Doa Ustaz Dusuki untuk kemenangan Islam

Fikrah
Typography

KECOH tentang doa al-Fadhil Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani pada malam munajat sempena 10 tahun PAS dalam Kerajaan Selangor pada 18 Mac yang lalu.

Pandangan saya:

⚫     Doa itu menampakkan sekali kerendahan hati seorang hamba yang serba dhaif mengadu hal dan masalah kepada tuhannya Yang Maha Berkuasa.

⚫     Begitulah hidup seorang mukmin, walaupun banyak yang dibuat dan diusahakan untuk mencapai cita-cita dan tujuan, namun itu hanyalah usaha yang tidak memberi bekas. Lalu dia sangat memohon agar Allah S.W.T jua yang memakbulkan hasratnya.

⚫     Itulah juga halnya seorang petugas dalam gerakan Islam, sentiasa mengadukan kesukaran tugasnya dan kehibaannya atas penolakan manusia untuk kembali kepada fitrah Islam, kepada tuhannya yang Maha Esa.

⚫     Petugas gerakan Islam tidak pernah merasakan, mereka keseorangan dalam berjuang. Ia telah dimulakan oleh para Nabi dan Rasul, seterusnya dipikul oleh generasi demi satu generasi sehinggalah hari kiamat.

⚫     Oleh itu, tentulah doa itu juga mengambil semangat dan sempena daripada sejarah perjuangan Islam sepanjang zaman. Kerana bukan kita yang memulai perjuangan ini. Dan bukan juga kita yang menyudahinya. Sejarah pertolongan Allah kepada pejuang Islam sentiasa disebut sebagai satu kesyukuran dan juga satu harapan.

Termasuklah peristiwa Ahzab, iaitu ketika Madinah dikepung musuh dan hampir tiada jalan keluar daripada tekanan pihak musuh yang ramai itu melainkan kebergantungan dan tawakal yang penuh kepada Allah S.W.T jua.

Akhirnya, pasukan Ahzab ditewaskan oleh angin kencang dan sejuk sehingga meninggalkan bumi Madinah yang mereka kepung. Itulah Allah S.W.T mengalahkan tentera Ahzab dengan keesaanNya.

⚫    Doa itu antara hamba dengan tuhannya. Tidak semestinya perkara-perkara yang diminta oleh seseorang hamba akan dimakbulkan semuanya. Namun seseorang hamba akan sentiasa meminta sesuatu yang bermanfaat kepada dirinya, sama ada perkara dunia atau akhirat. Termasuk dalam manfaat itu juga, mendoakan kegagalan musuh yang menghalang perjuangan Islam, mendoakan kegagalan golongan yang berhasad dengki kepadanya dan mendoakan kegagalan syaitan dan ahli sihir mengganggu kehidupannya.

⚫     Jika anda setuju dan mempunyai permintaan yang sama seperti dan diminta oleh orang yang berdoa, anda boleh mengaminkannya.

Jika tidak, tak perlu anda mengaminkannya. Mintalah apa yang anda suka. Anda tidak dilarang untuk merendah diri dan berdoa kepada Allah meminta apa yang anda suka.

Saya pula, tentulah doa sebaik itu, saya akan aminkannya. Berikut doa Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani yang dimaksudkan itu:

"Di malam yang baik ini, ya Allah, kami berkumpul di padang ini mengharapkan kejayaan kepada Parti Islam Se-Malaysia, PAS, khususnya di bumi Selangor ini dalam pilihan raya yang akan kami lalui.

"Kami memohon, mengadu kepada-Mu ya Allah betapa lama bumi Selangor ini dijajah dengan suasana yang tidak (dengan) cara agama.

"Kami memohon kepada-Mu Ya Allah agar diberi peluang kepada Parti Islam Se-Malaysia, PAS, untuk memerintah bumi Selangor ini.

"Berilah peluang untuk melihat keadilan Islam, berilah peluang untuk melihat betapa indah agama-Mu ini di bumi bertuah ini.

"Ya Allah ya Tuhan kami, kami memohon kepada-Mu betapa ada di kalangan ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) kami disekat perbelanjaan, peruntukan untuk mereka.

"Pada-Mu kami pohon untuk membuka hati-hati mereka itu. Ataupun selayaknya Kamulah yang membalas kepada mereka itu ya Allah.

"Kami pohon untuk mengadu pada Kamu Ya Allah, betapa jamaah ini dikhianati oleh mereka-mereka yang melarikan kerusi kami.

"Kami pohon Ya Allah betapa mereka ini selayaknya Kamu membalasnya. Kamulah yang sebaik-baiknya yang membalas.

"Tidakkah Kamu menyebut doa mereka yang dizalimi itu tidak akan ditolak oleh-Mu. Kami pohon kepada-Mu segala pakatan yang mereka rancang itu dihancurkan (dan) lebur mereka Ya Allah.

"Ya Allah jadikanlah pakatan yang jahat itu, pakatan yang tidak mempunyai kekuatan ya Allah, sebagaimana Kamu telah meleburkan tentera-tentera Ahzab itu ya Allah.

"Demikianlah kami akan hadapi nanti ya Allah. Demikian juga kami akan berhadapan dengan Barisan Nasional dalam pilihan raya yang akan datang.

"Kami pohon pada-Mu ya agar dibuka hati setiap pengundi-pengundi di kalangan kami ini agar melihat bagaimana kezaliman yang dilakukan BN sebelum ini terhadap rakyat bumi Selangor dan bumi Malaysia ini.

