24
Sat, Jun
13 Artikel Baru

DATO' Haji Fadzil Mohd Noor atau dengan gelaran yang sangat melekat dalam jiwa ummat Islam sehingga kini "Ustaz Fadzil’ merupakan seorang pemimpin dan tokoh politik yang dihormati dan disegani oleh semua lapisan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa, ekoran daripada penampilan negarawan yang dimiliki oleh beliau. Dengan sosok yang kurus, berbusana kemas dengan kancingan baju Melayu yang lengkap, dengan sorotan mata yang hening menggambarkan ketajaman berfikir, beliau memang dilahirkan sebagai pemimpin ummah.

fadzilBerbekalkan ilmu pengetahuan yang tinggi terutamanya ilmu-ilmu agama yang diperolehi ketika bertamu di bumi Mesir, beliau dipakejkan dengan pelbagai ilmu lain seperti sosial sains, ditambah dengan kuat membaca dan menelaah. Ilmu-ilmu yang dikutip di universiti kehidupan ini meluaskan ufuk ilmu tokoh ulama’ ini. Perwatakan yang sederhana serta sentiasa berdamping dengan masyarakat, beliau adalah sebutir mutiara yang sangat berharga yang pernah dilahirkan oleh PAS dalam sejarahnya di pentas politik dakwah negara ini. Musuh politik PAS sendiri meletakkan almarhum dengan markah yang tinggi bahkan masyarakat bukan Melayu turut mengkagumi sosok tubuh dengan postur yang sederhana ini. Almarhum menyeruak kehidupan masyarakat tanapa mengira penat lelah dan suka ‘mendengar’ masalah rakyat menyebabkan Ustaz Fadzil sentiasa dikenang dalam sisi putih.

Pakej kepimpinan yang ada pada beliau ini ditempa dalam proses pergulatan hidup yang panjang selain daripada anugerah ilahi kepada umat Islam negara ini, almarhum membesar dengan semangat cinta kepada ilmu, seterusnya meminati bidang dakwah dan politik semasa belajar di bangku menengah lagi.

Latar belakang keluarga

Dato’ Haji Fadzil @ Ali bin Mohd Noor atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Fadzil dilahirkan hasil perkongsian hidup antara Mohd Noor Abdul Hamid dan Hindun Haji Abdul Rahman. Beliau dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, kira-kira tiga kilometer dari bandar Alor Star, Kedah, beliau merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik.

Takdir ilahi telah mencatatkan bahawa insan ini diuji dengan kehilangan ibubapa tercinta, kedua-dua ibu bapa meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil lagi. Latar belakang keluarga sebelah ibu bapanya adalah dari kalangan keluarga yang berpegang teguh kepada ajaran Islam. Moyang beliau iaitu Tuan Guru Haji Idris Al-Jarumi merupakan salah seorang ulama’ yang disegani berasal dari Wilayah Patani, Thailand dan seorang yang terkenal di Kedah. Wilayah yang sarat dengan pemukiman ilmu ini memunculkan ratusan pondok yang subur merendang dengan ilmu Islam.

Darah ulama’ pejuang telah mengalir dalam urat sendi darah Ustaz Fadzil, sehingga beliau adalah pemimpin yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman musuh dalam menyampaikan agama Allah.

Pendidikan

Memimpin masyarakat bukan sekadar menjadi insan yang mesra rakyat yang sekadar memenuhi jemputan kenduri kahwin tetapi mestilah dipakejkan dengan ilmu formal dan tidak formal. Almarhum merupakan seorang tokoh yang konsisten dalam menuntut ilmu, sentiasa menimba ilmu bagi menjadi pemimpin yang kredibel.

Sejarah awal pendidikan Ustaz Fadzil bermula sekitar tahun 1946. Waktu itu beliau mengikuti pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga, Alor Star sehingga tahun 1949. Kemudian menyambung pelajaran peringkat menengah di sebuah sekolah yang berpengaruh di Kedah yang telah melahirkan ribuan alim ulama’ iaitu Maktab Mahmud sehingga tahun 1958 sebelum meneruskan pengajian tinggi di tempat yang sama sehingga tahun 1962.

Anak muda ini berjiwa besar dan sentiasa kehausan ilmu, beliau bercita-cita besar untuk belajar jauh dari tanahair iaitu di Timur Tengah. Pada tahun 1963 beliau menyambung pelajaran ke seberang laut dengan mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar di Mesir (sebuah institusi pendidikan yang paling berpotensi dan berprestij dalam dunia Islam) dengan mendapat biasiswa kerajaan negeri Kedah. Di Universiti Al-Azhar, beliau mengambil jurusan Perundangan Islam (Syariah) dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1967 dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam lapangan tersebut. Beliau bukan sahaja mendapatkan ilmu daripada dewan kuliah di Al-Azhar tetapi juga menggali mutiara ilmu daripada ulama’-ulama’ Mesir untuk memantapkan ilmu beliau sebagai bekalan dakwah untuk pulang menabur kebaktian di tanah air.

Perkahwinan

Ustaz Fadzil mendirikan rumah tangga dengan sepupunya Siti Khadijah Ibrahim pada tahun 1963. Isteri beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Farbish Bakar, Alor Star, Kedah. Kemudian setelah berkahwin, menemankan almarhum belajar di Al-Azhar. Perkahwinan mereka yang sangat bahagia dalam kesibukan belajar dan berjuang telah membuahkan kurniaan lapan orang anak iaitu Huda, Ammar, Aiman, Muna’izzah, Muhammad Faiz, Salwa, Ahmad Fauwaz dan Ahmad Anas. Beliau bukan sahaja berjaya sebagai ahli politik malah merupakan ketua keluarga yang mithali dalam mendidik anak-anaknya dengan penuh kasih sayang dan bertanggungjawab. Sebahagian anak-anaknya juga terlibat dalam perjuangan Islam seperti Muna’izzah dan menantu beliau Sabki Yusuf.

Bakat Kepimpinan

Potret kehidupan yang digores selama kehidupan telah menyaksikan bakat kepimpinan yang tinggi teradun dalam diri almarhum. Bakat kepimpinan beliau mulai terserlah sejak di bangku sekolah terutamanya di Maktab Mahmud, di mana beliau memiliki kebolehan berpidato dan mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan dan bahas. Keistimewaan yang ada pada beliau boleh berhujah secara spontan dan berkemahiran tinggi dalam ilmu mantiq. Pada tahun 1967, sewaktu di Al-Azhar, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha dan Timbalan Presiden dalam Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Berada di Mesir ketika negara itu diterkam hebat oleh Isreal dalam perang Arab Israel pada tahun 1967, di zaman Gamal Naseer. Beliau juga menjadi saksi bagaimana zalimnya regim Mesir terhadap pejuang-pejuang Islam di negara tersebut. Universiti al Azhar pula tidak sunyi daripada kegiatan Islam yang memberikan pengalaman yang sangat berharga kepada ustaz Fadhil. ( Universiti tersebut masih mempunyai kebebasan kala itu).

Perkhidmatan

Tahun 1967 beliau pulang ke tanah air dan ditawarkan berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Maktab Mahmud, ‘alma mater’ beliau sebelum ke Mesir. Pada 1973 ditawarkan berkhidmat sebagai pensyarah Bahagian Pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehingga tahun 1978.

Semasa berkhidmat di UTM, beliau telah dipecat oleh pihak pentadbir UTM ekoran tindakan beliau bertanding dalam pilihanraya pada tahun 1977 di Kawasan Dewan Undangan (DUN) Alor Merah dan Parlimen Kuala Kedah. Beliau dilihat tokoh yang berpotensi oleh Perhubungan PAS Kedah sebagai pemimpin masa depan.

