan dan kebajikan untuk manusia yang pasti mendapat ganjaran pahala di sisi Allah.
 
Ustaz Musoddak juga menyentuh usaha setiap ahli PAS untuk memperbetulkan kefahaman dan kecelaruan masyarakat yang dilanda cabaran oleh tafsiran salah bukan sahaja terhadap politik, tetapi juga agama Islam itu sendiri.
 
Kerana itulah ujarnya, antara tentangan mesti dihadapi dalam menyampaikan mesej Islam itu adalah pihak yang mempengaruhi umat dengan agenda songsang seperti Islam Liberal dan seumpamanya.
 
Tegasnya juga, PAS adalah parti yang menerima semua tanpa mengesampingkan atau bias kepada mana-mana perbezaan agama, budaya atau kaum sebagaimana turut meraikan kaum Tionghua menyambut Tahun Baharu Cina.
 
Menyentuh mengenai PRU14, PAS katanya, akan menghadapi BN dan PH kerana tegas mempertahankan dasar Islam di mana kesungguhan itu bukan kerana duniawi, tetapi atas tuntutan ditaklifkan Allah.
 
Beliau juga berpesan kepada jentera agar berakhlak dan menjaga batas ditetapkan agama dalam gerak kerja, sebagai contoh tidak membalas fitnah dibuat musuh dengan mengadakan fitnah juga. -HARAKAHDAILY 24/2/2018

JERAI: Ahli yang menjadi jentera kepada parti merupakan kekuatan PAS yang berperanan menerang dan memahamkan masyarakat terhadap perjuangan parti Islam dengan penuh hikmah.
 
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Ustaz Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, hikmah sangat berkait dengan ilmu pengetahuan di mana tuntutannya dinyatakan Allah di dalam ayat 125 surah an-Nahl.
 
Perkara itu diutarakannya ketika merasmikan Himpunan Jentera Pilihan Raya dan Markas Operasi MTD Guar Chempedak di Dataran MDY Guar Chempedak, di sini semalam.
 
Semua itu katanya, bertujuan menarik orang ramai kepada PAS di mana dengan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang dipraktik membolehkan penjelasan dilakukan dengan lebih baik dan berkesan.
 
Kerana menurutnya, BPMS juga adalah pendekatan siyasah dakwah yang mementingkan ukhuwah dan silaturahim hingga sasaran menjadi terbuka dan rasional.
 
Beliau mengemukakan contoh isu-isu yang dikemukakan PAS seperti kenaikan kos sara hidup, bukanlah mengenai hanya kalangan pendukung pembangkang, tapi juga ahli Umno.
 
Demikian itu, seruan yang baik, konsisten serta ke arah menjulang syiar dan syariat Islam sebagaimana ayat 208 surah al-Baqarah mestilah diterjemahkan dalam pendekatan mengajak orang ramai kepada PAS.
 
Oleh itu ujarnya, kekuatan jentera yang sedemikian menjadi kecemburuan musuh hingga berusaha melemahkan dengan tohmahan dan fitnah serta putar belit media, namun gagal dengan istiqamah para ahli. -HARAKAHDAILY 24/2/2018

JERAI: Majlis Tindakan Dun (MTD) Guar Chempedak telah mengadakan Himpunan Jentera Pilihan Raya yang dilangsungkan di Dataran MDY, Guar Chempedak, di sini semalam.
 
Himpunan itu sekali gus merasmikan Markas Operasi MTD Guar Chempedak yang disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Ustaz Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi.
 
Kesediaan PAS untuk memenangi Dun tersebut dizahirkan dengan kemeriahan penyertaan ramai pada himpunan itu terutama melibatkan kalangan anak muda yang bersemangat.
 
Mereka telah mengadakan konvoi motosikal dengan seliaan ARC Jerai dari Simpang 3 Singkir melalui 'checkpoint' Kampung Ruat, Pekan Yan Besar, Pekan Yan Kechil, Kampung Titi Serong dan Teroi sebelum berakhir di tapak program.
 
Dr Fakhruddin dalam taujihatnya meniupkan semangat jentera supaya beriltizam untuk bekerja dengan semangat jamaah dan melipatgandakan gerak kerja untuk memenangi undi setiap UPU.
 
Kesiapsiagaan para anggota jentera berikrar menyahut seruan Dr Fakhruddin pula bagaikan diikat kemas dengan penerimaan bendera PAS pada simbolik penyerahan tugas kepada semua wakil UPU.
 
Hadir sama dan turut memberi ucapan rangsangan adalah Yang DiPertua PAS Jerai, Ustaz Musoddak Ahmad dan Timbalannya, Ustaz Mohd Azam Abd Samat serta para pimpinan PAS Jerai. -HARAKAHDAILY 24/2/2018

SEMUA pihak dan semua kaum dalam masyarakat majmuk di negara ini menerima suasana harmoni sehingga kini yang perlu ditingkatkan, bukan melemahkannya. Inilah konsep positif yang ada dalam masyarakat Melayu beragama Islam, sehingga sejahil-jahil kampung Melayu boleh menerima kaum lain kalangan bukan Islam di tengah masyarakat Melayu. Walaupun hanya satu keluarga dan sebuah kedai runcit, bukan Melayu boleh hidup di tengah kampung padat Melayunya sejak zaman berzaman. 

