23
Wed, Oct
41 Artikel Baru

Muktamar di markaz sendiri: Taman Melewar cipta sejarah

Pimpinan
Typography

KETIKA PAS berada dalam Barisan Nasional (1974-1977), PAS telah merancang untuk mendirikan bangunannya sendiri di pusat bandar Kuala Lumpur. Ia bertujuan untuk menjadi pusat pentadbiran parti. Bangunan setinggi 16 tingkat berharga RM12 juta yang terletak di Jalan Chow Kit (sekarang tapak Pusat Penjaja Chow Kit) ini kemudiannya ditangguhkan pembinaannya kerana PAS mahu sebuah kawasan yang lebih luas dan mampu menampung persidangan-persidangan PAS, bukan sekadar menjadi pejabat. Atas insiatif PAS Terengganu, sebidang tanah dibeli di Kampung Changkat, bersebelahan Taman Melewar. Kemudian, dengan bantuan Yang Dipertua Agung PAS, Pak Haji Yusof Rawa, sebidang lagi tanah bersebelahan dibeli oleh Dewan Ulamak PAS. Di sinilah bermulanya sejarah Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar yang dimulakan pembinaannya pada 1985.

Memandangkan PAS telah lama bersidang di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), PAS mula mengatur pembinaan markaznya sendiri. Arkitek utamanya ialah Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri. Pada 1985, dengan kerjasama PAS Selangor dan PAS Wilayah Persekutuan, pembinaan dimulakan dengan sumbangan kewangan dan tenaga ahli-ahli. Ia berlaku secara gotong-royong di mana PAS kawasan-kawasan di Selangor dan Wilayah Persekutuan bergilir-gilir membangunkan tapak markaz tersebut di bawah penyeliaan Ustaz Hassan Shukri. Beberapa tenaga profesional dalam bidang pembinaan turut memberikan sumbangan konsultasi bagi melancarkan pembinaan ini. Sekali-sekala, pada sebelah malam diadakan ceramah perdana di tapak markaz ini sehinggalah fasa pertama siap dibina pada awal 1987.

Pejabat Agung PAS berpindah ke Taman Melewar

Sebaik sahaja fasa pertama siap dibina, diikuti oleh pembinaan Dewan Markaz Tarbiyah (kini Dewan Dato' Fadzil Mohd Noor), proses pemindahan Pejabat Agung PAS pun bermula. Pada peringkat awal, Pejabat Agung PAS berpindah dari Jalan Pahang Barat (sekarang Pejabat Urusan Harakah) ke Pejabat Agung PAS Taman Melewar (sekarang Pejabat KUIZM). Kemudian, Dewan Pemuda PAS Pusat pula berpindah ke satu bilik di tepi belakang Dewan Markaz Tarbiyah (sekarang Surau Muslimat KUIZM). Setelah itu, barulah disusuli oleh Dewan Ulamak PAS Pusat dan Dewan Muslimat PAS Pusat. Setelah proses pembinaan ini selesai, Dewan Ulamak PAS berpejabat di bangunannya sendiri (sekarang Perpustakaan Yusof Rawa), Dewan Pemuda PAS pula beroperasi di tingkat atas Pejabat Dewan Ulamak PAS (sekarang Bilik Kuliah KUIZM), manakala Dewan Muslimat PAS ditempatkan di tingkat atas antara Pejabat Dewan Pemuda PAS dan Pejabat Agung PAS (sekarang Pejabat ILHAM).

Setelah beroperasi di sini lebih 10 tahun, dan penggunaan Dewan Markaz Tarbiyah PAS menjadi semakin padat sama ada untuk muktamar, ceramah politik atau program-program parti yang lain, pada 1999, PAS merancang membesarkan dewan tersebut melalui pembelian tanah di belakang rumah Ustaz Hassan Shukri. Pembinaan yang dibuat pada akhir 2003 ini siap dalam masa dua tahun kemudian sehingga membolehkan dewan tersebut menampung lebih 1,000 orang dalam satu masa. Pada tahun 2007, selepas 20 tahun beroperasi di Taman Melewar, PAS telah memindahkan pejabat Agungnya ke Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Taman Melewar menjadi tuan rumah muktamar

Perpindahan Pejabat Agung PAS ke Taman Melewar pada awal 1987 dan siapnya Dewan Markaz Tarbiyah PAS Pusat telah menyebabkan PAS memutuskan untuk mengadakan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-33 di Taman Melewar. Inilah julung-julung kalinya PAS bermuktamar di markaznya sendiri. Sebelum ini, hanya sekali sahaja PAS bermuktamar di bangunan miliknya sendiri iaitu Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-13 pada 20-21 April 1965 yang diadakan di Dewan Zulkifli, Bangunan PAS Kelantan, Kota Bharu. Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-33 pada 10-12 April 1987 ini pula adalah pertama kali diadakan di markaz milik PAS Pusat.

