19
Thu, Sep
32 Artikel Baru

Teori klasifikasi negara dalam pemikiran falsafah al-Farabi

Pimpinan
Typography

PADA akhir era Ibnu Abi Rabi (m. 885M) dan Ibnu Qutaibah (m. 889M), di Asia Tengah telah lahir seorang tokoh pemikir falsafah Islam yang tersebar, iaitu al-Farabi. Beliau dikenali sebagai Muallim as-Tsani atau 'Guru Kedua', kerana beliau adalah ahli falsafah kedua terbesar selepas Plato (m. 357SM), juga guru falsafah kedua dalam tamadun Islam selepas al-Kindi (m. 873M). Al-Farabi mencipta nama sebagai seorang filosof yang tidak terlibat dalam dunia politik, berbeza dengan Ibnu Sina (m. 1037M), tetapi membahaskan persoalan falsafah politik yang sangat penting, khususnya dalam menggagaskan konsep negara ideal.

fadli ghaniAl-Farabi (870-950M) hidup di Baghdad ketika Daulah Abbasiyah sedang menghadapi krisis politik akibat kelemahan para khalifahnya. Beliau yang menyaksikan konflik dalaman istana, perang saudara dan perpecahan daulah, telah merumuskan secara falsafah gagasan untuk membentuk sebuah negara sempurna dengan gagasan al-Madinah al-Fadhilah, yang secara sinisnya mahu merungkai konflik politik yang sedang melanda dewasa itu. Al-Farabi memandang dari sudut falsafah bagaimana baiknya seseorang itu apakala baik hati ( qalbu)nya, begitulah baiknya sebuah kerajaan apakala baik pemimpinnya.

Al-Farabi: Latar belakang dan karyanya

Al-Farabi dilahirkan di Farab, Transoxiana (Asia Tengah) pada 850M. Ayahnya seorang panglima tentera Turki berbangsa Parsi, tetapi ibunya berbangsa Turki. Nama sebenar beliau ialah Abu Nasr Muhamad bin Muhamad bin Tarkhan bin Awzalagh al-Farabi. Beliau lahir pada zaman Khalifah al-Mu'tamid Alallah (m. 892M) dan hidup dibawah sembilan orang khalifah berakhir dengan al-Muthi' (m. 974). Pada zamannya, terutama mulai zaman al-Qahir (m. 934M), keadaan Daulah Abbasiyah sangat tidak menentu kerana kezaliman, penindasan, perperangan dan perpecahan yang berlaku. Selepas meninggalkan Baghdad, al-Farabi tinggal di Damsyik di bawah Sayful Dawlah al-Hamdani, seorang raja yang mencintai ilmu. Tokoh yang menguasai bahasa Arab, Turki, Parsi dan Kurdis ini meninggal di Damsyik dalam tahun 950M.

Al-Farabi telah berhijrah dari Farab ke Baghdad untuk mempelajari falsafah, sebelum ke Mesir dan Damsyik. Sebelum ke Baghdad, beliau telah mendalami ilmu agama sehingga dilantik menjadi Qadhi Farab. Guru falsafahnya di Baghdad, Abu Bisy Matta bin Yunus dan Yuhana bin Haylan adalah beragama Nasrani. Beliau membaca karya-karya Aristotle seperti De Anima dan Physics ratusan kali. Di Damsyik beliau digelar Muallim as-Tsani dan menjadi salah seorang ahli dalam muzakarah ilmu Sayful Dawlah al-Hamdani (m. 967M). Ketika berada di Mesir, beliau menuliskan karya terbesarnya, al-Madinah al-Fadhilah, sedangkan keseluruhan karyanya berjumlah lebih 100 buah. Dalam bidang politik dan akhlak, beliau menghasilkan 14 buah kitab. Antara karya politik beliau yang lain ialah as-Siyasah al-Madinah dan Tashil as-Saadah.

Asal mula negara dan teori organik al-Farabi

Al-Farabi pada asasnya mendukung fikiran Plato dan Ibnu Abi Rabi' tentang teori masyarakat dalam pembinaan negara dan kota. Disebabkan saling memerlukan dan saling membantu itu, akhirnya berdiri sebuah negara. Bagi al-Farabi, manusia berbeza antara satu sama lain, antaranta dipengaruhi oleh keadaan geografi. Kepelbagaian ini kemudiannya bercantum dalam satu sistem yang sama, disebut negara. Negara yang baik adalah yang boleh menyatukan kepelbagaian ini, dengan menuju kepada satu matlamat yang sama, iaitu kebahagian (happiness).

Dalam pembentukan masyarakat ini, ada masyarakat yang sempurna dan yang tidak sempurna. Masyarakat tidak sempurna itu ialah masyarakat desa dan luar bandar atau pada tahap keluarga. Sedangkan masyarakat kota, negara dan ummah yang bergabung untuk melengkapi antara satu dan lain menjadi masyarakat sempurna. Masyarakat sempurna ada tiga tahap iaitu kecil (kota), sederhana (negara) dan besar (umat). Masyarakat sempurna besar adalah gabungan masyarakat sempurna kecil dan sederhana untuk saling membantu dan melengkapi. Masyarakat sempurna itu merupakan masyarakat politik yang terbaik dan unggul.

