Pecutan pusingan terakhir

Fikrah
Typography

SAHABAT, akhirnya parlimen dibubarkan. Peluang seperti ini tidak selalu datang dalam hidup kita. Empat atau lima tahun sekali. Betul, gerak kerja sepatutnya telah bermula seawal lima tahun lalu. Simpan dulu rasa terkilan pada apa yang lalu. Mari kita hadapi detik yang masih berbaki pada peluang ini. Usah terlalu runsing pada keputusan. Kerana ia telah ada di dalam ilmu Allah. Pembukaan (al-fath) Madinah al-Munawwarah ditentukan-Nya lebih kurang dalam tempoh dua tahun gerak kerja yang melibatkan "Baiah Aqabah". Makkah al-Mukarramah ditentukan-Nya dibuka (al-fath) selepas 20 tahun kenabian. Semuanya di dalam ilmu Allah.

Adapun medan kita adalah bekerja dan berusaha. Merebut dan berlumba untuk menjadi golongan yang mungkin menjadi asbab kemenangan. Agar jariah dari kebangkitan dan kemenangan itu akan berterusan mengalir pahalanya walaupun kita telah tiada. Pelaburan yang menguntungkan dari pengorbanan jiwa, tenaga, keringat, masa, perasaan, pemikiran dan harta benda di jalan Allah.

Kita sesungguhnya tidak pernah kalah. Bermula sahaja kita berjihad dan berkorban untuk kedaulatan Islam, kita telah menang di sisi Allah. Jika dianugerahkan kemenangan di dunia dengan mendapat kerusi, itu bonus untuk dakwah dan perjuangan. Semoga menjadi pembuka kepada masuknya manusia ke dalam agama Allah berbondong-bondong. Jika sebaliknya, usaha dan kerja buat kita tidak akan sia-sia. Ia akan menjadi mata rantai dalam memperkasa dakwah untuk diteruskan pada pusingan berikutnya atau disambung oleh legasi pelapis dan pengganti nantinya.

Positifkanlah jiwa masing-masing. Suntikkanlah semangat untuk meneruskan pecutan pada pusingan terakhir perlumbaan di musim ini. Jangan leka dan usah berlengah. Jangan biarkan satu hari berlalu tanpa berbuat apa-apa usaha ke arah kemenangan. Biarlah waktu itu menjadi saksi di atas jihad dan pengorbanan kita di akhirat nanti. Biarlah letih dan lelah itu menjadi kenangan terindah buat kita saat bertamu di taman syurga.

Sahabat, peluang begini tidak selalunya datang. Insya Allah, segarkanlah jiwa, kobarkanlah semangat, bangkitkan keinginan, ayuh bersama kita memaksimumkan usaha dan kerja pada pecutan pusingan terakhir musim ini. Janji Allah pasti benar, jangan putus asa dari rahmat Allah. Sampai masanya kemenangan akan menjadi milik kita bersama! Allahuakbar! – HARAKAHDAILY 7/4/2018

Penulis ialah Ketua Pemuda PAS Pahang.