Sebagai orang yang celik undang-undang, Ustaz Fadzil menfailkan saman ke mahkamah atas tindakan angkuh pihak pentadbiran UTM tanpa mengikut prosedur dan ternyata beliau di pihak yang benar. Pemecatan beliau oleh pihak pentadbiran UTM tidak sah di sisi undang-undang dan mahkamah telah mengarahkan pihak pentadbir UTM membayar ganti rugi. Setelah isu tersebut selesai, beliau kembali sebagai pensyarah dan beberapa bulan kemudian beliau meletakkan jawatan kerana menceburkan diri sepenuh masa dalam perjuangan PAS.

PAS di penghujung dekad 70an dilihat tidak bermaya selepas kekalahan dalam pilihanraya tahun 1978. Terlepas negeri yang menjadi pangkalan politiknya semenjak 1959 iaitu Kelantan. Seorang tokoh besar dakwah dari Indonesia, Dr Mohd Natsir pernah menasihatkan tokoh-tokoh dalam belia Islam di Malaysia supaya segera menguatkan PAS, kerana PAS adalah wadah untuk perjuangan Islam di Malaysia. PAS wajar ‘disuntik darah muda’ supaya kembali bertenaga, ditengah samudera juang yang memerlukan bahtera yang ampuh.

Aktiviti Kemasyarakatan

Selain aktif dalam politik Islam dan kerja dakwah, beliau juga pemimpin masyarakat yang bergiat cergas dalam kerja-kerja sosial. Beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Negeri Kedah.

fadzil1Beliau pernah menganggotai Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM), sebuah wadah belia dan pemuda Islam di negara ini yang ditubuhkan pada tahun 1971. ABIM telah mengisi ruang kepada tuntutan Islam yang tegas akibat daripada penyertaan PAS ke dalam kerajaan campuran akibat tragedi 13 Mei 1969. ABIM seumpama simbiosis kepada Dewan Pemuda PAS dimana 8000 ahli PAS ialah ahli ABIM dalam dekad 70an, gerakan belia Islam ini sangat diminati kerana berusaha memurnikan perjuangan Islam terutama pendekatan yang dibawa oleh Ikhwanul Muslimin. Penerbitan ABIM juga aktif menyebarkan pemikiran tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin dan Jamiat Islami.

Fadzil Nor telah memegang jawatan setiausaha penerangan pertubuhan itu dari tahun 1973 hingga 1974. Beliau pernah memangku jawatan Presiden ABIM apabila Presidennya ketika itu, Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA (Anwar ditahan di bawah ISA akibat demonstrasi Baling yang menjadi mercu tanda kepada kebangkitan pelajar di negara ini. Beliau telah dibebaskan pada tahun 1976). ABIM yang ditubuhkan pada tahun 1971 telah mengisi kelompangan dunia ‘anti establishment’ akibat PAS yang menyertai kerajaan campuran. Almarhum ialah orang penting ABIM selain daripada Ustaz Wahab Zakaria, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman, beliau disifatkan oleh Anwar Ibrahim sebagai orang yang banyak dirujuk oleh Anwar dalam menggerakkan ABIM sebagai gerakan sosio dakwah yang penting dalam dekad 70an. Jaringan kader ABIM di seluruh negara ini juga akhirnya telah ramai menyertai PAS pada awal tahun 80an terutama selepas Anwar menyertai UMNO.

Sepanjang penglibatan dalam ABIM sebagai sosok utama perjuangan, beliau turut terlibat dalam demontrasi menentang isu kemiskinan di Baling, Kedah tahun 1974. Beliau juga terkenal sebagai penggiat tarbiah dalaman ABIM. Beliau banyak bergerak mengisi program usrah, tamrin dan seminar perkaderan di pelbagai tempat. Gerakan belia Islam ini juga banyak menerbitkan buku-buku fikrah dan harakah yang dituang oleh tokoh-tokoh seperti Hasan Al Banna, Sayyid Qutb, Maududi, apatah lagi ABIM menjadi gerakan fenomenal di kampus pada dekad 70an.

Ustaz Fadhil sangat memerhatikan gerakan membina anak-anak muda dalam gerakan dakwah, beliau tokoh pembina yang penting di negara ini: kata beliau:
"Kedatangan Islam yang di bawa oleh Rasullullah S.a.w itu mendapat sambutan dari kalangan muda. Rasullullah menyebut dalam hadishnya:
"Golongan mudalah yang menbantu perjuangan dakwah."

Itulah antara sebab kaum Quraisy tidak senang, mereka mahu golongan muda mereka hidup berpoya-poya, mereka mahu golongan muda mereka menghabiskan masa dengan hiburan ,mereka mahu golongan muda mereka tenggelam dalam kesesatan.

Inilah cita-cita kaum Quraisy, dalam kebingugan golongan muda, dalam kesesatan golongan muda dalam kemungkaran yang dilakukan oleh golongan muda mereka boleh meneruskan kezaliman dan kejahatan.

Tetapi apabila mereka melihat golongan muda menyahut panggilan Allah, menyahut panggilan Rasul, menyahut panggilan islam inilah yang menyebabkan mereka tidur tidak lena, makan tak lalu. Yang menyebabkan mereka tidak senang dengan Islam dan kebangkitannya di akhir abad ke 14 dan di awal abad ke15 ini, ialah keran Islam mendapat sambutan golongan muda.

Inilah menyebabkan Amerika tidak senang, Rusia tidak senang, Yahudi tidak senang dan Khadam-khadam mereka pun tidak senang. Bila Tuan mereka tidak senang maka khadam ikut tidak senang juga. Menjadi satu perkara biasa khadam ini ikut tuan. Kadang-kadang ia berlagak lebih dari tuan.

Rusia sedang dalam ketakutan sekarang untuk menghadapi mujahidin Afghanistan walaupun ia kuasa besar kerana ia melihat Mujahidin Afghanistan itu sendiri dari golongan ummat Islam Afghanistan, dari mereka yang berumur 15 tahun hingga ke 70 tahun. Inilah golongan yang menyertai gerakan mujahidin di Afghanistan."

Ustaz Fadzil juga merupakan Setiausaha Agung Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) tahun 1974, sebuah NGO yang penting di negara ini yang telah mewadahkan ulama’-ulama’ untuk mengerakkan kesedaran Islam kepada masyarakat dan kerap kali juga dilihat bertelagah dengan kerajaan BN dalam banyak isu yang bersangkutan dengan syariat dan akidah. Beberapa tokoh PUM juga kini menjadi tonggak penting kepada PAS seperti Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin.

Ustaz Fadzil menyedari ulama mempunyai kekuatannya yang tersendiri dalam masyarakat, mereka kelompok yang mewarisi amanah ilmu daripada nabi SAW. Ulama disepanjang zaman menjadi benteng pertahanan Islam diseluruh belahan dunia Islam, berdadad dengan kezaliman pemerintahan seperti Imam Ahmad Ibnu Hambal, Imam Nawawi, Imam Ibnu Taimiyyah dan sebagainya.

"Peranan ulama seperti yang diterangkan oleh sumber-sumber itu ialah menyampaikan Islam, melaksanakan Islam dan memperjuangkan Islam. Peranan ‘ulama’ dalam kehidupan ialah memikul tanggungjawab dakwah Islamiyyah dengan menyeru manusia kepada Islam. Mereka juga wajib menerangkan hukum Allah bagi semua persoalan hidup yang dihadapi oleh masyarakat dalam semua peristiwa yang berbangkit dan diantara kewajipan dan peranan ‘ulama’ juga ia menjelaskan kepada pemerintah, menegur dan mengkritik pemerintah dan melaksanakan Al-Amru Bil-Makruf dan Nahyu Anil-Munkar.
Tanggunjawab Ulama, seperti menegur, mengkritik pemerintah dan memberi penjelasan kepada pemerintah merupakan "kerja politik" yang mesti dipikul dan disedari ‘ulama’. Oleh yang demikian tidak boleh sama sekali membiarkan adanya ‘Ulama’ (juhhal) yang sanggup menyatakan bahawa Islam tidak boleh dicampur adukan dengan politik atau politik tidak ada kene mengena dengan Islam."