Al-Farabi mengungkapkan negara dengan teori organik di mana, negara dianalogikan seperti sebatang tubuh manusia yang sihat. Setiap organ tubuh manusia mempunyai fungsi masing-masing yang berbeza, dan mereka bekerja mengikut tugas masing-masing yang tidak sama. Organ yang paling penting ialah hati ( qalb) kerana ia menjadi pemimpin, sedangkan anggota lain menjadi pelaksana kepada arahan hati. Negara juga melalui proses yang sama, di mana rakyat akan melaksanakan tugas yang diarahkan oleh ketua negaranya. Dalam hal ini, baik tubuh manusia atau negara, setiap satunya mempunyai kelas sosial tersendiri, seperti ketua negara, para wazir, tentera dan petani, serta rakyat jelata.

Klasifikasi negara

Al-Farabi membahagikan negara kepada lima jenis, di mana pada setiap jenis ini diukur pada apakah tujuan atau matlamat negaranya, kemudian bagaimana kesan terhadap kehidupan rakyatnya. Negara jenis yang pertama adalah negara yang ideal, manakala empat jenis lagi adalah negara yang bertentangan dengan negara ideal. Lima jenis negara itu ialah:

1. Al-Madinah al-Fadhilah, negara ideal yang mempunyai matlamat untuk mencapai kebahagiaan (as-saadah/happiness);

2. Al-Madina al-Jahilah, negara bodoh. Negara yang rakyatnya tidak mengetahui kebahagiaan sebenar (as-saadah). Mereka hanya tahu kebaikan (khairat), iaitu kebaikan zahir sahaja seperti pembangunan, hiburan dan harta sahaja.

3. Al-Madinah al-Faasiqah, negara jahat. Negara yang mengetahui tentang as-saadah, tetapi mengamalkan perbuatan negara bodoh.

4. Al-Madinah al-Mubaddilah, negara menyeleweng. Iaitu negara ideal yang telah bertukar menjadi negara fasik.

5. Al-Madinah ad-Dallah, negara sesat. Iaitu negara yang mengetahui tentang as-saadah, tetapi tidak beramal dengannya, lalu ia sesat.

Dalam konteks negara bodoh (al-Madinah al-Jahilah), al-Farabi membahagikan negara ni kepada beberapa jenis iaitu:
(1) al-madinah ad-dharuriyah, iaitu negara yang penduduknya hanya mahukan makan, tempat tinggal, pakaian dan keperluas asas yang lain sahaja.
(2) al-madinah al-baddalah, negara kapitalis di mana rakyat hanya berfikir tentang harta, kekayaan, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sahaja.
(3) al-madinah al-khissah wa as-suqut, iaitu negara keinginan dan kemegahan, di mana rakyatnya hanya mahu keseronokan hidup dan berfoya-foya sahaja.
(4) al-madinah al-karamah, iaitu negara kemuliaan, di mana rakyat hanya mahu gelaran kebesaran dan penghormatan sahaja.
(5) al-madinah at-taghallub, negara imperialis, di mana rakyatnya suka melakukan kezaliman ke atas orang lain, dan
(6) al-madinah al-jama'iyah, negara anakri di mana rakyatnya mahukan kebebasan tanpa sekatan.

al-Madinah al-Fadilah

Menurut al-Farabi, negara ideal atau al-madinah al-fadhilah mempunyai tiga ciri asas, iaitu struktur kerajaan yang cekap, matlamat negara yang jelas dan ummah (rakyat) yang mempunyai ideologi. Bagi al-Farabi, struktur kerajaan yang baik adalah sama seperti struktur tubuh manusia, di mana ia mesti dipimpin oleh seorang 'insan kamil' sebagai ketua ( ar-rais), seperti hati ( qalb) bagi tubuh manusia. Para wazir, pegawai dan rakyat sebagai anggota negara pula akan memainkan peranan dan fungsi masing-masing mengikut arahan pemimpin mereka.

Tetapi yang lebih penting bagi al-Farabi ialah matlamat atau tujuan negara. Sekiranya sesebuah negara mempunyai tujuan yang salah, ia akan menyebabkan negara itu menjadi negara yang bertentangan dengan negara ideal, seperti negara bodoh atau negara fasik. Tujuan sebenar negara adalah kebahagiaan di dunia dan akhirat (as-saadah). Negara-negara yang bertentangan dengan negara ideal hanya meletakkan matlamatnya untuk keseronokan, kemewahan dan kemasyhuran di dunia sahaja, kemudian mereka tidak mencapai kebahagiaan tersebut. Negara yang meletakkan akhirat sebagai matlamatnya, akan mematuhi hukum-hukum Allah, lalu mereka berbahagia di dunia dan akhirat.

