21
Fri, Jul
31 Artikel Baru

Bandar Malaysia: Jangan lupa syarikat Malaysia

Tanah Air
Typography

BERILAH peluang kepada rakyat Malaysia untuk membangunkan Bandar Malaysia. Negara sudah merdeka hampir 60 tahun, mustahil tidak ada kontraktor yang berwibawa untuk membangunkan Bandar Malaysia. Ada hikmah juga selepas pembatalan perjanjian melibatkan konsortium Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan China Railway Engineering Corp (CREC) bagi memiliki 60 peratus pegangan di Bandar Malaysia.

Setelah perjanjian dengan syarikat asal dibatalkan, maka kerajaan pula bersetuju untuk bekerjasama dengan Kumpulan Wanda dari China untuk membangunkan Bandar Malaysia.

Harapan daripada Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia  (PKMM), Datuk Mokhtar Samad yang percaya bahawa kontraktor bumiputera juga layak menjadi pemaju induk jika kena dengan syarat dan proses pemilihan yang telah ditetapkan perlu diambil perhatian oleh DS Najib. Setakat  mana ajaibnya bandar idaman DS Najib Tun Razak sehingga tidak nampak seolah-olah kontraktor tempatan tidak boleh laksanakan.

Kita tidak mahu kontraktor dan syarikat tempatan tidak dapat apa-apa manfaat, bukan sekadar tulang, kuah pun tidak dapat. Apa makna pembangunan, jika kera di hutan disusukan anak dikendong  keciciran.

Trend yang berlaku pada hari ini, negara lebih banyak bergantung kepada pelabur daripada negara China. Ini membuktikan siapa yang ada wang boleh kuasai dunia.  Apa boleh buat negara yang ditadbir pemerintah yang sejak dahulu tidak beringat sewaktu kaya, akhirnya generasi kita terpaksa menanggung beban. Apalah hendak diharapkan sangat untuk meletakkan syarat kepada pelabur bagi menjaga kepentingan rakyat tempatan. Itupun kalau mereka sudi untuk menerima permohonan kita supaya menjaga kepentingan syarikat tempatan. Mereka boleh buat apa sahaja, kerana mereka ada wang.  Mereka tahu kita amat memerlukan mereka, kerana kita tidak ada wang. Akhirnya syarikat tempatan mengemis di negara sendiri.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS / Ahli Parlimen Bukit Gantang
22 Sya'ban 1438 / 19 Mei 2017 - HARAKAHDAILY 19/5/2017