Kesedar: Kerjasama negeri, pusat perlu diperbaiki

Nasional
Typography

TERIMA kasih kerana memberi saya peluang untuk sama-sama berbahas dalam RUU 22/2017 ini mengenai KESEDAR. Seperti yang disebut oleh Yang Berhormat Pasir Puteh sekejap tadi bahawa KESEDAR sudah memamah usia hampir 40 tahun dan pada penubuhannya dia sangat – dia mempunyai tujuan yang sangat murni yakni untuk membasmi kemiskinan dan juga menyusun atur masyarakat pada masa itu. Semasa penubuhan KESEDAR ini kita tahu bahawa tahun 80-an itu, Kelantan adalah negeri yang termiskin dan jajahan Gua Musang ataupun kawasan KESEDAR ini merupakan kawasan yang termiskin dan kependudukan yang tidak terurus.

Saya meneliti sedikit program-program yang dirancang oleh KESEDAR ini dan antaranya ialah seperti yang disebut tadi Program Pembangunan Rancangan Kemajuan Tanah, pemulihan tanah, pembangunan bandar, pertumbuhan pembangunan manusia, pembangunan kampung tradisional, pembangunan ekonomi dan pelaburan, pembangunan pelancongan serta pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam.

Kalau dilihat dari segi program-program utama yang hendak dilakukan oleh KESEDAR maka rasa-rasanya kita boleh melihat KESEDAR hari ini ataupun Kelantan Selatan hari ini mempunyai satu tanda-tanda ataupun satu tanda aras yang tinggi ataupun kita boleh melihat kemajuan di Kelantan Selatan itu.

Untuk itu saya melihat tadi kita telah pun menerima Lembaga daripada Kedah KEDA, KEJORA, KETENGAH dan KESEDAR dan kelihatan kesemua hampir sama cuma perbezaannya satu sahaja KEDA, KEJORA, KETENGAH dia merupakan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri daripada kerajaan yang sama Barisan Nasional tetapi KESEDAR adalah antara Kerajaan Pusat dan kerajaan pembangkang ataupun kerajaan PAS.

Cuma yang ingin saya tekankan di sini bahawa kejayaan KESEDAR tidak boleh lari daripada kerjasama yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Kelantan. Bukan sahaja KESEDAR malah banyak lagi badan-badan berkanun yang lain semuanya kejayaan itu adalah kerana kerjasama baik di antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat. Oleh yang demikian, hubungan ini sepatutnya ditambah baik supaya kita melihat Kelantan satu-satunya negeri yang dikatakan miskin ini boleh ditingkatkan pertumbuhan ekonominya melalui kerjasama yang utuh antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat dalam semua perkara. Kelantan kita tahu pada tahun 1959 sehingga 1978 diperintah oleh PAS. Tahun 1978 hingga tahun 1990 oleh Barisan Nasional dan kembali tahun 1990 sehingga kini kerajaan PAS.

Kita melihat bagaimana tahun 1959 hingga 1978, Kerajaan Negeri Kelantan dianaktirikan. Tetapi tahun 1978 hingga tahun 1990, bagaimana bantuan-bantuan daripada Kerajaan Pusat ke kerajaan negeri masuk kerana pemerintahan yang sama. Tahun 1990 kembali sebegini. Ini semua saya bukan saya yang membuat pengakuan tetapi dibuat pengakuan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita semasa merasmikan Hospital Bachok bahawa yang menghalang bantuan kepada Kerajaan Pusat adalah Tun Dr Mahathir. Walaupun Tun Dr Mahathir sekarang berada di luar, tetapi semasa dia melakukan, dialah Perdana Menteri Malaysia.

Jadi saya berharap perkara sedemikian, politik yang sedemikian kita hentikan seperti mana Yang Berhormat Kota Tinggi sebut tadi, kita gembleng bagaimana untuk kita memajukan Kelantan supaya ekonomi dia menjadi semakin tinggi dan hasrat Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) ini tercapai.

