19
Thu, Sep
33 Artikel Baru

Teori imamah dalam pemikiran sosio-politik Imam Al-Juwaini

Pimpinan
Typography

KEHIDUPAN al-Juwaini dalam sebuah kekhalifahan yang lemah di bawah al-Qadir Billah (381-423H), al-Qaim bi Amrillah (422-467H) dan al-Muqtadir Billah (467-487H), telah mempengaruhi corak pemikiran politik beliau, khususnya dalam suasana pergolakan sosial itu. Tetapi kemunculan Sultan Bani Saljuk, Alp Arslan dan wazirnya, Nizam al-Mulk memberikan warna lain terhadap konsep kepemimpinan umat. Satu lagi faktor yang penting ketika ini ialah kebangkitan Daulah Fatimiyah di Mesir yang menguasai Hijaz dan kejatuhan Daulah Umayyah di Cordova pada 1031M. Sedangkan dalam masa yang sama, tidak kurang juga berlaku persaingan politik Sunni-Syiah di dunia umat Islam.

Fadli2Dalam menghadapi hal inilah, al-Juwaini mengangkat teori-teori sosio-politik beliau berkait soal imamah (kepemimpinan), hubungan antara agama dan kekuasaan politik dan juga hubungan pemimpin dan rakyat. Seperti mana para sarjana Islam sebelumnya seumpama al-Farabi (m. 950M), Ibnu Sina (m. 1037M), al-Mawardi (m. 1059M), Ibnu Hazm (m. 1064M) yang membahaskan persoalan pokok tentang kepemimpinan, al-Juwaini yang turut bergelut dalam konflik ini, telah mengungkapkan persoalan ini secara meluas dalam karyanya, Ghilyat al-Umam fi Iltiyath az-Zulam yang bermaksud 'Penyelamat Umat pada Kala Kegelapan' yang jelas menggambarkan ungkapan beliau terhadap krisis kepemimpinan semasa ketika itu.

Kesarjanaan Imam al-Haramain

Imam al-Juwaini merupakan seorang tokoh ulamak yang lahir dalam keluarga ulamak besar di Naisabur pada 419H / 1028M. Nama asal beliau ialah Abdul Malik bin Abdullah bin Yusof bin Mohamad bin Abdullah bin Hayawiyah al-Juwaini an-Naisaburi. Selepas mendapat didikan agama dan al-Quran dari keluarganya, pada usia 19 tahun beliau telah dilantik menjadi imam di Naisabur. Antara gurunya yang utama ialah Abu Qassim al-Iskafi (fiqh dan teologi Asya'irah), Imam al-Baihaqi (hadis) al-Khabbazi (tafsir), Abu Hassan al-Muzakki, Abu Saad ibn Hamdan an-Nasrawi, Abu Nu'aim Asbahani. Pada tahun 1058M, beliau berhijrah ke Hijaz dan mengajar di Masjid al-Haram dan Masjid an-Nabawi, selain menjadi imam di kedua-dua masjid suci ini dan digelar Imam al-Haramain. Beberapa tahun kemudian, beliau dilantik oleh Nizam al-Mulk sebagai mudarris (profesor) di Madrasah Nizamiyah, Naisabur yang ditubuhkan pada 459H / 1067M sehingga beliau wafat pada 478H / 1085M di kota itu.