Beliau sangat rapat hubungannya dengan masyarakat dengan menghadiri majlis-majlis keraian, kenduri kendara, menziarahi orang sakit dan kematian. Jika tidak hadir beliau akan memaklumkan atau hadir ke majlis lebih awal daripada masa yang dijadualkan, pendek kata almarhum tidak akan mengecewakan undangan yang diterima. Beliau bergegas pulang dari sidang Parlimen semata-mata untuk meraikan sesuatu majlis yang diadakan oleh penduduk, sikap cakna dan mengambil berat kepada undangan masyarakat menyebabkan beliau sangat disayangi.

Penglibatan dalam politik

Beliau melibatkan diri dalam politik khususnya dengan perjuangan PAS sejak tahun 1959 sewaktu menuntut di Maktab Mahmud. Kecenderungan politik beliau telah dikesan oleh guru-guru dan juga ahli keluarganya. Kedah ialah pangkalan politik Ustaz Fadzil walaupun pernah ditawarkan untuk bertanding di negeri lain yang lebih selamat seperti di negeri Kelantan (Kelantan semenjak pilihanraya 1959 sentiasa membuka pintu untuk calon PAS dari luar Kelantan). Jelapang padi ini kaya dengan sekolah-sekolah agama dan penyokongnya yang setia sehingga telah mencetuskan beberapa insiden berdarah seperti peristiwa Memali dan peristiwa Lubuk Merbau (1985).

Beliau telah dilantik menjadi Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Kedah dan Ahli Perhubungan PAS Negeri Kedah. Kemudian beliau menganggotai jawatankuasa PAS Kedah. Penonjolan daya kepimpinannya semakin cemerlang telah menyakinkan anggota parti untuk melantik beliau sebagai Naib Yang Dipertua PAS Pusat sepenuh masa tahun 1981 hingga 1983.

PAS telah menghadapi transformasi kepimpinan pada tahun 1982 apabila Dewan Pemuda Pusat mengusulkan kepimpinan ulama’. Ustaz Fadzil adalah barisan ulama’ muda yang diberikan ruang untuk memimpin pergerakan Islam kontemporari paling tua di Malaysia.

Bintang beliau seumpama kejora di dada langit malam, pada tahun 1983 beliau telah dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua PAS sebelum diberikan kepercayaan penuh oleh seluruh ahli PAS untuk menjadi Yang Dipertua PAS pada tahun 1989.Beliau menghadapi saat-saat sukar dalam penglibatannya sebagai pimpinan iaitu peristiwa Memali, ustaz merupakan Pesuruhjaya PAS negeri Kedah di mana dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan kes ini.

fadzil2Pembabitan awal Ustaz Fadzil di dalam kancah politik pilihan raya bermula tahun 1978, di mana PAS telah memberi mandat kepada beliau untuk bertanding di negeri Kedah dalam pilihan raya umum iaitu di kawasan Parlimen Kuala Kedah dan DUN Alor Merah. Bakat dan potensi beliau sejak awal telah dihidu oleh pimpinan PAS Kedah seperti Dato’ Abu Bakar Umar yang mempelawa Ustaz Fadzil untuk membantu PAS di Kedah. Beliau dilihat anak muda yang akan mengisi barisan hadapan parti itu di Kedah apatah lagi dengan pengalamannya yang memimpin ABIM dan organisasi mahasiswa semasa menuntut di Mesir. Dalam pilihanraya tahun 1978 beliau kalah kepada Senu Abdul Rahman, namun pilihanraya itu telah memperkenalkan almarhum kepada pengundi kawasan itu.

Pada tahun 1980, beliau sekali lagi bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan DUN Bukit Raya berikutan kematian ahli DUN tersebut. Tahun 1982 beliau sekali lagi bertanding di kawasan DUN Bukit Raya dan seterusnya berjaya mempertahankan kerusi di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut sehingga Pilihan Raya Umum 1995.

Pada 1982 beliau menang dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Haji Safirol Haji Hasim dan calon bebas Mohd Mokhtar Abdullah dengan Majoriti 346 undi, 1986 menang dengan majoriti 2,215 undi mengalahkan calon BN Ahmad Zakuan Haji Ahmad, 1990 mengalahkan calon BN Dato’ Syed Mansor Barakbah dengan majoriti 1,829 dan pada Pilihan Raya Umum 1995 mengalahkan calon BN juga iaitu Fadzil Hanafi dengan majoriti 2,414.

Pada Pada Pilihan Raya Umum 1999, Ustaz Fadzil mencatat dua kejayaan. Dalam Pilihan Raya Parlimen, beliau menewaskan bekas Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Othman Abdul (calon BN) di Pendang. Allahyarham mendapat 22,413 undi berbanding 19,474 undi oleh Othman. Kejayaan ini sangat manis kepada PAS kerana inilah sejarah PAS menang paling besar dalam merebut kerusi parlimen (menang 27 kerusi parlimen).

Di DUN Anak Bukit, Allahyarham mendapat 8,480 undi menewaskan calon BN, Dato’ Abdullah Hasnan Kamaruddin yang mendapat 6,640 undi. Kemenangan ini cukup manis kerana DUN ini adalah berada di pinggir bandar yang menandakan golongan kelas menengah menyokong perjuangan Islam termasuk orang bukan Islam. DUN anak Bukit adalah DUN baru yang dipecahkan melalui persempadanan semula kawasan pilihanraya dan tuah telah menyebelahi Ustaz Fadzil manakala Mohamad Sabu telah memenangi Parlimen Kuala Kedah. (Perlu diingat bahawa Mohd Sabu hanya menang kurang daripada seribu undi) maknanya Ustaz Fadzil telah mendapat banyak undi peribadi daripada luar kelompok PAS.

Allahyarham juga berusaha keras agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang zalim dimansuhkan , akta tanpa bicara itu telah memberangus lebih 4000 orang mangsa sejak diperkenalkan pada tahun 1960, almarhum cukup dekat dengan kesengsaraan mangsa-mangsa tahanan ISA tanpa mengira latarbelakang mereka, samada daripada kalangan ahli PAS atau pun tidak. Beliau sangat konsisten dalam menentang akta ini kerana akta ini telah menjaring ramai ahli-ahli PAS dan juga aktivis ABIM sebelumnya.

Ustaz menunjukkan keprihatinan yang mendalam terhadap mangsa kezaliman ISA, beliau semasa memimpin PAS sentiasa peduli kepada keluarga mangsa ISA, tidak lokek menghulurkan bantuan kewangan dan menyuarakan isu ini disemua peringkat. Beliau turun naik ke Bukit Aman merudingkan pembebasan mangsa ISA, terrmasuk meminta pihak berkuasa membatalkan waran tangkap terhadap ustaz Ibrahim Libya. Semasa menjadi ketua Pembangkang di Parlimen, ustaz Fadzil menyokong kuat Gerakan Mansuhkan ISA.

Beliau juga sangat prihatin dengan isu antarabangsa yang menimpa umat Islam, dengan latarbelakang sebagai pimpinan pelajar, pimpinan belia Islam, ustaz sentiasa bersama dengan penderitaan umat Islam sedunia. Beliau tidak kekok untuk turun berdemonstrasi bersama anak muda, disiram dengan pancutan air kimia yang menyengat kulit, dibom gas pemedih mata. Di perhimpunan aman seperti di lebuhraya KESAS, dihadapan kedutaan asing, beliau dengan lantang menyemangati anak-anak muda dan peserta bantahan, kadang tanpa segan sebagai pemimpin ummah untuk membakar bendera Israel atau Amerika.

Almarhum bukan sekadar galak membakar perasaan para demonstran tetapi juga melibatkan diri secara langsung dalam situasi antarabangsa. Apabila tentera Russia meninggalkan Afghanistan , beliau bersama tokoh gerakan Islam antarabngsa yang lain seperti Sheikh Mustapha Masyhur qazi Hussain terus bergegas ke Afghanistan untuk mendamaikan kumpulan yang bertelingkah.Begitu juga , apabila berlaku reformasi di Indonesia, parti-parti Islam seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’. Ustaz Fadzil bersama pimpinan PAS hadir ke Jakarta, mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh Islam yang diketuai oleh Hamzah Haz. Nasihat beliau kepada teman-teman di Jakarta supaya tidak memperbanyakkan parti Islam, kukuhkan saf untuk berhadapan dengan musuh yang bersatu.