Adapun yang menganut Islam pula dianggapnya masuk Melayu, kerana inilah kesan ajaran Islam yang ada dalam diri mereka, walaupun Islam itu adalah agama bukannya bangsa. Bukan Melayu dan bukan Islam pula sanggup bergaul dan bercakap Bahasa Melayu walaupun pelat tanpa nahunya tetapi tetap bermesra dan bersaudara. Sehingga ada yang berbudaya Melayu walaupun dikekalkan bangsa dan agamanya yang tidak Islam.

Ketika berlakunya Peristiwa 13 Mei 1969, negeri paling tenang dan aman adalah Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Negeri yang banyak pengajian Islam dan paling padat Melayunya. Ini menunjukkan sejahil-jahil mereka tetap memelihara adab yang diajarkan oleh Islam dan cara hidup bermasyarakat majmuk terhadap penganut agama lain. Al-Quran mendidik umat Islam bahawa manusia adalah keluarga besar walaupun berbagai agama dan bangsa. Semuanya daripada Adam dan Hawa. Firman Allah:

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ

أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ (١٣)

 

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan (Adam dan Hawa) dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku kaum supaya kamu bertaaruf (berkenal-kenalan dan saling berhajat antara satu dengan yang lain mengikut konsep bermasyarakat majmuk dan madani). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).

(al-Hujurat: 13) 

Konsep hubungan kekeluargaan manusia diwujudkan bersama konsep dakwah Islam kepada seluruh alam, tanpa paksaan terhadap agama lain, dan mengekalkan bangsa dan budaya masing-masing yang sinonim dengan makna Islam itu sendiri ialah menyerah diri secara ikhlas kepada ajarannya.

Pendekatan cara paksaan adalah membatalkan keikhlasan dan menimbulkan ketegangan. Walaupun wajib berdakwah mengajak manusia semuanya kepada Islam, namun Islam konsisten mewajibkan adil dan memberi hak terhadap semua kaum dan agama dalam masyarakat majmuk dan masyarakat madani.

Adalah menjadi hak yang wajib kepada penganut Islam yang menjadi masyarakat awal dan bersifat dominan dalam negara ini, menegaskan Islam menjadi agama negara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Dalam masa yang sama diberi hak yang adil kepada agama lain yang wajib diamalkan. 

Inilah keputusan yang saksama di awal kemerdekaan berasaskan persetujuan secara demokratik dalam Pilihan Raya Umum Pra Kemerdekaan pada tahun 1955 yang melibatkan Parti Perikatan (Umno, MCA, MIC) dan PAS satu-satunya parti pembangkang yang ada kerusi. Parti-parti yang lain belum lagi dilahirkan. PAS bersama berjuang kemerdekaan daripada penjajah, walaupun berbeza dari segi dasar dan konsep negara, serta berbeza dari segi beberapa pendekatan, namun sama-sama bersetuju menghalau penjajah.

Ketegangan yang mencetuskan Peristiwa 13 Mei 1969 apabila adanya parti yang berlumba menjadi juara fanatik perkauman sehingga mencetuskan ketegangan. Kini ada parti yang ingin meneruskan lagi cara lama yang usang dan tidak patut diulang lagi. 

Mereka bertahan dengan pengundi bukan Islam tanpa menghormati sensitiviti umat Islam, cuba menghidupkan ketegangan agama dan kaum, namun tanpa berpegang kepada apa-apa agama, tetapi menjadikan Islam adalah sasarannya. Caranya tidak konsisten, sama ada ia beragama, berkaum atau tidak atau pragmatik oportunis.

Tindakan parti itu paling lantang dan ke hadapan menentang PAS dalam segala usahanya bagi melaksanakan Islam, walaupun dalam perkara yang tidak ada kaitan dengan penganut bukan Islam. 

Contohnya yang paling berani ialah supaya mengisytiharkan Malaysia adalah negara sekular, berani mencabar ajaran Islam yang sempurna dan menjadi penghalang tegas terhadap usaha PAS memperjuangkan negara Islam secara demokrasi. Cara tersebut menunjukkan langkahnya lantang menyekat perjalanan Islam sehingga kelantangannya terkini lebih daripada sebelumnya, apabila berani menyentuh Perlembagaan Persekutuan dalam perkara Islam, Raja Berperlembagaan, Hak Istimewa Bumiputera dan lain-lain. 

Pendekatannya memperjuangkan konsep ‘Malaysian Malaysia’ ke arah melarutkan kaum dan bangsa serta bahasanya yang sudah menjadi tabii manusia. Cara politik parti itu boleh juga disebut sebagai konsep luar tabii yang mahu memaksa keadaan yang ada selama ini.

Penentangan terbuka terhadap RUU 355 juga adalah langkah yang nyata tidak menghormati hak penganut Islam yang berpegang teguh dengan ajaran agamanya. Parti itu ingin menjadi juara memaksa kalangan bukan Islam supaya bersamanya.

Mereka juga mengambil kalangan penganut Islam yang sanggup menjadi topengnya atau yang bersedia diperalatkan. Namun mereka tetap tidak mampu menyorokkan wajahnya yang sebenar. Topeng juga tidak kukuh dan boleh terkoyak dan dirobekkan bila-bila masa.

Umat Islam tidak sepatutnya dipermainkan, sehingga sekadar dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama Persekutuan, tetapi penganutnya tidak berhak beramal dengan seluruh ajaran Islam, sedangkan penganut agama lain berhak beramal dengan agama mereka.

Kedudukan konsep Raja Berperlembagaan yang dijadikan syiar ketua agama juga dipermain-mainkan. Walaupun ada kelemahan manusianya, tetapi bukan tempat untuk dipermain-mainkan, kerana sepatutnya diperkasakan dengan mengatasi kelemahan manusia, bukan mencari kelemahan untuk dijatuhkan dan merampas kuasanya yang ada. 

Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا أرَادَ اللهُ بِالأَمِيرِ خَيْراً، جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ صدقٍ، إنْ نَسِيَ ذَكَّرَهُ، وَإنْ ذَكَرَ أعَانَهُ، وَإِذَا أرَادَ بِهِ غَيْرَ ذَلِكَ جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ، إنْ نَسِيَ لَمْ يُذَكِّرْهُ، وَإنْ ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ.

رواه أَبُو داود بإسنادٍ جيدٍ عَلَى شرط مسلم . رياض الصالحين (تحقيق الدكتور الفحل) (1/ (383.

 

Apabila Allah menghendaki kepada raja itu baik, nescaya dijadikan bersamanya menteri yang baik. Sekiranya dia terlupa, nescaya diperingatkannya. Sekiranya dia ingat, nescaya ditolongnya. Sekiranya Allah menghendaki kepada raja itu keburukan, nescaya dijadikan bersamanya menteri yang jahat. Sekiranya dia terlupa, nescaya tidak diperingatkan. Sekiranya dia ingat tidak ditolongnya pula

 Dalam masa yang sama, parti itu menyokong pesta arak, hiburan dan gaya hidup bebas yang ditentang oleh semua agama yang menjaga moral manusia. Walaupun agama itu syirik aqidahnya, tetapi tetap sama dari segi menerima akhlak yang mulia, seperti tidak meminum arak, tidak berjudi, melarang pergaulan bebas dan sebagainya. Sepatutnya titik persamaan ini sama-sama dihidupkan, tetapi sengaja dilemahkan semata-mata kerana kepentingan mendapat sokongan politik untuk mendapat kuasa, tanpa perhitungan baik dan buruk, aman dan huru-hara. 

Mereka juga menyatakan tidak senang terhadap beberapa perkara yang membela Melayu dan Bumiputera yang dipinggirkan sejak zaman penjajah dan masih terkebelakang selepas kemerdekaan, tanpa dinafikan pembelaan terhadap kaum lain yang bermasalah, namun Melayu dan Bumiputera paling ramai miskin. Sikap tidak senang ini juga boleh menghilangkan keharmonian masyarakat majmuk.

 Rakyat bukan Islam hendaklah menolak parti itu demi keselamatan semua. Adapun umat Islam diharamkan dengan sekeras-kerasnya sama ada menjadi ahli, penyokongnya atau alatnya, termasuk menjadikannya rakan setia untuk perjuangan partinya apabila nyata sikapnya terhadap Islam, sehingga Allah memberi amaran yang keras dan menjadikannya sebahagian daripada sifat munafik. 

Firman Allah:

بَشِّرِ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمً (١٣٨) ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَيَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعٗا (١٣٩) وَقَدۡ نَزَّلَ عَلَيۡكُمۡ فِي ٱلۡكِتَٰبِ أَنۡ إِذَا سَمِعۡتُمۡ ءَايَٰتِ ٱللَّهِ يُكۡفَرُ بِهَا وَيُسۡتَهۡزَأُ بِهَا فَلَا تَقۡعُدُواْ مَعَهُمۡ حَتَّىٰ يَخُوضُواْ فِي حَدِيثٍ غَيۡرِهِۦٓ إِنَّكُمۡ إِذٗا مِّثۡلُهُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ جَامِعُ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ وَٱلۡكَٰفِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا (١٤٠ )

 

Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: Bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya; (138) (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir (yang bermusuh) itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya). (139) Dan sesungguhnya Allah telah pun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (al-Quran), iaitu: Apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam Neraka Jahannam. (140)  

(an-Nisa’: 138-140) 

 Allah telah menurunkan wahyu al-Quran apabila seorang Sahabat bernama Hatib bin Abi Baltaah R.A, seorang ahli Badar yang mendapat tempat istimewa di sisi Allah kerana dia menyampaikan maklumat kepada musuh Islam semata-mata kerana ingin menjaga keluarganya di Makkah supaya tidak diganggu. 

 Allah berfirman:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمۡ أَوۡلِيَآءَ تُلۡقُونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَقَدۡ كَفَرُواْ بِمَا جَآءَكُم مِّنَ ٱلۡحَقِّ يُخۡرِجُونَ ٱلرَّسُولَ وَإِيَّاكُمۡ أَن تُؤۡمِنُواْ بِٱللَّهِ رَبِّكُمۡ إِن كُنتُمۡ خَرَجۡتُمۡ جِهَٰدٗا فِي سَبِيلِي وَٱبۡتِغَآءَ مَرۡضَاتِيۚ تُسِرُّونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَأَنَا۠ أَعۡلَمُ بِمَآ أَخۡفَيۡتُمۡ وَمَآ أَعۡلَنتُمۡۚ وَمَن يَفۡعَلۡهُ مِنكُمۡ فَقَدۡ ضَلَّ سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ ( ١)

 

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah S.A.W dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah dia dari jalan yang betul. 

(al-Mumtahanah: 1) 

 

Dalam surah ini juga, Allah menetapkan bahawa tidak menjadi salah mengadakan hubungan yang baik dan wajib berlaku adil kepada kalangan bukan Islam yang tidak bermusuh terhadap Islam dan penganutnya. Firman-Nya:

لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ (٨

 

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

 (al-Mumtahanah: 8 )

 Hatib bin Abi Baltaah R.A terus bertaubat dengan ikhlas kerana Allah tanpa merasa marah atau berkecil hati terhadap teguran yang keras daripada Allah dan Rasulullah S.A.W.