"Kami pohon pada-Mu ya Allah agar dibuka hati sesama kami ini agar dirapatkan ikatan ukhuwah kami ini.

"Jauhkanlah di kalangan kami berpecah sesama kami (dah) bahkan jadikanlah kami kesatuan di kalangan kami.

"Berikanlah kemenangan Islam di bumi Malaysia ini ya Allah sehingga kami lihat keindahan agama-Mu, sebagaimana kami ingin melihat al-Quran yang indah itu dalam setiap sanubari umat manusia.

"Hanya kami membawa ajaran-Mu ini ya Allah. Jika kamu rebahkan kami, siapa lagi yang mampu untuk membawa agama-Mu ini.

"Hanya kami daripada Parti Islam Se-Malaysia, PAS, membawa ajaran agama-Mu.

"Dalam keadaan jerih, ada di kalangan kami telah gugur di jalan-Mu. Ada di kalangan kami yang sedang menunggu-nunggu untuk gugur. Ada di antara kami mengorbankan harta benda mereka. Ada di kalangan kami yang bangun dan sujud pada-Mu ya Allah.

"Guru-guru kami, mereka yang telah berjuang di jalan-Mu sehingga menghadap-Mu membawa perjuangan ini ya Allah. Jadikanlah saat kami menadah tangan pada-Mu ini, kuburan mereka di antara taman-taman syurga.

"Jangan jadikan kubur mereka antara kawah-kawah neraka. Jadikanlah tangan yang memangkah Parti Islam Se-Malaysia, PAS, kubur mereka menjadi damai dan tenang.

"Di atas kesaksian mereka itu, jadikanlah tangan-tangan mereka itu sebagai saksi di hadapan-Mu nanti ya Allah.

"Kami pohon kepada-Mu agar amalan yang baik ini dalam lima tahun sekali, yang mereka pangkah nanti akan bertanggungjawab di hadapan-Mu nanti, hanya melihat Islam sebagai cara hidup di kalangan mereka.

"Berilah peluang pada kami (untuk) membuktikan indahnya agama-Mu ini khususnya di bumi Selangor.

"Kuatkan barisan kepimpinan kami ya Allah. Jangan ada di kalangan kami yang cuba menikam belakang kami pula.

"Sebagaimana tusukan yang pernah ditusuk oleh sahabat-sahabat kami yang mengkhianati baiah itu.

"Kamulah sebaik-baik (yang) membalas ya Allah kerana Kamu Maha Mendengar setiap doa-doa.

"Ya Allah jadikanlah setiap rezeki yang mereka dapat itu, bahan bakar pula bagi mereka nanti, menjadi keseksaan kepada mereka nanti.

"Jadikanlah setiap apa yang kami kerjakan ini amalan soleh untuk kami. Untuk kami tunjuk di hadapan-Mu nanti betapa kami lakukan (dengan) penuh keikhlasan dan penuh ketabahan.

"Kami pohon kepada-Mu agar jangan membolak-balikkan hati kami ini, membolak-balikkan hati pengundi-pengundi sehingga mereka nampak hanya bulan untuk mereka sokong.

"Jadikanlah setiap di kalangan umat bumi Selangor ini yang beriman kepada-Mu, berikan kelapangan dalam hati mereka untuk bersama Islam.

"Berilah peluang Islam bercahaya di bumi ini ya Allah. Jika tiada lagi pertolongan dari-Mu, siapa lagi yang mampu untuk memberi pertolongan untuk kami.

"Jika tiada pertolongan dari-Mu, kepada siapa lagi kami mampu untuk mengadu.

"Izinkan bibir kami menyebut Lailahaillallah Muhammadurrasulullah di saat penghujung kehidupan kami. Kamulah yang memberi kekuatan pada kami pada saat itu.

"Jadikanlah kelapangan di saat kami menghadap-Mu nanti. Jadikanlah kubur kami bercahaya dengan cahaya yang indah, jauhkan kubur kami (daripada menjadi) kawah-kawah neraka.

"Ya Allah ya Tuhan kami, kami pohon untuk bangkit di akhirat bersama panji-panji Islam ini, bersama Nabi-nabi-Mu, bersama Nabi kami Muhammad S.A.W.

"(Dan) berjalan beriringan ke syurga-Mu nanti. (Kami) mengharapkan syurga Firdaus daripada kerja-kerja kami ini.

"Jadikanlah setiap daripada mereka yang bersama Parti Islam Se-Malaysia, PAS, ini semuanya dalam syurga. Jauhkanlah ahli-ahli PAS ini daripada terhumban ke nerakamu pula.

"Ya Allah ya Tuhan kami, jadikanlah setiap usaha kami yang datang (dari) jauh (dan) berkumpul di padang yang luas ini, (sebagai) keluasan rahmat-Mu untuk kami.

"Hancurkanlah tentera-tentera Ahzab itu Ya Allah, hancurkanlah pakatan Ahzab itu ya Allah, hancurkanlah kekuatan mereka Ya Allah.

"Jadikanlah perpecahan di kalangan mereka dan jadikanlah kekuatan kami pula dan tegakkan islam di muka bumi ini.

"Inilah janji kami, inilah permohonan kami. Berilah pertolongan sebagaimana kamu telah memberi pertolongan kepada Nabi kami dalam perang Ahzab Ya Allah." - HARAKAHDAILY 24/3/2018

Penulis ialah AJK PAS Kawasan Marang.