Segala kenangan dengan lelaki berhati emas ini sangat mengesankan , beliau mampu mengingati nama-nama anak buah dengan baik, bertanya khabar, mengambil berat, seolah ayah kepada sebuah keluarga besar.

Perjalanan akhir yang memilukan

Sang murabbi ini telah mewakafkan hidupnya untuk perjuangan Islam, semenjan zaman muda yang tidak pernah lelah. Kehadirannya dalam masyarakat disedari oleh ummat, beliau mengharungi zaman payah perjuangan , melepaskan jawatan sebagai penjawat awam untuk meranduk medan juang yang penuh getir, terjahan fitnah menerkam bertubi-tubi namun beliau terus mara tanpa menghiraukan penistaan . Ustaz sentiasa mengambil berat dan peduli maka wajarlah disayangi oleh ummat,didoakan selepas meninggalkan alam yang fana ini.

fadzil3Pada kira-kira jam 10.30 pagi 23 Jun 2002, Ustaz Fadzil menghembuskan nafas terakhir untuk menghadap Maha Pencipta, Allah SWT. Berbondong-bondong manusia ramai menyerbu Hospital HUKM Kuala Lumpur, menyolati jenazahnya di Madrasah Mustaqimah bandar Tun Razak malah ratusan ribu yang lain telah berhimpun di Kedah untuk menghantar mujahid ulung ini, pemimpin yang akan terus tersemat ingatan tentangnya dihati setiap manusia yang berada dipelantar zamannya. Beliau mewasiatkan untuk disemadikan di tanah Muasassah Darul Ulum yang telah dibangunkan oleh almarhum untuk merealisasikan kompleks pendidikan PAS Kedah.

Manusia telah bertali arus mendatangi Muasasah Darul Ulum untuk menziarahi makam beliau yang sangat sederhana, tanpa binaan megah melainkan sentiasa didatangi pengunjung untuk menitip doa kepada mujahid yang telah mewakafkan kehidupannya untuk perjuangan Islam. Semasa saat-saat akhir untuk urusan pengebumian, langit tenang seolah turut berduka, ribuan mata mengalir air mata kesedihan dengan tazkirah ringkas daripada Tuan Guru Mursyidul Am, sarat dengan makna yang mendalam seumpama tazkirah Saidina Abu Bakar di hari kewafatan Rasulullah. Kematian adalah kepastian kepada sebuah perjalanan hidup, tinggal lagi bagaimana kita akan memberi makna kepada kehidupan itu.

Riduan Mohamad Nor adalah AJK PAS Pusat.

SAYA tulis rencana ini dua hari sebelum Ramadan meninggalkan dunia kita tahun ini.
      
Sebelum ia pergi sudah terasa sunyinya. Orang-orang yang mendapat rahmat taqwa dari barakah kehadiran Ramadan di zaman sahabat dulu dan orang-orang yang selepasnya mengeluarkan air mata bia ditinggalkan Ramadan.
       
Sekalipun pemergiannya untuk selama sebelas bulan sebelum kedatangannya semula tahun depan disambut dengan keceriaan Idil Fitri, menghalalkan makan siang, tetapi boleh makan siang itu tidak dapat menggantikan sayu pemergiannya.
      
Pertama tidak dapat rahmat yang semua boleh dapat dalam itu tetapi rugi jika tidak dapat bertemunya lagi tahun depan. Itulah yang dirasakan oleh semua bila Ramadan jadi Ramadan terakhir baginya. Beruntunglah mereka yang pergi dulu sebelum Ramadan meninggalkannya. Akan tetapi lebih beruntung mereka yang berulang-ulang dapat bersama Ramadan  lagi selepas Ramadan yang pergi kali ini.
      
Pengalaman yang lalu, setiap mejelang berbuka semua syukur dan ceria dapat nikmat berbuka. Bagi yang berbuka di masjid dan surau, terasa riangnya berkumpul rakan sekariah setengah jam sebelum berbuka dan rahmatnya berjamaah Maghrib selepas berbuka. Memang menjelang berbuka hingga tengah malam masjid dan surau di mana-mana jadi masa yang amat makmur berganda dari bulan-bulan lain.
     
Selepas malam terakhir berbuka seri makmur masjid turun mendadak. Malam pertama Syawal terasa sunyi. Lepas berjamaah Maghrib rata-rata keluar masjid dan datang semula menjelang Isyak. Lepas Isyak masjid pun gelap, sunyi macam sunyi rumah selepas kematian.
      
TIdak sama sayu pemergian Ramadan dibandingkan sayu rumah selepas kematian. Tetapi bagi yang tinggi taqwanya pemergian Ramadan itu lebih terasa. Pilu kematian adalah pilu yang tidak mungkin bertemu lagi, tapi pilu pemergian Ramadan dipasang dengan harapan dapat bertemu lagi berkali-kali.
      
Yang merindukan semua tentang Ramadan ialah menjanjikan rahmat taqwa. Yang sudah taqwa meningkat taqwanya. Yang belum taqwa moga dijelmai taqwa dengan kedatangannya.
      
Sepuluh malam pertama disediakan rahmat berganda dari  rahmat setiap hari sepanjang tahun. Sepuluh malam kedua disedia rahmat pengampunan semua  dosa, dan sepuluh malam terakhir dianugerah janji bebas dari api neraka dicampur serenaknya kedatangan Lailaul Qadar, bagi sesiapa yang mendapat rahmat nescaya beroleh syafaat yang lebih baik dari seribu bulan, sedang masing-masing tidak dapat hidup sampai seribu bulan.
      
Jika dalam hidup kita dikunjungi lebih sepuluh kali oleh Lailatul Qadar, apakah tidak cukup bertuah orang yang bertaqwa dengan kedatangan Ramadan. Jika boleh kita mahu biar sepanjang tahun itu Ramadhan. Tetapi Ramadhan perlu pergi, kerana kita mahu berhaji, mahu berkorban setiap Idil Adha.
     
Kerelaan kita perginya Ramadan adalah bagi mendapat peluang melakukan ibadat lain di bulan-bulan lain.
     
Tetapi ruginya semua dengan pemergian Ramadan itu ialah kita dapat pahala 70 solat fardu bagi setiap solat fardu. Adalah kita sedar sehari dalam bulan puasa kita dapat 350 pahala solat fardu. Bayangkan dalam masa sebulan itu kita sudah kumpulkan 10,500 solat waktu. Sedang dalam bulan kita dapat 150 waktu saja dan bagi sebelas bulan yang lain kita dapat kumpul 1,650 waktu saja.
       
Dan jika dapat tunai sstu solat sunat tiap-tiap satu sama dengan satu pahala sunat fardu. Terpulanglah kita sudah rebut itu.
     
Itu tidak termasuk pahala puasa yang malaikat tidak diberi hak mencatat pahalanya kerana Allah sendiri menentukannya. Jika bumi dan langit ini kita rasa cukup luas, ia hanya kecil dibandingkan rahmat Ramadan yang dijanjikan kepada sekalian muttaqin. - HARAKAHDAILY 24/6/2017

DACS DPP Malaysia mengucapkan syabas dan tahniah kepada skuad hoki lelaki negara (The Speedy Tigers) kerana telah layak ke peringkat separuh akhir dalam kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia selepas menewaskan India 3-2 di Pusat Hoki Lee Valley, London semalam.

Corak permainan yang kemas telah ditunjukkkan oleh pemain negara menentang pasukan yang rankingnya lebih tinggi. Pujian harus diberikan kepada penjaga gawang negara, S.Kumar yang telah menyelamatkan banyak percubaan tepat ke arah pintu gol negara.

