26
Sun, May
38 Artikel Baru

Takziah Puan Noriah Yunus

Kolumnis
Typography

TIDAK pernah dalam perkhidmatan saya di banyak posisi saya berkesempatan menyampaikan takziah kepada kakitangan di bawah saya, melainkan sekali ini kepada Puan Noriah Yunus yang pemergian suaminya Almarhum Aminudin Abdullah petang Sabtu 16 Februari lalu setelah sekian lama uzur.

Puan Noriah adalah satu-satunya staf saya di Sidang Assabiqun. Dia staf Pejabat Agung PAS ditawarkan oleh PAS menjadi staf saya dua bulan lalu.

Moga-moga bersabar atas ketentuan Allah itu.

Saya amat kenal Noriah sejak Pejabat Agung PAS di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur lebih 20 tahun lalu.

Khidmat Noriah pada Assabiqun yang pertama membantu saya menyempurnakan Seminar Sejarah PAS sebulan lalu. Lepas itu saya belum jumpa dia kerana melayan suami yang kian uzur. Tetapi dia sudah dalam keadaan demikian sejak lama. Namun Noriah tidak mengabaikan tanggungjawabnya. Menjalankan kerja melalui talian. Sekali sekala saja jumpa tentang urusan kerja.

Saya baru saja teringatkan Noriah tentang tugas baru Assabiqun. Beberapa hari sebelumnya Jawatankuasa Kerja PAS Pusat meluluskan pelan Assabiqun untuk mengesan ahli PAS yang 60 tahun ke atas yang jumlahnya dikatakan 380,000 orang.

Saya diberitahu angka itu sejak diamanahkan mengetuai sayap Assabiqun parti itu lebih setahun lalu. Kerana saya tidak ada staf, yang ada jawatankuasa Assabiqun saja, saya tidak cari sekalian jasawan PAS.

Jika mereka masih ada, mungkin yang meninggal dalam tempoh tidak begitu ramai, tetapi tambahan ahli yang layak jangkanya lebih ramai. Yang usia 58 dan 59 tahun semasa saya mula mengambil tanggungjawab itu, hari ini sudah 60 tahun. Ertinya sudah lebih dari 380,000.

Di mana mereka? Baru beberapa bulan dulu saya tahu yang menyimpan nama-nama itu ialah Puan Noriah yang bertugas sebagai staf keahlian parti di Pejabat Agung. Dan masa itulah dia dipinjamkan kepada Assabiqun.

Saya minta Noriah mengeluarkan semua nama itu dari komputer supaya mereka dapat dicari. Kata Noriah tak muat sebuah rumah besar untuk dikeluarkan dari komputer dan dia pun tidak punya masa untuk mentadbirkannya.

Diberitahunya, semua nama itu ada pada setiap kawasan di seluruh negara. Kawasan menyimpan jasawan di kawasannya. Minta mereka mengeluarkannya dan baru ia diuruskan.

Dalam mesyuarat yang terbaru saya cadangkan supaya semua Pesuruhjaya PAS negeri dan wilayah mengarahkan kawasan-kawasan mengeluarkan nama itu dari komputer dalam beberapa salinan. Satu untuk Sidang Assabiqun Pusat, satu simpan di kawasan, satu unuk kegunaan Dewan Pemuda PAS Kawasan yang diberi kerja baru untuk mencari mereka di akar umbi.

Saya mahu lis itu dapat diserahkan dalam masa dua minggu. Ia sudah diputuskan dan memerlukan tindakan. Pejabat Agung akan mengambil tindakan sewajarnya.

Di samping Pejabat Agung bekerja, saya mahu maklumat itu sampai segara kepada PAS kawasan-kawasan hendak mengingatkan sekalian pesuruhjaya supaya menggerakkan kawasan-kawasan.

Noriah ada talian dengan semua pesuruhjaya dan semua kawasan. Saya mahu mesyuarat dengannya dan pembantu Assabiqun Pusat yang lain untuk menyelaras urusan itu. Dalam satu dua hari saya akan panggil mereka. Yang pertama dapatkan Noriah dulu.

Tiba-tiba petang Sabtu itu saya terima maklumat suami Noriah meninggal. Segera saya dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur. Bagaimana saya hendak memulakan kerja kerana Noriah mesti menghormati idah empat bulan 10 hari mulai hari itu.

Saya tidak tahu hendak memulanya, tapi Noriah kata, “Ana akan tolong Pak Haji”.

Besar cabarannya. – HARAKAHDAILY 22/2/2019