Sebagai seorang sarjana besar yang menjadi guru kepada Imam al-Ghazali (m. 1111M), beliau adalah mujtahid dalam Mazhab Syafie. Beliau melalui kota-kota Naisabur, Mekah, Madinah, Baghdad dan lain-lain dalam rehlah ilmunya. Beliau menghasilkan karya-karya usul fiqh seperti Nihayat al-Matlab fi Dirayat al-Mazhab, al-Waraqat fi Usul al-Fiqh, al-Burhan fi Usul al-Fiqh, Risalah fi al-Fiqh, Ghunyah al-Murtasyidin fi al-Khilaf dan Kitab al-Kifayah al-Jidal. Dalam ilmu kalam, antara karyanya ialah al-Irsyad ila Qawati al-Adilla fi Usul al-I'tiqad, Luma' al-Adilla fi Aqa'id Ahl as-Sunnah, al-Aqidah an-Nizamiyah, as-Shamil fi Usul ad-Diin dan at-Tuhfah. Dalam bidang perbandingan agama, karya beliau ialah Syifa al-Ghalil. Tetapi dalam bidang siasah dan ijtimaiyah (sosial), karya terbesar beliau ialah Ghilyat al-Umam fi Iltiyah az-Zulam. Kerana keilmuannya, beliau digelar Rukn ad-Diin, Dhiya ad-Diin dan al-Imam al-Haramain, selain turut digelar Abu al-Mawali yang bermaksud 'Bapa kepada Pembesar'. Selain al-Ghazali, turut menjadi muridnya ialah Abu Nasir Abdul Rahim al-Qusyairi dan Abu Fath Nasr al-Maqdisi.

Hubungan agama dan kekuasaan: Al-Imamah dalam pemikiran al-Juwaini

Imam al-Juwaini mengatakan bahawa memelihara keamanan dan ketertiban adalah kewajipan syarak, kerana manusia yang tidak dipimpin akan mengikut hawa nafsunya, sedangkan manusia itu mempunyai karenah yang pelbagai, sehingga jika dibiarkan ia akan menyebabkan konflik dan kekacauan. Oleh kerana Allah memberikan kepada tangan pemimpin kekuatan ke atas manusia lebih berkesan daripada hukum di dalam al-Quran, maka kepemimpinan atau al-imamah menjadi suatu kewajipan, terutama untuk menjaga maslahah agama dan mentadbir dunia. Bagi al-Juwaini, walaupun al-Quran adalah sebuah kitab yang lengkap dengan peraturan hidup, ia tidak akan menjadi peraturan, sehingga pemimpin yang berkuasa menguatkuasakannya ke atas rakyat, maka atas asas ini, kepemimpinan menjadi suatu kewajipan syarak yang tidak boleh ditolak lagi.

Pemikiran yang diangkat oleh al-Juwaini ini menunjukkan bahawa beliau menghubungkan di antara agama dan kekuasaan politik. Bagi beliau, agama sama sekali tidak boleh dipisahkan daripada kekuasaan. Kerana itu, imam yang dilantik mestilah memenuhi syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan oleh syarak kerana imam adalah penerus tugas kenabian sebagai pemimpin agama dan urusan keduniaan. Setiap urusan agama, menurut al-Juwaini diuruskan oleh negara, sehingga negara dan pemerintahan tidak boleh dipisahkan daripada agama. Mendirikan imamah adalah kewajipan syarie.

Dalam hal melaksanakan kewajipan agama ini, seseorang pemimpin atau imam mendukung dua tugas kenabian. Pertama, tugas agama iaitu untuk melaksana dan menegakkan Islam, dan kedua, tugas dunia iaitu perkara-perkara pengurusan negara yang mesti diuruskan berdasarkan Islam. Dalam soal ini, al-Juwaini turut mengangkat konsep kontrak sosial di mana rakyat wajib memberi bai'ah kepada pemimpin, yang diikuti oleh ketaatan. Al-Juwaini bersikap demokrat dalam soal ini di mana pemimpin berhak menghukum rakyat jika melanggar syariat dan undang-undang, manakala rakyat pula melalui ahl al-halli wa al-aqdi boleh menegur dan memecat imam yang tidak adil mengikut pertimbangan syarak. Pemikiran ini lebih dekat kepada teori kedaulatan rakyat atau rakyat sebagai sumber kedaulatan negara.