Hasil daripada kemenangan ini sekali gus telah mengesahkan kelayakan skuad hoki negara untuk beraksi dalam Piala Dunia di India, tahun depan.

Malaysia sebelum ini pernah layak ke Piala Dunia sebanyak tujuh kali iaitu pada 1973, 1975, 1978, 1982, 1998, 2002 dan 2014.

DACS DPP Malaysia meletakkan harapan yang tinggi agar di kejohanan Piala Dunia tahun depan, The Speedy Tigers dapat beraksi dengan cemerlang sekali gus memperbaiki pencapaian terbaik negara setakat ini di tempat ke-4 pada tahun 1975.

Majulah sukan untuk negara

Muhammad Fadzli Abu Bakar
Pengarah Department of Arts, Culture and Sports (DACS)
Dewan Pemuda PAS Malaysia                     

CADANGAN agar rakyat Malaysia melakukan lebih dari satu pekerjaan yang disokong oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan melalui "tweet" beliau boleh meruntuhkan institusi keluarga.

Jika bapa atau ibu terpaksa melakukan kerja kedua dan masa bersama anak-anak semakin berkurangan maka kemungkinan hubungan kekeluargaan akan menjadi renggang.

Akibatnya anak-anak akan kurang menerima kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya dari ibu bapa. Maka anak-anak akan menjadi lebih rapat dengan kawan-kawan atau mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan di atas kekosongan yang dirasakan oleh mereka. Tambahan pula anak-anak seperti ini mungkin akan memberontak untuk mendapatkan perhatian. Jika tidak dikawal ia dibimbangi boleh mewujudkan gejala-gejala sosial.

Cadangan ini juga gagal menyelesaikan masalah  sebenar yang dihadapi oleh rakyat Malaysia. Malah ia akan mewujudkan masalah-masalah lain.

Ramai rakyat Malaysia yang terpaksa melakukan lebih dari satu pekerjaaan kerana pendapatan mereka tidak dapat menampung keperluan perbelanjaan. Di antara sebab utama adalah kos sara hidup yang meningkat. GST adalah juga salah satu punca peningkatan kos sara hidup ini.

Selain dari itu, nilai ringgit yang merudum jatuh menyebabkan barangan yang diimport seperti bahan makanan dan ubat-ubat turut meningkat harganya.

Kerajaan perlu memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah ini dan bukan menyarankan rakyat membuat dua pekerjaan.

Di Selangor di antara usaha-usaha kerajaan negeri untuk membantu rakyat adalah dengan mengecualikan cukai pintu untuk Rumah Kos Rendah dan memperkenalkan skim rawatan kesihatan percuma Peduli Sihat. Kerajaan Persekutuan perlu mencontohi usaha-usaha seperti ini.

DATUK ISKANDAR A. SAMAD
Naib Presiden PAS
23 Jun 2017 – HARAKAHDAILY 23/6/2017

PERANAN imam sebagai pimpinan masyarakat di peringkat mukim tidak pernah dilupakan kerajaan negeri.

Bukan sekadar mengetuai solat fardhu, sebaliknya mereka juga sebagai pimpinan yang menjadi tempat rujukan masyarakat.

Mengambil kira peranan yang begitu besar tersebut kerajaan negeri turut memberi sumbangan raya kepada mereka menjelang sanbutan Aidilfitri.

Sumbangan itu disampaikan Menteri Besar Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob di Dewan Jubli Perak MPKB BRI semalam.

Sebelum itu tazkirah disampaikan anggota Exco kerajaan negeri Datuk Nassuruddin Daud yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta.

Turut hadir Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat kerajaan negeri, Adun, anggota Dewan Rakyat, Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Nik Azlan Abdul Hadi dan Timbalan Mufti Datuk Nik Abdul Kadir Mohamad.

Baru-baru ini guru-guru pondok dan pegawai Halaqat, guru al-Quran serta fardu ain turut menerima sumbangan daripada kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 23/6/2017

RayaImam 2

KERAJAAN Negeri Selangor akan membatalkan keistimewaan yang diberikan kepada Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) dan Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) jika Kerajaan Pusat terus mengambil sikap berkonfrontasi dengan Kerajaan Negeri di dalam isu-isu perumahan.

Sebelum ini Kerajaan Negeri telah memberikan PR1MA dan PPA1M keistimewaan yang sama seperti Rumah Selangorku iaitu peningkatan kepadatan sehingga 120 unit kediaman seekar. Kepadatan pembangunan biasa adalah di antara 30 hingga 70 unit kediaman seekar.

Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pusat dalam isu-isu perumahan tetapi Kerajaan Pusat mengambil sikap berkonfrontasi di dalam beberapa isu seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Permai, Lembah Subang.

Kerajaan Negeri mahu sentimen politik diketepikan di dalam isu-isu yang melibatkan kebajikan rakyat seperti perumahan. Tetapi Kerajaan Pusat terutamanya Menteri yang terlibat dilihat lebih suka bermain politik.

Kerajaan Pusat kelihatan lebih berminat untuk menyerang Kerajaan Negeri dari menyelesaikan masalah rakyat.

Untuk PPR tersebut, Kerajaan Pusat telah bertegas untuk mengambil alih pembangunan itu dan enggan melayan tuntutan kos Kerajaan Negeri membaikpulih dan menyelenggara yang telah dibelanjakan.

Cadangan pembatalan ini akan dibentangkan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan sehingga keputusan dibuat semua permohonan untuk peningkatan kepadatan daripada PR1MA dan PPA1M akan dibekukan.

Perkembangan ini bukan bertujuan untuk menghalang PR1MA atau PPA1M dari melaksanakan projek di Negeri Selangor. Sebaliknya mereka dialu-alu untuk membina rumah di Selangor tetapi perlu mematuhi syarat-syarat seperti yang digariskan di dalam Rancangan Tempatan (RT) Pihak Berkuasa Tempatan masing-masing. Hanya Rumah Selangor diberikan keistimewaan untuk meningkatkan kepadatan pembangunan.

DATUK ISKANDAR A. SAMAD
Exco Perumahan Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan
Negeri Selangor
23 Jun 2017 – HARAKAHDAILY 23/6/2017

BAGI menghadapi pilihan raya umum (PRU) tidak lama lagi PAS Kelantan menggembling usaha melahirkan ramai petugas yang pakar dalam pengendalian pilihan raya.

Sehingga sekarang terdapat 162 petugas di seluruh Kelantan yang dilatih sebagai penggerak  bagi memantapkan jentera pilihan raya.

Mereka mengikuti beberapa siri latihan berasaskan modul disediakan Institut Latihan Pilihan Raya PAS (ILPAS).

jurulatih 2Sehingga kini siri kursus diadakan di hampir seluruh kawasan parlimen di Kelantan, selepas pelancaran diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) pada akhir tahun lepas.

Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Dr Wan Nik Wan Yussof berkata, ILPAS Kelantan mempunyai 30 jurulatih di peringkat negeri.

Katanya jurulatih terbabit berperanan melatih petugas pilihan raya di peringkat negeri dan Dun.

"Visinya melatih jentera pilihan raya PAS menjadi lebih terulung bagi memenangi pilihan raya.

"Latihan yang diberi memberi kefahaman yang lebih jelas tentang dasar, misi, visi dan matlamat PAS menyertai pilihan raya.

"Ia berpandukan ilmu aqidah, perundangan, organisasi dan gerak kerja teknikal pilihan raya," katanya pada taklimat pengurusan ILPAS Kelantan sempena program tadarus dan iftar.

Tadarus diketuai Pengarah Institut Latihan Perguruan Kelantan, Ustaz Wan Hamdi Abdul Ghani. Hadir sama Pengarah ILPAS negeri, Nik Bahrum Nik Abdullah.

Di peringkat parlimen dilantik ketua ILPAS kawasan, manakala di Dun pula terdapat penyelaras.

ILPAS negeri mempunyai wakil pengarah pilihan raya Dewan Ulama, Dewan Muslimat, Dewan Pemuda, Ketua Ameerah Negeri, ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS dan ketua ILPAS kawasan.