Al-Quran adalah petunjuk sepanjang zaman dan mukjizat ilmu yang berterusan sehingga Hari Kiamat. Maka wajiblah kalangan yang bersekongkol dengan parti yang nyata menentang Islam dan bersekongkol bersamanya sehingga berani melakukan apa sahaja yang menghalang cita-cita Islam atau berbelit-belit di jalanan politiknya, supaya kembali ke pangkal jalan.

Umat Islam boleh berbeza pendapat dalam perkara cabang, namun diharamkan berpecah dalam perkara dasar, menyentuh aqidahnya dan mengancam kedaulatan Islam. Kalangan bukan Islam pula wajib menolak rakan mereka yang tidak bermasyarakat madani dan majmuk yang mengancam keharmonian antara kaum dan agama.  

 “Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Bertarikh: 8 Jamadil Akhir 1439 / 24 Februari 2018 - HARAKAHDAILY 24/2/2018

 

AHLI Parlimen Klang dari DAP, Charles Santiago, diketahui merupakan salah seorang penyokong kuat kepada golongan LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual and Transgender).
 
Pada 21 November 2017, Charles memuatkan satu kenyataan bertajuk “Hari Peringatan Transgender: Hapuskan Undang-Undang Mendiskriminasi Terhadap Masyarakat Transgender” (“Transgender Day Of Remembrance: End Discriminatory Laws Against the Transgender Community”) di laman Facebook beliau.
 
Di dalam kenyataan ini, Charles menulis: “Saya menggesa anda menyertai saya di dalam mendesak Kerajaan Malaysia supaya menghapuskan semua peraturan dan undang-undang yang mendiskriminasi terhadap golongan transgender. Dan saya juga menyeru semua jabatan agama negeri, termasuk JAKIM dan JAIS, supaya menghentikan penahanan arbitrari ke atas perempuan transgender (mak nyah).” (“I ask that you join me in requesting the Malaysian government to repeal all laws and regulations that discriminate against transgender people. And I also call on all state religious departments, including JAKIM and JAIS, to end arbitrary arrests of transgender women.”)
 
Saya bagaimanapun tidak memandang terlalu serius kenyataan Charles pada 21 November 2017 ini kerana ia mungkin hanyalah merupakan kenyataan peribadi Charles yang tidak mencerminkan pendirian rasmi DAP, apatah lagi bila kenyataan ini tidak dimuatkan di dalam laman rasmi DAP sendiri.
 
Bagaimanapun, pada 21 Februari 2018, Charles sekali lagi memuatkan satu kenyataan bertajuk “Hentikan Bigotri & Kebencian Terhadap Golongan LGBT” (“Stop Bigotry & Hatred Against the LGBT People”) di laman Facebook beliau. 
 
Pada hemat saya, kenyataan Charles pada 21 Februari 2018 ini perlu dipandang berat kerana ia mengandungi seruan yang lebih meluas daripada kenyataan beliau pada 21 November 2017 kerana kenyataan beliau pada 21 November 2017 sekadar mendesak Kerajaan Malaysia supaya menghapuskan semua peraturan dan undang-undang yang mendiskriminasi terhadap golongan transgender.
 
Manakala kenyataan beliau pada 21 Februari 2018 ini menyebut bahawa “Kerajaan Malaysia mesti menghapuskan semua peraturan dan undang-undang yang mendiskriminasi terhadap golongan LGBT dengan segera” (“the Malaysian government must repeal all laws and regulations that discriminate against the LGBT people without further delay”) kerana “undang-undang yang menjadikan homoseksualiti sebagai satu jenayah, seperti di Malaysia, mendatangkan satu ancaman serius kepada hak-hak asasi individu-individu lesbian, gay, biseksual dan transgender” (“laws criminalizing homosexuality, as in Malaysia, pose a serious threat to the fundamental rights of lesbian, gay, bisexual and transgender individuals”).
 
Lebih serius lagi, selain disiarkan di dalam portal berita Malaysia Kini di bawah tajuk “Bigotri Terhadap Masyarakat LGBT Mesti Dihentikan” (“The Bigotry Against The LGBT Community Must Stop”) pada 21 Februari 2018, kenyataan Charles ini turut dimuatkan di dalam laman rasmi DAP sendiri di bawah tajuk “Hentikan Bigotri & Kebencian Terhadap Golongan LGBT” (“Stop Bigotry & Hatred Against the LGBT People”) pada 21 Februari 2018 yang memberikan gambaran bahawa kenyataan Charles ini mencerminkan pendirian rasmi DAP sendiri.
 
Seperti kita ketahui, di peringkat Pusat, di bawah Seksyen 377B dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan, adalah menjadi satu kesalahan untuk melakukan liwat sama ada secara sukarela (Seksyen 377B) atau secara paksa (Seksyen 377C).
 
Begitu juga di peringkat Negeri di mana adalah menjadi satu kesalahan untuk melakukan liwat, musahaqah (lesbian) dan lelaki berlagak seperti perempuan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-Negeri.
 
Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996 contohnya memperuntukkan bahawa “Mana-mana orang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu”.
 
Seksyen 26 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996 pula memperuntukkan bahawa “Mana-mana orang perempuan yang melakukan musahaqah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu”.
 
Begitu juga dengan Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996 yang memperuntukkan bahawa “Mana-mana lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam atas tujuan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya”.
 