Melantik dan menurunkan pemimpin

Kedudukan rakyat sebagai sumber kuasa telah menerbitkan pengangkatan pemimpin dalam pemikiran al-Juwaini. Beliau mengatakan bahawa pemimpin diangkat melalui empat cara, iaitu:

1) Bai'ah ahl al-halli wa al-aqdi, sebagai elit dalam kalangan Sahabat telah memberikan bai'ah kepada Abu Bakar as-Siddiq di Thaqifah Bani Sa'idah;

2) Tawliyat al-'ahd min imam, iaitu penunjukan oleh pemimpin sebelumnya. Hal ini adalah berdasarkan kaedah Abu Bakar as-Siddiq menunjuki Umar bin al-Khattab sebagai penggantinya;

3) Pengambilan hak pada saat dia merupakan satu-satunya yang berhak ke atas kepemimpinan. Hal ini adalah seperti Muawiyah mengambil kepemimpinan daripada al-Hassan bin Ali. Al-Hassan dan Hussein kemudiannya memberi bai'ah atas asas Muawiyah berhak ke atasnya dan kewajipan menolak fitnah yang akan jika Muawiyah tidak mengambilnya; dan

4) As-shadr az-zaman iaitu mengambil kekuasaan melalui kekuatan seperti Bani Abbasiyah mengambilnya dari Bani Umayyah pada 750M.

Al-Juwaini menolak dakwaan golongan Syiah yang mengatakan bahawa Nabi SAW telah menetapkan kepemimpinan umat kepada Ali bin Abi Talib. Ini dibuktikan dengan tindakan para Sahabat yang utama memberikan bai'ah kepada Abu Bakar as-Siddiq, bahkan Ali bin Abi Talib juga berbuat demikian. Namun begitu, daripada empat kaedah mengangkat pemimpin ini, semua orang yang diangkat mestilah memenuhi syarat-syarat kepemimpinan yang ditetapkan syarak.

Bagi seseorang imam yang telah diangkat, syariat tidak menetapkan satu tempoh khusus untuk dia berkuasa, sebaliknya dia akan terus memimpin selagi ada kemampuan dan sanggup memimpin umat dengan adil berdasarkan hukum syarak. Menurut al-Juwaini, perlucutan jawatan seseorang imam berpunca daripada empat sebab, iaitu (1) kewafatan, (2) khal'u iaitu pemecatan, (3) inkhila' iaitu terpecat, dan (4) pengunduran sendiri atau meletak jawatan.

Dalam soal pemecatan dan terpecat, ia sangat terkait dengan syarat-syarat menjadi imam. Selain syarat nasab (Quraisy), imam mestilah mempunyai sifat istiqlal iaitu kebolehan dan kewibawaannya. Jika dia hilang sifat istiqlal, maka dia boleh dipecat. Sedangkan Islam ada syarat asas menjadi imam, maka mana-mana imam yang murtad, adalah terpecat daripada jawatannya. Begitu juga jika imam menghidap penyakit gila atau sakit jiwa, juga terpecat. Bagi imam yang fasik, maka dia boleh terpecat atau dipecat oleh ahl al-halli wa al-aqdi. Dalam soal ini, sikap brutal imam dalam menghadapi musuh dan peperangan mempertahankan Islam tidak termasuk perbuatan fasik.

Dalam soal pelantikan dan pemecatan imam, ahl al-halli wa al-aqdi diberikan tiga bidang kuasa iaitu (1) melantik imam, (2) memecat imam setelah melalui proses taubat atau dikenal pasti kesalahannya sama ada kecil atau besar. Jika kecil, imam dinasihatkan bertaubat dan melakukan islah, jika besar dia dipecat. Ketika pemecatan imam berlaku, jawatan itu dipangku sementara oleh ulamak, dan (3) mengawasi tingkah laku imam. Dalam masa yang sama, pada keadaan tertentu negara menghadapi beberapa masalah dalam soal imam dan al-Juwaini mencadangkan penyelesaian berikut:

1) masalah imam mafdhul atau fadhil
Pada asasnya, yang memiliki sifat kelayakan ( fadhil) menjadi imam, sedangkan yang tidak mencukupi syarat (mafdhul) tidak boleh diangkat. Tetapi jika fadhil berhalangan, maka al-Juwaini membolehkan mafdhul. Jika mempunyai dua calon imam yang mempunyai kebolehan yang sama, hendaklah dipilih berdasarkan kepada yang menguasai keperluan semasa;

2) Masalah dua imam
Pada asasnya, umat Islam hanya mempunyai seorang imam sahaja supaya umat bersatu. Jika terdapat dua imam, mereka akan saling bersaing dan menjatuhkan sehingga negara menjadi kacau bilau. Bagi al-Juwaini, jika terdapat dua imam dalam satu kawasan, imam yang kedua adalah terbatal. Jika wilayah mereka berjauhan dan memerlukan pemimpin, boleh dilantik seorang amir, tetapi bukan imam. Dalam hal ini, imam boleh melantik pembantu (wazirah) dan wakil (niyabah) yang menggantikan imam, kecuali dalam memutuskan dasar yang meliputi seluruh negara Islam.