Wan Nik juga berkata ILPAS juga melatih 30 jurulatih di peringkat parlimen dan 10 mewakili setiap Dun. – HARAKAHDAILY 23/6/2017

DENGAN nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri 1438H, Taqabbalallahu minna wa minkum.

Saya mewakili PAS Negeri Sarawak ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah di atas kejayaan kita semua dalam menyumpurnakan ibadah puasa dan juga ibadah-ibadah yang lain di bulan Ramadhan yang akan meninggalkan kita.

Hari Raya ialah hari untuk kita menyambut kemenangan kita mengharungi cabaran nafsu dengan melaksanakan berbagai-bagai aktiviti ibadah dan kebajikan sama ada secara individu atau berjemaah.

Sesungguhnya kejayaan hakiki seorang hamba di sisi Allah SWT ialah apabila dikurniakan dengan keredhaan Allah di dalam apa jua tindakan dan amalannya. Ramadhan telah mendidik kita bagaimana mendapat redha Allah di dalam ibadah maka redha Allah jualah yang kita cari di dalam kehidupan kita yang lain sama ada dalam pergaulan suami isteri dan ahli keluarga, pergaulan dalam bermasyarakat, lebih-lebih lagi kita sangat mengharapkan redha Allah dalam bernegara melalui politik Islam.

Nabi SAW bersabda maksudnya:

"Bagi orang berpuasa itu dua kegembiraan, (pertama) kegembiraan ketika berbuka, (kedua) kegembiraan ketika bertemu Tuhannya (di Akhirat nanti)."

(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis di atas menjelaskan kepada kita bahawa kejayaan atau kemenangan bukan hanya di dunia tetapi yang sangat kita harapkan ialah kejayaan ketika bertemu Allah SWT di Akhirat nanti.

Marilah kita terus beristiqamah menggapai redha Allah di dalam kehidupan kita. Perjuangan mencapai redha Allah pasti akan berhadapan cabaran dan ujian dari Allah sama ada dari musuh luaran yang terdiri daripada manusia yang akan sentiasa menghalang dan menentang perjuangan Islam dan tidak kurang juga musuh dari dalam diri kita sendiri iaitu nafsu.

Di dalam kegembiraan kita menyambut Hari Raya Aidilfitri ini janganlah kita lupa saudara-saudara seagama yang sedang bergelut dan berjuang mempertahankan agama Allah di seluruh dunia khususnya di negara-negara umat Islam yang sedang bergolak dan diperangi oleh musuh-musuh Allah seperti di Palestin, Syria, Iraq, Yaman, Mesir, Yaman, Myanmar dan yang terkini negara Qatar serta seluruh negara umat Islam.

Semoga Allah SWT menerima segala amal kita dan pesanan saya, penuhilah sambutan Hari Raya kali ini dengan menziarahi sanak saudara dan sahabat handai, eratkan ukhuwwah sesama umat Islam kerana dengan kekuatan ukhuwwah Islamiyyah, umat Islam akan mendapatkan kembali kekuatannya beserta redha Allah SWT.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd!

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin

UNTUKMU SARAWAK

SEJAHTERA BERSAMA ISLAM

HJ JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya PAS Sarawak – HARAKAHDAILY 23/6/2017

RayaS

SEBUAH Masjid berusia 131 tahun di tengah bandar Sittwe, Ditutup! Kemudiannya apa?

Sukar sekali untuk merakam gambar masjid yang dibina pada tahun 1886 ini, kerana ia kini adalah kawasan larangan. Mengambil gambarnya seperti membaling tebuan bersarang rendah di siang hari. Kita mungkin ditangkap polis atau dikepung atau dihalau balik.

Ini gambar 'curi' dari dalam van yang sengaja diberhentikan untuk membeli buah limau. Pemandu van beragama buddha itu berulang kali berpesan... No photo please, very dangerous for us! Petua untuk kita melintasi bandar Sittwe,  menginap di hotel atau membeli barang keperluan di sini ialah Jangan Menarik Perhatian Mereka dengan imej seorang Muslim.

Masjid ini ditutup regim junta tentera 25 tahun lalu.  Saiz dan senibinanya seperti Masjid Zahir di Alor Setar.  Usia masjid ini 131 tahun, mewakili zaman kegemilangan Islam di Arakan. Ia dibina umat Islam Arakan di zaman British. Ia dibaikpulih pada 1959, tahun terakhir masjid-masjid  dibenarkan dibina.

Dua tahun lalu, larangan untuk membaik pulih, membina baru atau membesarkan masjid dikuatkuasakan ke seluruh negara Myanmar.

Terdapat tiga buah masjid besar di bandar Akyab,  nama lama bagi Sittwe. Dua buah lagi dibakar sewaktu konflik 2012, tidak boleh dimasuki lagi. Salah satunya dijadikan kubu dan tandas pihak polis.

Ketiga-tiga buah masjid besar ini dikelilingi pagar tembok pagar yang kukuh, dua buah masjid yang dibakar itu berwarna hijau dengan pintu gerbang berukir ayat-ayat Al-Quran. Letaknya antara satu sama lain tidak terlalu jauh.

Saya dapat membayangkan kesuburan Islam satu masa dahulu di Akyab. Berdasarkan senibina dan saiznya,  tentulah jumlah umat Islam di Akyab dahulu berpuluh ribu jumlahnya.  Azan dari menara-menara masjid itu tentunya saling menerjah satu sama lain.

Hari ini, ikon Islam seperti masjid ini berdiri sepi, menjadi kawasan terlarang, dikelilingi semak samun dan usang,  cuba dilenyapkan daripada sejarah. Tidak diizinkan seorangpun Muslim berada di bandar Akyab.

Apabila syariat dan syiar Islam sudah berjaya dimatikan dan dibenam,  kini Arakan menjadi medan badan-badan dakyah masuk menerusi misi kemanusiaan dan agensi bantuan antarabangsa dengan dana ratusan juta dollar.  

Petugas mereka dapat ditemui di hotel-hotel penginapan,  berbincang strategi sesama mereka dari negara yang berbeza, Australia, UK, USA, Perancis,  Denmark, Italy, Filipina di samping petugas tempatan.

Pejabat operasi, sekolah, klinik, setor makanan dan pusat bantuan bergerak terdapat di merata tempat.  Disebalik misi kemanusiaan mereka yang kita kagumi,  ramai di kalangan mereka itu adalah missionary kristian yang terlatih dan berbayar. Misi mereka serampang banyak mata.  

Kita? Kita terpaksa merayu ke sana ke mari untuk menghantar beras dan barangan dapur sekadar seratus ringgit. Jika kerap kita pergi,  kita akan ditanya dengan keras: "Yang hampa terpa jauh-jauh sampai rohingya, dok kira rohingya, adakah sudah habis orang miskin di Malaysia kamu bantu"?

Selanjutnya, hujung nama kita akan disambung dengan perkataan 'rohingya' dalam nada yang kurang sedap didengar. Demikian masyarakat kita hilang sensitiviti dan rasa tanggungjawab. Sesungguhnya, di medan Arakan ini,  kewajipan agama dan kemanusiaan kita lebih besar daripada sangkaan kita.

Semoga rakaman sejarah masjid-masjid ini menjadi pengajaran untuk kita semua.

Di negara kita: Janganlah ada yang  cuba-cuba memendamkan Islam yang sudah diteguhkan pasaknya oleh pejuang-pejuang Islam terdahulu,  dan diterima baik oleh masyarakat dengan aman, hanya kerana menagih sokongan pihak yang berusaha memadamkan cahayanya... Kelak kita akan ditimpa malapetaka buruk yang tiada nokhtahnya.