Secara keseluruhannya, sejak 1987, Markaz Tarbiyah PAS Pusat menjadi tuan rumah secara berturut-turut selama lima tahun (1987-1991), tetapi pada 1992 diadakan di Kota Bharu sempena kejayaan PAS menguasai semula Kelantan pada 21 Oktober 1990. Setelah itu, ia kembali ke Taman Melewar antara 1993 hingga 2001, kecuali 1994 dan 2000 yang diadakan di Terengganu. Mulai 2000 pula, PAS telah menggilirkan lokasi muktamarnya di mana pemilihan parti di adakan di Taman Melewar, sedangkan tahun tiada pemilihan diadakan di luar. Ekoran itu, lokasi penggiliran tersebut ialah Terengganu (2000), Kelantan (2002 dan 2004). Selepas 2003, muktamar PAS tidak lagi diadakan di Taman Melewar ekoran kerja-kerja pembesaran Dewan Dato' Fadzil Mohd Noor yang diadakan pada akhir tahun tersebut. Setelah agak lama di adakan di tempat-tempat lain, akhirnya pada 3-5 Jun 2011, PAS kembali bermuktamar di Taman Melewar. Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-57 ini adalah yang terakhir diadakan di markaz ini.

Berikut adalah muktamar-muktamar tahunan yang adakan antara 1987 hingga 2011 yang Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar menjadi hos utamanya:

1) Muktamar Tahunan PAS Ke-33 di Dewan Besar, Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar, Batu Caves, Selangor pada 10-12 April 1987 / 10-12 Syaaban 1407

2) Muktamar Tahunan PAS Ke-34 di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar pada 8-10 April 1988 / 20-22 Syaaban 1408

3) Muktamar Tahunan PAS Ke-35 di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar pada 31 Mac-2 April 1989 / 23-25 Syaaban 1409

4) Muktamar Tahunan PAS Ke-36 di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar pada 25-27 Mei 1990 29 Syawal – 2 Zulkaedah 1410

5) Muktamar Tahunan PAS Ke-37 di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar pada 31 Mei-2 Jun 1991 / 17-19 Zulkaedah 1411

6) Muktamar Tahunan PAS Ke-38 di Balai Islam, Kota Baharu pada 14-16 Ogos 1992 / 14-16 Safar 1413

7) Muktamar Tahunan PAS Ke-39 di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar pada 11-13 Jun 1993 / 20-22 Zulhijjah 1413

8) Muktamar Tahunan PAS Ke-40 di Masjid Rusila, Marang pada 10-12 Jun 1994 / 1-3 Muharram 1415

9) Muktamar Tahunan PAS Ke-41 di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar pada 14-16 Jun 1995 / 15-17 Muharram 1416

10) Muktamar Tahunan PAS Ke-42 di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar pada 14-16 Jun 1996 / 27-29 Muharram 1417

11) Muktamar Tahunan PAS Ke-43 di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar pada 30 Mei-1 Jun 1997 / 22-24 Muharram 1418

12) Muktamar Tahunan PAS Ke-44 di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar pada 15-17 Mei 1998 / 18-20 Muharram 1419

13) Muktamar Tahunan PAS Ke-45 di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar pada 28-30 Mei 1999 / 12-14 Safar 1420

14) Muktamar Tahunan PAS Ke-46 di Stadium Negeri, Kuala Terengganu pada 2-4 Jun 2000 28 Safar – 1 Rabiul Awal 1421

15) Muktamar Tahunan PAS Ke-47 di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar pada 1-3 Jun 2001 / 9-11 Rabiul Awal 1422

16) Muktamar Tahunan PAS Ke-48 di Pusat Tarbiyah PAS Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan pada 31 Mei-2 Jun 2002 / 19-21 Rabiul Awal 1423

17) Muktamar Tahunan PAS Ke-49 di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar pada 12-14 September 2003 / 15-17 Rejab 1424

18) Muktamar Tahunan PAS Ke-50 di Pusat Tarbiyah PAS Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan pada 27-29 Ogos 2004 / 11-13 Rejab 1425

19) Muktamar Tahunan PAS Ke-51 di Pusat Tarbiyah PAS Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan pada 3-5 Jun 2005 / 25-27 Rabiul Akhir 1426

20) Muktamar Tahunan PAS Ke-52 di Kompleks PAS Kedah, Alor Setar, Kedah pada 7-9 Jun 2006 / 10-12 Jamadil Awal 1427

21) Muktamar Tahunan PAS Ke-53 di Pusat Tarbiyah PAS Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, Kelantan pada 1-3 Jun 2007 / 15-17 Jamadil Awal 1428

22) Muktamar Tahunan PAS Ke-54 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak pada 15-17 Ogos 2008 / 12-14 Syaaban 1429

23) Muktamar Tahunan PAS Ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada 5-7 Jun 2009 / 11-13 Jamadil Akhir 1430

24) Muktamar Tahunan PAS Ke-56 di Pusat Tarbiyah PAS Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, Kelantan pada 11-13 Jun 2010 / 28 Jamadil Akhir 1431

25) Muktamar Tahunan PAS Ke-57 di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Batu Caves, Selangor pada 3-5 Jun 2011 / 1-3 Rejab 1432

Mohd Fadli Ghani
Head
House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS – HARAKAHDAILY 26/6/2019