19
Thu, Sep
33 Artikel Baru

Ibnu Sina dan gagasan negara adil makmur

Pimpinan
Typography

SALAH seorang pendukung utama al-Farabi (m. 950M) dalam bidang falsafah ialah Ibnu Sina. Tokoh yang terkenal di Barat dengan panggilan 'Avicenna' ini lebih masyhur sebagai seorang bapa dalam ilmu perubatan dan kitabnya, al-Qanun fi al-Tibb adalah yang paling terkemuka dalam ilmu tersebut. Namun begitu, gagasan-gagasan falsafah beliau tentang kenegaraan belum banyak dikaji oleh para sarjana, kecuali beberapa orang sahaja seperti Dr Muhammad Yusof Musa (1952) dan Zainal Abidin Ahmad (1974). Seperti al-Farabi dengan gagasan al-Madinah al-Fadhilah, Ibnu Sina melalui karya falsafahnya turut mencanangkan gagasan-gagasan negara makmur dalam menghadapi konflik semasa yang berlaku.

fadli ghaniBerbeza dengan al-Farabi yang menjadi filosof di luar kerajaan, Ibnu Sina sebaliknya telah menjadi tenaga penting dalam pentadbiran negara. Beliau pernah menjadi menteri di Hama selama lima tahun dan perdana menteri untuk sembilan tahun, kemudian menjadi menteri lagi di Hamazan dan akhirnya menjadi penasihat utama raja di Isfahan sehingga beliau wafat. Dengan latar belakang ini, menjadikan beliau sebagai ahli falsafah yang berpolitik, sekali gus dapat mencurahkan idea-idea dalam karya-karya falsafah. Teori-teori politik beliau dipengaruhi dengan kuat oleh al-Farabi dan juga Plato.

Kehidupan beliau yang berlatar belakangkan Asia Tengah ternyata tidak melepaskan beliau dari konflik politik yang berlaku. Ayahnya seorang pembesar dalam kerajaan Samaniyah, lalu kegiatan Ibnu Sina sering dicemburui, lebih-lebih lagi keupayaan beliau menguasai ilmu agama dan ilmu kedoktoran, selain menghafal al-Quran. Ketika berusia 17 tahun, beliau difitnah membakar perpustakaan istana, sedangkan ketika menjadi menteri, beberapa kali beliau merengkok di penjara akibat fitnah dan persaingan kuasa. Latar belakang inilah yang memberikan ilham kepada Ibnu Sina untuk mengungkapkan gagasan negara adil makmur, yang pada prinsipnya adalah cantuman idea al-madinah al-fadhilah al-Farabi dan negara adil (just state/al-madinah al-adilah) Plato, yang dicantumkan dengan gagasan Ibnu Sina sendiri, al-madinah al-hasanah as-siirah (negara kebajikan). Bagi Ibnu Sina, negara Islam adalah kombinasi tiga bentuk madinah iaitu al-fadhilah, al-adilah dan al-hasanah.

Ibnu Sina sebagai filosof Muslim

Nama lengkap Ibnu Sina ialah Abu Ali Hussein bin Abdullah bin Sina, tetapi beliau dikenali sebagai Avicenna di Barat. Beliau lahir di Afsyanah, dekat Bukhara pada 980M / 370H, iaitu 30 tahun selepas kewafatan al-Farabi. Sejak berusia 10 tahun, beliau telah menghafal al-Quran dan mendalami ilmu, kemudian kedoktoran dan falsafah Aristotle. Pada usia 17 tahun, Ibnu Sina telah menjadi doktor di istana Hama. Selain Bukhara, Ibnu Sina pernah tinggal di Jarjan dan Hamazan, dan akhirnya di Isfahan. Beliau berkhidmat di istana sebagai doktor, menteri, perdana menteri dan penasihat utama pemerintah sehingga beliau wafat pada 1037M/438H di Isfahan.

Selain kerana kecemerlangan beliau sebagai ahli politik dan doktor, Ibnu Sina lebih terkenal sebagai seorang ahli falsafah sehingga digelar 'Guru Ketiga' selepas al-Kindi (m. 873M) dan al-Farabi (m. 950M), dan sering disebut sebagai as-Sheikh ar-Rais (ketua mahaguru) kerana kepakaran beliau yang tiada tolok banding dalam bidang kedoktoran dan falsafah. Beliau telah menghasilkan sekitar 250 karya tulis, tetapi yang paling terkenal ialah al-Qanun fi al-Tibb dalam bidang perubatan dan as-Shifa' dalam bidang falsafah. Dalam bidang politik, beliau menuliskan Risalah as-Siyasah, Fi lthabati an-Nubuwwah, al-Arzaq, dan Fi Aqlam al-Ulum al-Aqliyah, selain falsafah-falsafah politik yang dirakam di dalam as-Shifa'.

Konsep Nubuwwah: Asas falsafah politik Ibnu Sina

Ungkapan al-Farabi tentang kepemimpinan nubuwah telah mempengaruhi Ibnu Sina dalam pembentukan falsafah politiknya. Dalam memperkatakan tentang konflik politik yang dihadapi, Ibnu Sina secara falsafah membahaskan soal nubuwat atau kenabian yang menetapkan hukum, di mana pendengar hukum nabi itu ada dua, pertama yang 'banyak' dan kedua yang 'sedikit.' Yang sedikit itu adalah orang yang dipersiapkan secara semula jadi untuk memerhatikan (nazar) keadaan rakyat. Hikmah nazariyat (kebijaksanaan pemerhatian / teoritis) adalah berbeza dengan kebijaksanaan amali yang dilaksanakan oleh pemerintah berkait moral dan kebajikan awam untuk semua rakyat berkait kebahagiaan manusia, kesejahteraan dan pencapaian kesempurnaan. Bagi beliau, penekanan harus diberikan kepada pemerintah supaya mengutamakan kebijakan amali sebagai dasar undang-undang negara.