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Pengarah PASRelief
27 Ramadhan 1438 – HARAKAHDAILY 23/6/2017

masjidSitwe 4

masjidSitwe 3

masjidSitwe 2

KOLUMNIS

Grid List

Alhamdulillah, marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran ke hadrat ilahi atas limpah dan rahmatnya sehingga mempertemukan kita semua dengan Syawal 1438H tahun ini.

eid.mubarakPerutusan Aidilfiri DMPM: Maknakan Syawal dengan penuh ketaqwaan

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam.” (Surah Ali Imran: 102)

Alhamdulillah, marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran ke hadrat ilahi atas limpah dan rahmatnya sehingga mempertemukan kita semua dengan Syawal 1438H tahun ini. Bersyukur juga atas nikmat usia dan kesihatan yang membolehkan kita berjaya melalui madrasah Ramadhan selama sebulan. Sesungguhnya hari ini merupakan hari kemenangan buat umat Islam setelah sebulan berpuasa.  Eidul fitri juga merupakan hari di mana umat Islam kembali kepada fitrah. Ia merupakan rahmat Allah S.W.T kepada umat Nabi Muhammad S.A.W.

Sempena meraikan hari lebaran ini, marilah bersama-sama panjatkan kesyukuran atas segala nikmat rahmat yang telah diberikan olehNya, raikan bersama dengan keluarga, sanak saudara serta sahabat handai. Bersederhanalah dalam menyambut hari mulia ini, banyakkan bersedekah dan berikan senyuman gembira buat insan di sekeliling kita.Sebagai peringatan bersama, dalam bertemu adik-beradik dan saudara-mara di kampung halaman, perlu saling ingat-mengingatkan tentang batasan pergaulan dan menjaga aurat perlu diutamakan. Semoga kita bersama sentiasa menjaga syariat Islam dan menghormati antara satu sama lain walaupun berbeza pendapat dan pandangan.

Sebelum pulang ke kampung halaman, pastikan kediaman dalam keadaan yang selamat, kenderaan telah diperiksa dan diservis dan mulakan langkah musafir anda dengan doa dan banyakkan berzikir dan berselawat. Insyaallah selamat pulang dan kembali ke destinasi masing-masing.

Akhir kalam, Salam Eidul Fitri dari kami Dewan Muslimat PAS Malaysia, mohon maaf dipinta atas segala kekurangan. Semoga amalan di bulan Ramadhan diterima oleh Allah dan teruskan semangat beribadat dan amalan baik di hari-hari seterusnya.

"Muslimat Memacu Kemenangan"

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
29 Ramadhan 1438 H / 24 Jun 2017 - HARAKAHDAILY 24/6/2017

Al-QURAN yang menjadi petunjuk mempamerkan ayat-ayat yang banyak melarang umat Islam memberi kepercayaan kepada pihak lain dalam menyelesaikan masalah dalaman mereka.

suratSurat terbuka kepada parti politik Malaysia
'Jangan mengundang campur tangan asing'


Al-QURAN yang menjadi petunjuk mempamerkan ayat-ayat yang banyak melarang umat Islam memberi kepercayaan kepada pihak lain dalam menyelesaikan masalah dalaman mereka.

Sebarang permasalahan dalaman umat atau negara diselesaikan sendiri, sama ada betul atau salah atau adanya kelemahan dalaman walaupun zalim, maka dipikul sendiri dengan penuh kesabaran. Akhirnya selesai dengan selamat, kerana bencana menerima campur tangan asing lebih besar akibat dan buruknya pula berpanjangan. Sebijak-sebijak akal tanpa petunjuk wahyu akhirnya tersesat juga.

Dalam lipatan sejarah Tamadun Islam, kejatuhan Kerajaan Islam di Sepanyol tertangguh beberapa abad apabila salah seorang pemimpinnya, Ibnu Abbad yang menentang cadangan menjemput campur tangan asing, dengan tegas beliau menyatakan:

“Bahawa saya lebih rela menjadi gembala unta kepada yang zalim kalangan kita daripada menjadi gembala babi kepada pihak bukan kita.”

Namun, Islam yang bertapak di Sepanyol selama lapan abad akhirnya kecundang apabila ada kalangan rajanya menjemput pihak asing supaya membantu memenangkannya dalam krisis dalaman. Akhirnya cahaya Islam dipadamkan di Sepanyol sehingga kini.

Dalam sejarah Alam Melayu pula, ada kalangan sejarawan kita melaporkan bahawa kejayaan penjajah menjatuhkan Kerajaan Melayu Islam Melaka apabila adanya sekelompok tertentu yang menjemput penjajah supaya menjatuhkan kerajaan atas sebab kemungkinan adanya kesalahan atau kezaliman, tetapi akibatnya selepas itu seluruh Rantau Nusantara dijajah dan dibahagikan buminya oleh penjajah selepas hilangnya kedaulatan Islam.

Begitulah juga, jangan kita mengulangi sejarah dengan menjemput pihak asing untuk menyelesaikan masalah dalaman kita seperti BMF, Perwaja, Tabung Haji, KWSP, dan terkini isu 1MDB yang bersorak gembira supaya diberi ruang penyelesaiannya oleh mahkamah di negara asing.

Apapun keputusan isu dalaman kita, biar mahkamah kita sendiri menyelesaikan atau mahkamah rakyat kita menyelesaikannya. Sebodoh-bodoh dan sezalim-zalim dalaman kita, biar kita yang tanggung sendiri dan akhirnya berkat kesabaran, pasti sedar dan insaf.

Adapun pihak lain atau kuasa asing selama-lamanya mencari peluang dan menjaga kepentingan mereka walaupun mengorbankan kita. Cukuplah kita dijajah sehingga beberapa abad dengan kesannya masih belum sembuh. Tiba-tiba mahu menjemput sekali lagi bekas penjajah itu atau membuka pintu supaya datang menyelesaikan masalah kita.

Firman Allah SWT:

أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ يَزۡعُمُونَ أَنَّهُمۡ ءَامَنُواْ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبۡلِكَ يُرِيدُونَ أَن يَتَحَاكَمُوٓاْ إِلَى ٱلطَّٰغُوتِ وَقَدۡ أُمِرُوٓاْ أَن يَكۡفُرُواْ بِهِۦۖ وَيُرِيدُ ٱلشَّيۡطَٰنُ أَن يُضِلَّهُمۡ ضَلَٰلَۢا بَعِيدٗا ٦٠ وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ تَعَالَوۡاْ إِلَىٰ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَإِلَى ٱلرَّسُولِ رَأَيۡتَ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ يَصُدُّونَ عَنكَ صُدُودٗا ٦١ فَكَيۡفَ إِذَآ أَصَٰبَتۡهُم مُّصِيبَةُۢ بِمَا قَدَّمَتۡ أَيۡدِيهِمۡ ثُمَّ جَآءُوكَ يَحۡلِفُونَ بِٱللَّهِ إِنۡ أَرَدۡنَآ إِلَّآ إِحۡسَٰنٗا وَتَوۡفِيقًا ٦٢ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ يَعۡلَمُ ٱللَّهُ مَا فِي قُلُوبِهِمۡ فَأَعۡرِضۡ عَنۡهُمۡ وَعِظۡهُمۡ وَقُل لَّهُمۡ فِيٓ أَنفُسِهِمۡ قَوۡلَۢا بَلِيغٗا ٦٣ النساء .

“Tidakkah Engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad S.A.W.) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut (diluar daripada Madinah), padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh. (60) Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah, nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu. (61) Maka bagaimana halnya apabila mereka ditimpa sesuatu kemalangan disebabkan (kesalahan) yang telah dibuat oleh tangan mereka sendiri, kemudian mereka datang kepadamu sambil bersumpah: Demi Allah, kami tidak sekali-kali menghendaki melainkan kebaikan dan perdamaian (bagi kedua pihak yang berbalah). (62) Mereka itulah orang-orang yang diketahui oleh Allah akan apa yang ada dalam hati mereka, oleh itu berpalinglah engkau daripada mereka dan nasihatilah mereka, serta katakanlah kepada mereka kata-kata yang boleh memberi kesan pada hati mereka). (63) (Surah An-Nisa’: 60-63)

Sebab turunnya ayat ini kerana seorang yang mengaku Islam di kalangan Ansar bertelingkah dengan seorang Yahudi (bukan Islam) dan tidak berpuas hati dengan keputusan yang tidak memberi kemenangan kepadanya, lalu dia mengajak si Yahudi itu membawa perkara tersebut kepada pihak luar daripada Madinah.