Ciri-ciri kepemimpinan menurut al-Juwaini

Al-Juwaini agak terperinci dalam menghuraikan ciri-ciri kelayakan seorang imam. Beliau membahagikan hal ini kepada beberapa aspek seperti berikut:

1) Integriti dan beragama Islam. Orang kafir tidak boleh diangkat sebagai pemimpin dan pemimpin yang murtad tercepat dari jawatan kepemimpinannya. Jika dia kembali Islam, dia tidak akan mendapat semula jawatannya secara automatik, tetapi mesti melalui proses pemilihan semula;

2) Istiqlal iaitu sifat mandiri seorang pemimpin. Pemimpin mestilah cerdas, berani, bertaqwa, wara', mempunyai visi masa depan, mampu berijtihad, mempunyai kekuatan dan berpengaruh ke atas tentera. Sifat-sifat buta, cacat fizikal, kebiri, buta sebelah mata dan berhidung pesek boleh menghilangkan kelayakan imam;

3) Nasab Quraisy. Menurut al-Juwaini, ia tidak wajib, tetapi sepanjang sejarah Islam, kekhalifahan dipegang oleh Quraisy;

4) Lelaki dewasa yang cerdas akalnya serta merdeka. Wanita tidak boleh diangkat sebagai pemimpin;

5) Ilmu adalah sifat yang wajib dimiliki (al-muktasabah), sehingga pemimpin mesti mampu berijtihad (al-mujtahid) dan mempunyai ciri-ciri seperti seorang mufti yang mampu mengeluarkan hukum; dan

6) Wara' dan taqwa. Pemimpin tidak diwajibkan ma'shum (bebas dosa), tetapi mestilah mempunyai akhlaq al-karimah (berakhlak mulia).

Teori pengagihan kuasa al-Juwaini

Daripada perbincangan teori politik al-Juwaini, sebenarnya beliau telah mengambil satu pendekatan lain dalam memahamkan hubungan kepemimpinan dan rakyat. Teori pengasingan kuasa ( separation of power) yang dipopularkan oleh Montesquieu (m. 1755m) telah ditolak oleh al-Juwaini. Ahli falsafah Perancis itu mengatakan bahawa kuasa pemerintahan diasingkan kepada tiga bidang iaitu eksekutif, legislatif dan judikatif. Namun, al-Juwaini menjelaskan bahawa sebenarnya, seorang pemimpin adalah mendapatkan kedaulatan dan kuasa daripada rakyat, setelah menerima bai'ah dan ketaatan. Rakyat telah mewakilkan kuasa mereka kepada imam sebagai satu bentuk kontrak sosial, di mana imam wajib memberikan keadilan kepada rakyat.

Dalam memberikan keadilan ini, imam telah mengagihkan kuasanya kepada pihak bawahannya, iaitu judikatif (qadhi) dan legislatif ( ahl al-halli wa al-aqdi). Pada asasnya, imam mempunyai kuasa penuh, kemudiannya mengagihkannya kepada badan-badan kuasa di bawah imam, sedangkan imam kekal berkuasa ke atas umat. Pada zaman tertentu dalam Daulah Abbasiyah, imam telah mengagihkan kuasa eksekutifnya kepada sultan-sultan Bani Saljuk dan para wazirnya. Ini adalah teori yang lebih hampir dengan konsep presidential democracy yang diamalkan sekarang ini. Teori yang dikemukakan oleh al-Juwaini ini adalah bentuk perlimpahan atau pengagihan kuasa (distribution of power).

Mohd Fadli Ghani
Islamic Institute of Independent Research on Democracy (IIIRD) - HARAKAHDAILY 7/6/2019