Ibnu Sina memberikan dua erti kepada nubuwah. Pertama, berkait kearifan teoritis manusia (nazar), yang memberi andaian bahawa tentang kedudukan kebijaksanaan teoritis dan falsafah. Kedua, berkait dengan peranan utusan-utusan hukum Allah. Falsafah amali perlu dilakukan dengan pemerintah mengajarkan kepada rakyat tentang ilmu politik yang beretika sebagai ilmu pengendalian atau tatakelola rumah tangga yang berasaskan wahyu.

Bagi Ibnu Sina, falsafah amali akan memperlihatkan kedudukan pemerintah itu sama ada baik atau jahat. Kebanyakan pemerintah mementingkan kesempurnaan teoritis seperti memotong tangan pencuri, tetapi tiada kebijaksanaan amali, iaitu seperti tidak melihat keadaan masyarakat dan permasalahan individu itu sendiri sehingga berlaku kecurian. Kebijakan teoritis sepatutnya berubah mengikut keadaan, dan sepatutnya pemerintah mempunyai keupayaan untuk memahami keadaan rakyatnya.

Dengan pemikiran yang jelas dipengaruhi oleh al-Farabi, Ibnu Sina bertegas bahawa ahli falsafah sepatutnya menjadi penegak hukum (pemerintah) sebenar, kerana mereka memiliki karakter kenabian (nubuwah), namun umat menghadapi masalah ketiadaan pemimpin yang bertaraf filosof. Oleh itu, pemimpin sekurang-kurangnya mestilah berilmu, cerdas dan faqih dalam agama, di mana pemimpin menjadi contoh kepada rakyat untuk mewujudkan masyarakat terpelajar dan beradab. Karakteristik kenabian ini sangat penting untuk menjadi pemimpin negara. Bagi Ibnu Sina, ciri khas kenabian ada tiga, iaitu (1) inspirasi kenabian dari kebijaksaan intelek yang aktif membawa nilai-nilai baru, berwawasan tinggi dan boleh berimiginasi dalam merungkai masalah, (2) 'wahyu' iaitu mampu mencapai kebenaran yang lebih tinggi, wisdom dan spiritual, dan (3) mempunyai keajaiban dalam membuat prediksi terhadap masa depan.

Secara mudah, Ibnu Sina sebenarnya menjelaskan, "Nabi Islam (Muhammad SAW) secara teguh mengajarkan dan mempraktiskan negara dengan prinsip-prinsip persamaan, persaudaraan dan kemerdekaan. Jalan yang sederhana dari hidupnya, telah diikuti oleh empat Khalifah (ar-Rasyidin), mempertunjukkan kecenderungan kepada penguasa, baik sosial atau ekonomi, supaya membimbing kepada kedudukan rakyat umum." Beliau menambah, "Khalifah sepatutnya memiliki sifat-sifat kebajikan yang terpuji, seperti keberanian, sederhana dan pemimpin yang jujur (husnu at-tadbir).

Teori al-Madinah al-Hasanah as-Siirah: Negara makmur adil

Penghuraian falsafah yang sangat mendalam tentang negara Islam oleh Ibnu Sina adalah lanjutan daripada pemikiran Plato dan al-Farabi sebelumnya. Beliau menerima teori-teori makhluk sosial dan pembinaan negara kota oleh Plato, Aristotle, al-Farabi dan Ibni Abi Rabi' sebelumnya, Tetapi gagasan negara Islam ideal yang dikemukakan oleh beliau sangat menekankan soal akhlak dan moral, iaitu isu yang sangat tajam permasalahannya dalam kerajaan Samaniyah dan Ghaznawiyah di Asia Tengah. Persaingan dan pergolakan politik itu didorong oleh perbuatan tidak bermoral dalam kalangan pemimpin kerajaan Samaniyah.

Maka dalam hal ini, Ibnu Sina menyebut tiga buah negara di dalam kitab as-Shifa', yang kemudiannya menggambarkan idea negara yang dicita-citakannya.

1. al-Madinah al-Fadhilah (negara utama) yang bercorak kemasyarakatan. Konsep ini telah diangkat oleh al-Farabi sebelumnya.

2. al-Madinah al-Adilah (negara adil) yang berpegang teguh dengan undang-undang dan menjunjung keadilan dalam semua aspek. Konsep ini pernah dikemukakan oleh Plato sebagai just state.

3. Ibnu Sina menggagaskan konsep baru iaitu al-Madinah al-Hasanah as-Siirah (negara bermoral) yang mendukung prinsip moral yang tinggi. Bukan sahaja seluruh rakyat berakhlak, tetapi juga pemimpin, masyarakat dan negara mesti tunduk kepada hukum moral yang tidak tertulis.

Bagi Ibnu Sina, negara Islam adalah negara fadhilah, adilah dan hasanah. Ibnu Sina turut mengemukakan beberapa konsep pengurusan kekayaan negara untuk menggambarkan kesatuan tiga konsep negara Islam tersebut, iaitu (1) maal musytarak iaitu harta kekayaan negara bersama, dan ia mesti digunakan untuk, (2) mashalih musytarakah iaitu kepentingan bersama. Dari sinilah lahirnya negara adil makmur atau disebut oleh Rosenthal sebagai Idealistic Islamic State.

MOHD FADLI GHANI
Islamic Institute of Independent Research on Democracy (IIIRD) – HARAKAHDAILY 16/5/2019