Kesilapan kita kerana tidak menyelesaikan masalah dengan cara petunjuk Allah iaitu Islam. Bukan caranya menjemput pihak asing yang pasti tidak beriman dan budiman.

Saya yakin bahawa mereka yang mengundang pihak asing supaya mencampuri urusan negara semata-mata untuk menang pilihan raya, di mana moral mereka paling tidak beriman dan budiman, apabila kemenangannya nanti juga tanpa iman dan budiman.

Firman Allah:

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ثُمَّ كَفَرُواْ ثُمَّ ءَامَنُواْ ثُمَّ كَفَرُواْ ثُمَّ ٱزۡدَادُواْ كُفۡرٗا لَّمۡ يَكُنِ ٱللَّهُ لِيَغۡفِرَ لَهُمۡ وَلَا لِيَهۡدِيَهُمۡ سَبِيلَۢا ١٣٧ بَشِّرِ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمًا ١٣٨ ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَيَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعٗا ١٣٩ النساء

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, kemudian mereka kufur, kemudian mereka beriman semula, kemudian mereka kufur sekali lagi, kemudian mereka bertambah-tambah lagi dengan kekufuran, Allah tidak sekali-kali akan memberi ampun kepada mereka, dan tidak akan memberi petunjuk hidayah kepada mereka ke jalan yang benar. (137) Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: Bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya; (138) (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya). (139) (Surah An-Nisa’: 137-139)

Kita adalah pendakwah mengajak manusia kepada Islam dan menyelamatkan seseorang Islam yang ada di dalam dirinya sifat munafiq dalam kawasan dan sempadan kita.

Rasulullah S.A.W. pernah bersabda kepada seorang sahabatnya yang kuat beriman, tiba-tiba melakukan kesalahan yang besar kerana menghina rakannya:

يَا أَبَا ذَرٍّ إِنَّكَ امْرُؤٌ فِيكَ جَاهِلِيَّةٌ
سنن أبي داود للسجستاني (4 / 504)

“Wahai Abu Zar! Kamu ini seorang yang masih ada pada dirimu sifat jahiliyah”. Namun Abu Zar R.A. tetap dikira kalangan para sahabat yang terbilang.

Allah pernah menurunkan firman-Nya kepada seorang sahabat, Hatib bin Abi Baltaah R.A. yang bertaraf ahli Badar yang mulia kerana memberi maklumat kepada musuh dengan firman-Nya:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمۡ أَوۡلِيَآءَ تُلۡقُونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَقَدۡ كَفَرُواْ بِمَا جَآءَكُم مِّنَ ٱلۡحَقِّ يُخۡرِجُونَ ٱلرَّسُولَ وَإِيَّاكُمۡ أَن تُؤۡمِنُواْ بِٱللَّهِ رَبِّكُمۡ إِن كُنتُمۡ خَرَجۡتُمۡ جِهَٰدٗا فِي سَبِيلِي وَٱبۡتِغَآءَ مَرۡضَاتِيۚ تُسِرُّونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَأَنَا۠ أَعۡلَمُ بِمَآ أَخۡفَيۡتُمۡ وَمَآ أَعۡلَنتُمۡۚ وَمَن يَفۡعَلۡهُ مِنكُمۡ فَقَدۡ ضَلَّ سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ ١ الممتحنة

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (S.A.W.) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Mekah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalan-Ku dan untuk mencari keredaan-Ku. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah dia dari jalan yang betul” (Surah Al-Mumtahanah: 1)

Umat Islam juga perlu memahami situasi hubungan antarabangsa terkini supaya dapat menilai sikap mereka terhadap mana-mana negara yang paling suka campur tangan dalam urusan negara lain dan negara yang paling dominan melebarkan Islamofobia. Selain itu juga, wajib memahami batas-batas sempadan hubungan dengan semua pihak dalam masyarakat majmuk disemua peringkat tanpa menghakiskan maruah umat dan menjatuhkan kedaulatan negara.

Sabda Rasulullah S.A.W. supaya mencegah kemungkaran secara bijaksana:

مَثَلُ القَائِمِ في حُدُودِ اللهِ وَالوَاقعِ فِيهَا ، كَمَثَلِ قَومٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سَفِينَةٍ فَصَارَ بَعْضُهُمْ أعْلاها وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا ، وَكَانَ الَّذِينَ في أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوا مِنَ المَاءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقهُمْ ، فَقَالُوا : لَوْ أنَّا خَرَقْنَا في نَصِيبِنَا خَرْقاً وَلَمْ نُؤذِ مَنْ فَوقَنَا ، فَإِنْ تَرَكُوهُمْ وَمَا أرَادُوا هَلَكُوا جَميعاً ، وَإنْ أخَذُوا عَلَى أيدِيهِمْ نَجَوا وَنَجَوْا جَميعاً . رواه البخاري.

“Bandingan orang yang menjaga sempadan Allah (mencegah kemungkaran) dan mereka yang jatuh ke dalamnya (melakukan kemungkaran) laksana satu kaum yang berada di atas bahtera. Maka sebahagian daripada mereka berada ditingkat atas dan sebahagian lagi berada dipetak bawah. Mereka yang berada dipetak bawah apabila mahukan air terpaksa melalui mereka yang berada di atasnya. Lalu mereka berkata: “Kalau kita tebukkan kapal ini untuk mendapatkan air tanpa mengacau mereka yang berada di atas”. Maka kalau dibiarkan kapal itu ditebuk mengikut kemahuannya nescaya semuanya mati tenggelam, kalau dihalang tindakan itu nescaya semuanya selamat”.

Kalaulah yang berlaku itu kerana satu kemungkaran yang nyata, beginilah akibatnya. Kalau yang berlaku itu adalah fitnah, maka celakanya lebih parah.

PAS terus bersabar walaupun sudah berlalu zaman setengah abad dan seterusnya, menukar pemimpin yang telah meninggal dunia dengan beristiqamah dan mereka yang tidak beristiqamah meninggalkan PAS juga tidak sampai ke matlamat dunia pun. Kerana wawasan kita mencapai keredaan Allah sehingga ke liang lahad dan hari kebangkitan semula bertemakan firman Allah:

وَقُلِ ٱعۡمَلُواْ فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمۡ وَرَسُولُهُۥ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَٰلِمِ ٱلۡغَيۡبِ وَٱلشَّهَٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ ١٠٥ التوبة.

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan” (Surah At-Taubah: 105)

Kita tidak ditanya mengapa belum menang, tetapi kita ditanya adakah sudah beramal dan berjuang atau tidak untuk meraih janji-janji kemenangan bersyarat yang mampu mengisi erti kemenangan sebenar bukannya kemenangan kosong, atau kita berjuang untuk menggantikan kemungkaran dengan menegakkan kemungkaran juga?

Tugas kita adalah mengajak manusia sebanyak-banyaknya kepada Islam, bukan sekadar menjatuhkan pemimpin dan berebut jawatan. Bahkan mengajak kepada islah pemimpin dengan melahirkan pemimpin yang tegak bersama hidayah, bukannya bergantung kepada jibayah.

Sabda Rasulullah S.A.W. kepada menantunya Ali bin Abi Talib K.W.H:

فَوَاللهِ لأَنْ يَهْدِيَ اللهُ بِكَ رَجُلاً وَاحِداً خَيْرٌ لَكَ مِنْ أنْ يَكُونَ لَكَ حُمْرُ النَّعَمِ. متفقٌ عَلَيْهِ

“Demi sesengguhnya kejayaanmu menjadikan seseorang itu mendapat hidayah Allah lebih baik daripada mendapat kenderaan paling mahal harganya”.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 29 Ramadan 1438H / 24 Jun 2017M - HARAKAHDAILY 24/6/2017