Sepatutnya, jika Charles dan DAP benar-benar serius mahu menghapuskan semua peraturan dan undang-undang yang mendiskriminasi terhadap golongan LGBT dengan segera, maka Charles dan DAP wajib terlebih dahulu mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang menghapuskan Seksyen 25, Seksyen 26 dan Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996 kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah diketuai oleh DAP sendiri, dan bukannya mendesak Kerajaan Malaysia yang tidak diketuai oleh DAP.
 
Sehubungan dengan itu, sangat menarik untuk dilihat pendirian rakan kongsi DAP di dalam Pakatan Harapan, khususnya PAN yang meletakkan di dalam Fasal 3(1) dan Fasal 3(2) Perlembagaannya bahawa “dasar dan tujuan PAN” adalah untuk “memartabat dan menegakkan Islam sebagai dasar perjuangan” dan “mendirikan sebuah negara dan masyarakat madani dengan Islam sebagai rahmat untuk semua (Rahmatan Lil Al-‘Aalameen)”, mengenai sokongan Charles dan DAP terhadap homoseksualiti ini. - HARAKAHDAILY 24/2/2018

TAWAU: PAS Kawasan Tawau meminta pihak berwajib mengadakan pemantauan sewajarnya terhadap tahap keselamatan semua bangunan sekolah di daerah itu khususnya dan negeri amnya.
 
Ia berikutan kejadian kebakaran yang menimpa Sekolah Kebangsaan Sentosa hingga menyebabkan kemusnahan pejabat, bilik guru, pusat sumber, dewan, bilik buku teks dan beberapa kelas Tahap 1.
 
Malah menurut Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Tawau, Daud Jalaluddin, usaha pemantauan sama turut perlu dilakukan ke atas premis milik kerajaan, swasta mahupun persendirian agar ia memenuhi spesifikasi standard pencegahan kebakaran.
 
"Bagi PAS Tawau, kami ucapkan takziah dan turut berdukacita, serta berharap warga sekolah erbabit bersabar dan bertabah atas kejadian. Kami sangat bersimpati, namun syukur tiada kehilangan nyawa. 
 
"Walaubagaimanapun kejadian ini perlu diambil iktibar," ujarnya turut mengenang kejadian kebakaran Bangunan KWSP Kuala Lumpur minggu lalu.
 
Difahamkan sekolah berkenaan menumpang bersebelahan blok Sekolah Kebangsaan Batu 4 dan sepatutnya berpindah mulai 5 Mac ke tapak Sekolah Menengah Kebangsaan Kabota, di sini. -HARAKAHDAILY 24/2/2018
 

KENINGAU: PAS Kawasan Keningau telah melancarkan Tabung Jihad Dana PRU14 dalam satu majlis khas di Pejabat PAS Keningau, One Plaza, di sini kelmarin.
 
Tabungan tersebut diadakan sebagai persediaan PAS Keningau selaku kawasan bantu mendanai keperluan PAS Kawasan Putatan yang akan bertanding pada PRU dengan sasaran sekurang-kurangnya RM9,000 sebulan.
 
Perasmian telah disempurnakan oleh Yang DiPertua PAS Keningau, Abdul Hisham Othman yang dimulai dengan majlis Munajat PRU14 anjuran Jabatan Pilihan Raya PAS Keningau.
 
Abdul Hisham dalam ucapannya menegaskan peranan PAS yang tidak kecil sebaliknya bertanggungjawab untuk menegakkan agama Allah dengan para petugas menjalankan ussha menyampaikan risalah kebenaran.
 
Menerusi pelancaran tersebut, Jabatan Pilihan Raya PAS Keningau menyediakan tabung khas untuk ahli-ahli PAS Kawasan itu membuat sumbangan harian sebanyak RM1 ke arah mendukung usaha tersebut.
 
Sebagai simbolik pelancaran, Abdul Hisham telah menyerahkan tabung tersebut kepada Bendahari PAS Negeri Sabah, Abu Ahmad sebagai komitmen PAS Keningau menjayakan hasrat PAS bertanding di Parlimen Putatan dan Dun Tanjung Aru.
 
Pendukung PAS yang berhasrat untuk turut sams menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank Islamic PAS Kawasan Keningau 5600 9000 1060. -HARAKAHDAILY 24/2/2018

KOLUMNIS

Grid List

ISLAM sebuah cara hidup yang syumul meliputi seluruh aspek kehidupan manusia. Islam adalah akidah, ibadah, muamalah, undang-undang, akhlak, hubungan antarabangsa, politik dan segala yang berhubung dengan kehidupan manusia.

Dewasa ini kita tidak dapat lari dari memperkatakan isu-isu politik umat Islam dan apa jua yang berkaitan dengannya termasuklah memilih pemimpin dan parti politik. Sudah tentu dalam hal ini ada perbincangan dan hukumnya di dalam Islam.

Wajib melantik pemimpin

Hukum melantik pemimpin adalah wajib di dalam Islam. Perkara ini disepakati oleh para ulama dan termasuk dalam persoalan siasah syariyyah. Bahkan tajuk 'nasbul imamah' diletakkan sebagi tajuk akhir dalam kitab kitab akidah seperti al iqtisod fil i'tiqod, jauharatul tauhid dan lain-lain. Imam Ibrahim al-Baijuri menyebut:

ونصب إمام عدل واجب على الأمة عند عدم النص من الله أو رسوله على معين

"Melantik pemimpin yang adil adalah wajib ke atas umat Islam ketika tiada nas dari Allah S.W.T dan Rasul-Nya kepada orang tertentu"

Justeru, kewajipan melantik pemimpin sudah tidak perlu diperbincangkan lagi kerana sudah terang dan nyata.

