23
Tue, May
26 Artikel Baru

Mahathir balun Almarhum TG Nik Aziz, PAN menyepi

Tanah Air
Typography

TUN Mahathir sapu keliling. Watak tidak berubah seolah-olah masih berkuasa. Terbaru, Tun kutuk Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam isu tuhan mencarut. Walaupun isu ini sudah dijelaskan oleh almarhum sewaktu beliau hidup. Persoalannya ke mana hulu balang Pan menyepi. Apakah tidak ada perasaan langsung untuk membantah Tun Mahathir mengutuk Almarhum di hadapan mereka? Apakah mereka sudah hilang deria rasa apabila Tun membelasah almarhum. Sedangkan mereka mendakwa, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz ikon perjuangan mereka.

Kita tidak  hairan apabila Tun menghentam Tuan Guru Haji Abdul Hadi, mereka bertepuk sorak. Memang itulah perasaan mereka, kerana benci kepada Presiden PAS. Sama seperti Tun Mahathir marah kepada DS Anwar Ibrahim suatu ketika dahulu, apa sahaja yang berlaku semuanya salah DS Anwar. Sekarang  apa sahaja yang berlaku bertentangan dengan kehendak politik mereka, maka semua angkara PAS dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Tun istiqamah benci dengan PAS sehingga hujung hayat. Kenapa Tun benci sangat dengan PAS? Sebab Tun tidak boleh cucuk hidung pemimpin PAS. Tun Mahathir ingat pemimpin PAS seperti Kadir Jasin yang kenyang makan dedak zaman Tun. Sekarang berlagak tuduh pemimpin PAS makan dedak DS Najib. Nasihat saya supaya Datuk Kadir Jasin ambil cermin suluh muka dulu, sebelum tuduh pemimpin PAS. Cuba periksa dulu harta dan kekayaan yang beliau miliki, adakah  ibu bapanya orang hartawan di Tokai, Kedah. Ataupun beliau  kaya hasil menjadi pengampu Tun Mahathir dan Umno. Sekarang baru belajar marah kepada Umno kerana dedak Umno tidak cukup.

Tun marah kepada PAS kerana dasar Islam yang dibawa oleh PAS tidak boleh diterima oleh beliau. Tun istiqamah menentang pelaksanaan syariat Islam di negara ini. Berilah apa hujah beliau tetap dengan sikap beliau.  Beliau hendak suruh PAS ikut Islam tafsiran beliau. Kalau mufti pun, Tun lawan. Sunnah Nabi pun beliau perli, apalah sangat dengan PAS. Ingatan kepada Tun, PAS melawan Umno kerana dasar. PAS  lawan Umno, bukan kerana tidak dapat dedak. Berbeza dengan Tun, lawan pemimpin Umno kerana dedak tidak cukup. Nanti apabila dapat dedak, maka senyaplah dan kembali ke pangkuan Umno semula.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS / Ahli Parlimen Bukit Gantang
21 Syaaban 1438 / 18 Mei 2017 - HARAKAHDAILY 18/5/2017