Ummah atau rakyat yang memiliki ideologi atau gagasan pemikiran (araa') sangat penting, kerana ia menentukan apakah yang hendak dicapai oleh negara. Rakyat yang mempunyai gagasan pemikiran, akan merumuskan hasrat untuk mereka capai, kemudisn disusuli oleh usaha dan ikhtiar oleh negara bagi menyempurnakan hidup mereka di dunia. Ideologi, sikap, sifat dan amalan ummah akan menentukan sama ada mereka dapat mencapai as-saadah atau sebaliknya. Dalam hal ini, persoalan tanggungjawab negara untuk membina ummah yang 'berakal' sangat penting melalui sistem pendidikan dan sebagainya, terutama untuk melahirkan para ulamak, cendikiawan, ahli falsafah, pemikir dan intelektual yang berfungsi membina araa' ummah.

As-Saadah dan Kepemimpinan nubuwah

Konsep kebahagiaan atau happiness yang disebut sebagai as-saadah menjadi bahagian yang paling penting dalam kehidupan di sesebuah negara, kerana ia adalah matlamat akhir yang hendak dicapai. Al-Farabi menghuraikan hal ini di bawah tajuk al-Qawl fi al-Farq Bayna al-Iradah wa al-Ikhtiyar wa fi as-Saadah, di dalam al-Madinah al-Fadhilah nya. Al-Farabi mengatakan as-saadah ini sebagai “sesuatu yang terbaik yang dituntut oleh setiap manusia kerana
kebahagiaan (as-saadah) itu sendiri. Tidak ada selain daripadanya lagi untuk dicapai oleh manusia sepanjang masa dan juga tidak ada sesuatu di belakangnya (yang mahu dicapai oleh manusia) terlebih besar dari kebahagiaan itu sendiri.”

Kebahagian yang dimaksudkan oleh al-Farabi adalah kebahagiaan yang meliputi jasmani dan rohani, lahir dan batin, mundane and celestial, iaitu untuk dunia dan akhirat. Ia menjadi kebaikan tertinggi yang mahu dicapai oleh manusia secara mutlak. Negara ideal menjadi wasilah dalam mencapai kesempurnaan dan kebahagiaan tersebut. Negara yang mahu memberikan kebahagiaan kepada rakyatnya dengan memastikan rakyat taat kepada Allah dan kerajaan melaksanakan hukum-hukum Allah sepenuhnya, termasuk memberikan keadilan kepada rakyat.

Tentang pemimpin utama negara, al-Farabi mengatakan negara mesti dipimpin oleh insan kamil (manusia sempurna). Konsep ar-rais (ketua atau kepala negara) yang diungkapkan oleh al-Farabi dianggap sebagai penentu negara ideal kerana seluruh jentera negara bergerak dan bekerja mengikut arahannya. Manusia pada asasnya memerlukan pemimpin dalam kehidupan bermasyarakat. Al-Farabi melihat bahawa pemimpin mestilah insan kamil (manusia sempurna) dari segi mental, spiritual, fizikal dan moralnya. Ia sangat penting dalam mencapai tujuan kebahagiaan (as-saadah). Persoalan pemikiran, kecendikiawanan dan keilmuan ketua yang mengatasi rakyatnya akan membolehkan berlakunya proses mendidik rakyat melalui peranan sebagai guru (muallim) dan pembimbing (mursyid). Dalam hal ini, al-Farabi membawa teori kenabian (nubuwah) untuk mengaitkan peri penting insan kamil sebagai ketua negara. Seorang ketua mestilah mempunyai kekuatan daya fikir yang tinggi, seperti nabi-nabi yang menerima wahyu.

Secara umum, al-Farabi meletakkan 12 syarat menjadi ketua negara ideal dalam ringkasan di bawah:

i. Sempurna anggota badan untuk menjalankan tugas kepemimpinan;

ii. Baik dari kefahaman, ingatan (hafalan), bijaksana dan cerdik, dapat membuat penjelasan dengan baik, minat terhadap ilmu, mudah menerima ilmu dan tidak penat menimba ilmu;

iii. Tidak bersikap berlebihan dalam hal makan minum dan seks;

iv. Cintakan kebenaran dan menolak pembohongan;

v. Berjiwa besar dan berhemah tinggi;

vi. Tidak berminat mengumpulkan harta dan kekayaan;

vii. Prokeadilan dan antikezaliman dan penindasan, sukar dipengaruhi oleh perkara buruk, mudah diajak kepada kebaikan dan keadilan; dan

viii. Mempunyai keazaman yang kuat dan berani terhadap sesuatu keperluan.

MOHD FADLI GHANI
Islamic Institute of Independent Research on Democracy (IIIIRD) – HARAKAHDAILY 12/5/2019