Tidak penting kerana bukan Rukun Iman?

Akhir-akhir ini banyak kenyataan yang mengelirukan tentang politik dan kepimpinan yang tidak ada tujuan lain selain ingin memisahkan umat Islam dari politik. Antaranya adalah kenyataan bahawa urusan politik bukan rukun iman. Tidak mempedulikan politik tidak menyebabkan seseorang itu murtad dan kafir atau sebagainya. Jika dulu golongan sekular mengatakan politik suku agama suku, maka kini terdapat sebahagian agamawan pula menyeru umat Islam menjauhkan diri dari politik kerana bukan rukun Iman.

Walaupun kenyataan ini benar tetapi amat berbahaya. Ia seolah-olah memisahkan Islam dan politik sedangkan Islam bukan hanya rukun Iman bahkan Islam adalah Iman, Islam dan Ihsan seperti yang dinyatakan dalam hadis Jibril. Jika politik bukan rukun iman maka solat, puasa, haji dan lain-lain juga bukan rukun iman namun adakah bererti tidak wajib solat? Bahkan mengingkari kewajipan solat boleh dihukum murtad dan dibunuh sekiranya tidak bertaubat.

Dalam hal ini Prof Doktor Yusuf al-Qaradawi menyatakan:

"إن مسألة الإمامة عند أهل السنة والجماعة من مباحث الفروع؛ لأنها تتعلق بالعمل لا بالاعتقاد أساسًا، ولكنه استدرك قائلاً: إن هذا لا يعني التهوين من هذا الأمر ؛ لأن الإسلام ليس عقائد فحسب بل هو عقيدة وعمل، وإذا كانت الصلاة مثلاً من الفروع لأنها أعمال لا عقائد، فهذا لا يُخرجها عن كونها من أركان الإسلام، فكذلك الإمامة أو الحكم بما أنزل الله هو من الفروع ولكن اعتقاد وجوبه ولزومه والإيمان بالاحتكام إلى ما أنزل الله في كتابه ومتابعة رسوله هو من الأصول يقينًا، ومن صميم الإيمان".

"Sesungguhnya masalah imamah (pemimpin) di sisi ahli sunnah wal jamaah adalah dari perbahasan cabang agama kerana ia berkaitan amalan bukan akidah secara asas. Namun, kenyataan ini bukan bererti meremehkan urusan ini kerana Islam bukan hanya akidah sahaja tetapi Islam adalah akidah dan amalan. Bila solat contohnya dari urusan furu' kerana solat adalah amalan bukan akidah namun ia tidak mengeluarkannya dari rukun Islam. Begitulah juga persoalan pemimpin dan menjalankan hukum Allah adalah perkara furu tetapi beriktikad bahawa ia wajib dan satu kemestian serta beriman bahawa wajib menjalankan hukum Allah itu sebagaimana dalam Kitab-Nya dan mengikut Rasul-Nya adalah daripada prinsip-prinsip dan asas iman"

Beruzlah kerana ini zaman fitnah?

Antara sikap lain dan seruan yang ada adalah umat Islam mesti beruzlah dan menjauhkan dari fitnah politik. Ini adalah diqiyaskan kepada para Sahabat Rasulullah yang berkecuali dan menjauhkan diri dari terlibat dalam perselisihan antara Saidina Ali dan Saidina Muawiyyah.

Jika kita melihat secara kasar pendirian ini dan seruan kepadanya, ia seolah-olah benar dan ini seumpama jalan yang selamat. Namun, hakikatnya ia bercanggah dengan nas-nas agama dan kalam ulama muktabar walaupun kaedah istidlal hukum yang digunapakai adalah qiyas. Kenyataan ini adalah terbatal kerana:

1.     Punca utama perselisihan para Sahabat bukan dalam soal nasbul Imamah (melantik pemimpin) tetapi ia adalah perselihan tentang cara menuntut balas (qisas) kematian Saidina Osman sebagaimana disebutkan para ulama. Maka jelas qiyas fitnah Sahabat dengan situasi politik adalah qiyas maal fariq.

2.     Ulama ahli sunnah menuntut kita supaya diam dan tidak membincangkan soal perselisihan berdarah para Sahabat bukan supaya kita menjauhkan dari politik. Tujuannya adalah supaya kita tidak mengotorkan lisan kita dengan memburuk-burukkan Sahabat dan mencela mereka (sabbu sahabah). Ini kerana kemuliaan mereka dan ketinggian darjat mereka. Mereka mendapat pahala dalam ijtihad mereka. Imam Syihabuddin Abi Abbas Ahmad Al Ramli seorang ulama muktabar dalam mazhab as-Syafie menyebut di dalam Fathul Rahman bi syarhi zubad ibni Raslan:

وهي يجب سكوتنا عما جرى بين الصحابة رضي الله عنهم من المنازعات والمحاربات التي قتل بسببها كثير منهم فتللك دماء الله طهر الله منها ايدينا..فلا نلوث بها السنتنا كمنازعة معاوية عليا بسبب عدم تسليم قتلة عثمان الى عشيرته ليقتصوا منهم لأن عليا رأى تأخير تسليمهم اصوب"

"Dan adalah wajib berdiam diri dari memperkatakan tentang apa yang berlaku di antara para Sahabat daripada perselisihan dan pertelingkahan yang menyebabkan terbunuh ramai di kalangan mereka. Maka itu adalah darah yang Allah alirkan yang Allah mahu tangan kita suci (tidak mengkotori) darinya. Maka lebih lebih lagi Allah tidak mahu kita mengotorkan lidah kita dengan memburukkan mereka, seumpama Muawiyyah melawan Ali kerana tidak menyerahkan para pembunuh Osman kepada ahli keluarganya untuk di jalankan hukum qisas kerana Ali berpandangan soal tersebut lebih tepat jika dikemudiankan"

3.     Berdiam tanpa melibatkan diri dalam politik akan menyebabkan terabai kewajipan syara dan menolak nas nas wajib melantik pemimpin yang menjalankan syariat Allah yang terang lagi nyata, membiarkan umat tenggelam dalam maksiat dan munkar dan mendedahkan umat kepada bahaya musuh. Kesemua nas ini amat terang dan nyata.

4.     Nas-nas al-Quran dan hadis supaya menjalankan amar makruf dan kewajipan menegur pemipim yang zalim serta menyelamatkan umat Islam yang tertindas. Fitnah membiarkan umat Islam terabai aspek akidah dan syariah amat besar berbanding maslahah menjaga peribadi dari fitnah politik. Imam Al Ghazali menyebut :

الدين اس والسلطان حارس فما لا أس له فهالك وما لا حارس له فضائع

"Agama adalah asas dan dan kuasa politik adalah penjaganya. Maka jika agama hilang akan runtuhlah umat dan jika kuasa politik hilang maka jadi hilanglah kemuliaan umat."

5.     Dengan nas nas yang tidak terhitung banyaknya tentang kewajipan melantik pemimpin yang adil maka qiyas supaya berdiam diri adalah qiyas yang bercanggah dengan nas. Imam Al Ghazali menyebut di dalam kitab al-Mustashfa sebuah kitab usul fiqh :

القياس على خلاف النص باطل قطعا

"Qiyas dengan menyalahi nas adalah batil secara qatei"

6.     Walaupun kita andaikan qiyas ini benar, namun ia tetap marjuh kerana mengikut kaedah usul fiqh, di dahulukan nas di atas qiyas (sekiranya qiyas tidak silap). Prof Dr Abdul Karim Zaidan di dalam kitab Al Wajiz Fi Usuli Al Fiqh menyebut :

يرجح الكتاب او السنة الصحيحة على القياس لان القياس دليل ظني ولا يعمل به في موضع النص.

"Ditarjihkan dalil al-Quran dan sunnah di atas qiyas kerana qiyas merupakan dalil zhonni dan tidak digunakan dalam soal yang terdapat nas Al Quran dan Sunnah"

7.     Zaman fitnah tidak menyebabkan kewajipan melantik pemimpin digugurkan mengikut hukum syara'. Imam Ibrahim Al Baijuri menyatakan :

ولا فرق في وجوب نصب الامام بين زمن الفتنة وغيره..

(حاشية البيجوري على جوهرة التوحيد)

"Tiada bezanya wajib melantik pemimpin ketika zaman fitnah ataupun tidak"

8.     Sekalipun diharuskan i'tizal (menjauhkan diri) ketika zaman fitnah namun sekiranya terdapat jemaah yang berpegang dengan haq maka hukumnya wajib memberi sokongan dan bergabung dengannya. Imam Ibnu Hajar Al Asqolani seorang amirul mukminin dalam ilmu hadis menyatakan dalam kitab Fathul Bari:

المراد من اعتزال الناس زمن الفرقة: ما ذكره الحافظ ابن حجر رحمه الله في الفتح عن الطبري أنه قال: متى لم يكن للناس إمام فافترق الناس أحزابا فلا يتبع أحدا في الفرقة، ويعتزل الجميع إن استطاع ذلك خشية من الوقوع في الشر،

ومتى وجد جماعة مستقيمة على الحق لزمه الانضمام إليها وتكثير سوادها والتعاون معها على الحق؛ لأنها والحال ما ذكر هي جماعة المسلمين بالنسبة إلى ذلك الرجل وذلك المكان.

"Adapun yang dimaksud dengan menjauhi manusia pada saat terjadi fitnah perselisihan adalah seperti yang dijelaskan oleh al Hafiz Ibnu Hajar Rahimahullah dalam kitabnya Fathul Bari dari Thabari bahawa dia mengatakan: Jika tidak ada pemimpin lalu manusia berpecah belah menjadi beberapa golongan, maka tidak boleh mengikuti seseorang dalam golongan tersebut. Dan hendaklah semampu mungkin menjauhi semua golongan, karena dibimbangi akan terjadi keburukan.

Tetapi jika ada jamaah yang tetap berpegang teguh pada kebenaran, dia hendaklah bergabung dan memperbanyak bilangan di dalamnya serta saling tolong menolong dalam menegakkan kebenaran, karena pada saat seperti itu, jamaah dan tempat itu adalah jamaah muslimin bagi orang dan tempat tersebut"

Maka telah terang dan nyatalah kebenaran bahawa wajib ke atas umat Islam melantik pemimpin yang adil dan terlibat dalam proses politik demi menjaga maslahah agama yang lebih utama berbanding masalah peribadi berdasarkan dalil dalil dan nas Al Quran dan Sunnah Nabi S.A.W. Begitu juga seruan agar menjauhkan diri dari politik adalah seruan yang tidak bersandar kepada hujjah yang kukuh.

KHAIRUL ANUAR ISMAIL
Ahli Jawatankuasa
Ikatan lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Kelantan
23 Febuari 2018 - HARAKAHDAILY 23/2/2018

SAYA tidak perlu cerita panjang. PAS pernah memerintah tahun 1999. Saya dilantik menjadi Menteri Besar masa itu, banyak benda yang kita buat. Di antaranya ialah kita hapuskan cukai pintu rumah kediaman. Rumah kediaman tempat duduk di kawasan bandar dihapuskan.

Yang kena bayar cukai ialah hotel, rumah perniagaan sahaja. Walaupun kita tahu penduduk kawasan bandar banyak orang Cina, mereka lebih banyak merasai bagaimana kita hapuskan cukai pintu rumah kediaman. Kerana rumah kediaman adalah rukun hidup manusia, mesti ada rumah. Kita hapus cukai peniaga-peniaga kecik kita hapuskan. Kita beri geran tanah kepada rakyat tidak kira kaum apa termasuk orang Cina.

Di sana ada Kampung Baru Cina di Bukit Berangan, Batu Lima Dungun, di Air Puteh Kemaman, mereka dikurung oleh British dulu di situ. Walaupun kita sudah merdeka, kerajaan tak beri geran tanah sehingga kita memerintah, kita beri geran tanah kepada mereka. Dan kita bantu sekolah-sekolah rakyat termasuk sekolah Cina, sekolah Tamil, kita tolong, ini kerana hak pelajaran, hak pendidikan adalah hak semua manusia menggunakan bahasa dia.

Barangkali tuan-tuan masih ingat bila kita buat banyak perkara ini, kerajaan pusat rampas minyak, rampas royalti minyak petroleum kerana nak cekik, nak halang kita buat benda-benda yang begini. Walaupun demikian kita boleh memerintah sehingga lima tahun. Caranya ialah kita naikkan cukai orang-orang kaya, cukai balak, cukai kilang, cukai orang kaya kita naik, cukai pintu terus kita tak kenakan. Ini cara pemerintahan kita.

Islam mengajar kita kerana PAS ini parti Islam, walaupun kita berbeza agama, berbeza bangsa, manusia semua adalah satu keluarga. Manusia asal daripada Adam dan Hawa, ayah dan ibu yang satu. Kemudian jadi macam-macam bangsa, dan manusia tak boleh hidup bangsa masing-masing, puak masing-masing, mesti ada hubungan tolong menolong di antara satu sama lain. Ada bangsa yang bercucuk tanam, ada bangsa yang berniaga, ada bangsa jadi tukang besi, jadi kilang, macam-macam. Barulah kita boleh hasil pakaian, makanan, dan sebagainya. Walaupun kita berbeza dari segi ajaran agama, halal dan haram, tetapi hak hidup sebagai rakyat tidak ada beza, mesti dilayan dengan adil. Ini pemerintahan yang kita nak perkenalkan kepada rakyat.

Kalau kita diberi kuasa lagi memerintah, banyak lagi benda yang kita akan buat, yang kita akan tunaikan. Dan Islam mengajar pengikut-pengikut dia hat ini orang Islam sungguh bukan Islam tak sungguh, bukan Islam pelawok, Islam yang sungguh-sungguh, di mana saudara kaum Cina, kaum India, merasai bagaimana mereka boleh hidup di kampung Melayu. Boleh berkedai di kampung Melayu, boleh hidup kedai satu keluarga orang Cina, di mana sahaja di tengah kampung Melayu, di Kelantan, di Terengganu, di Kedah, di Perlis.

Ketika berlakunya huru-hara kaum 13 Mei, Terengganu tak ada 13 Mei, Kelantan tak ada 13 Mei, Kedah tak ada 13 Mei. Huru-hara berlaku di Pulau Pinang, berlaku di Singapura, bergaduh kaum. Tempat yang orang Islam sungguh-sungguh pegang dengan Islam tak ada gaduh dan tak ada huru-hara.

Hari ini PAS dalam memperkenalkan kepada rakyat cara politik baru, politik, Budaya Politik Matang dan Sejahtera. Politik kita boleh berbalah, boleh berkelahi tapi tak boleh berperang, tak boleh bergaduh. Beza pendapat boleh, tetapi bergaduh tidak boleh. Kita nak halang segala sebab-sebab yang boleh menimbulkan pergaduhan. Ini yang kita nak perkenalkan kepada rakyat.

Kita cuba di Kelantan, cuba di Terengganu, cuba di Kedah, tapi kita tak dapat kuasa yang lebih. Kalau boleh kita nak kuasai sampai kerajaan pusat. Dalam pilihan raya ini PAS akan bertanding 130 kerusi, PAS akan bertanding 130 kerusi. Kerana untuk memerintah negara, kita memerlukan 112 kerusi. 130 kerusi kita akan bertanding. Kalau menang 112, PAS boleh memimpin negara, ini benda yang kita nak akan buat, kita akan lakukan.

Maka kaum Cina, kita minta supaya memberi kepercayaan kepada PAS pula, terus beri kerajaan kepada kita, bukan sahaja Terengganu, kita nak sampai ke peringkat Malaysia. Kita mahu menjadi parti yang kuat, parti yang gagah, yang boleh menghalang orang nak buat huru-hara dan nak buat kacau dalam negeri kita ini.

(Transkrip oleh Pengarang HarakahDaily, IZWAN ABDUL HALIM dari Ucapan Presiden PAS dalam Jamuan sempena Tahun Baharu Cina 2018 bersama Presiden PAS pada petang tadi di hadapan pejabat penyelaras Parlimen PAS Kuala Terengganu) - HARAKAHDAILY 22/2/2018