Kedua, selain daripada kerjasama saya ingin menekankan masalah Lembaga KESEDAR itu sendiri. Hal ini kerana KESEDAR mempunyai hasrat yang begitu baik untuk meningkatkan ekonomi, untuk membasmi kemiskinan dan sebagainya. Maka Lembaga Pengarah mestilah orang-orang yang benar-benar berkebolehan, kompeten dan juga mestilah orang-orang yang mempunyai komitmen yang tinggi kerana itu saya melihat apabila akta ini dibaiki supaya adanya anggota silih ganti. Pada diri saya perkara tersebut tidak perlu diadakan.

Sepatutnya kita tidak melantik orang-orang yang tidak ada komitmen sehinggakan mesyuarat tidak cukup kuorum. Jawapan Menteri sekejap dalam KEDA misalnya, kita mengadakan anggota silih ganti kerana Mesyuarat Lembaga tidak dapat diadakan kerana tidak cukup kuorum. Kalau inilah yang dibuat ia menggambarkan kepada saya bahawa komitmen Lembaga ini tidak ada, kesungguhannya tidak ada, kompetennya saya tidak tahu. Saya rasa yang itu tidak perlu maka saya mencadangkan kepada Menteri supaya ia ini tidak ada. Pilihlah benar-benar orang-orang yang mempunyai kompetensi yang tinggi dan juga pilih mereka yang benar-benar mempunyai komitmen yang tinggi kerana kita meletakkan suatu kerja besar yakni kerja untuk membasmi kemiskinan, untuk membangunkan kawasan yang mundur.

Ketiga, saya hendak cakap sedikit mengenai perkara-perkara seperti yang disebut tadi, lapan program utama yang kita lihat semacam tidak diambil kisah. Disebut sekali lalu oleh Yang Berhormat Pasir Puteh tadi dari sudut pelancongan. Kita ada Stong, kita ada Gunung Reng, orang Kelantan Gunung Reng, Gunung Reng tidak sedap, Gunung Reng baru sedap ‘kecek’, Gunung Reng, kita ada Gua Ikan, kita ada Tasik Pergau, kita ada Kuala Koh dan sebagainya tempat-tempat yang begitu menarik.

Tambahan pula, kita berada di sempadan antara Perak, antara Terengganu, Pahang dan juga di utaranya ialah Thailand. Maka kalau ia dibuka dengan baik, diberi nafas baru, diberi keutamaan disertakan juga pembangunan infrastruktur jalan-jalan raya kerana di bawah KESEDAR juga ada juga peruntukan-peruntukan di bawah Kementerian Luar Bandar dan Wilayah ialah untuk membuka jalan-jalan baru dan sebagainya.

Jadi untuk itu saya ingin tahu sebanyak mana jalan-jalan yang telah dibuat di Gua Musang dan bagaimana keseriusan KESEDAR untuk membangunkan kawasan-kawasan pelancongan yang mempunyai potensi yang begitu tingi di Kelantan Selatan  ini yang semestinya boleh mendatangkan ekonomi dan juga peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Seterusnya, saya juga ingin mengetahui dalam program pembasmi kemiskinan ini dari segi jumlah perumahan PPRT dan juga saya mendengar khabar bahawa perumahan PPRT di Gua Musang walaupun sudahnya lama tetapi kesukaran untuk mengisi orangnya, ada masalahnya. Jadi saya ingin tahu apa masalah itu sehinggakan menjadi kelambatan kepada pengisian orang di perumahan tersebut.

Saya rasa itu sahaja yang saya hendak tekankan bahawa pertamanya kerjasama kerajaan negeri dan kerajaan pusat perlu diperbaiki, perlu diperelokkan untuk kesejahteraan rakyat KESEDAR dan Kerajaan Negeri Kelantan secara umumnya.

Kedua, saya ingin menegaskan bahawa pelantikan kepada Lembaga Pengarah perlulah mereka yang betul-betul mempunyai kompeten dan juga perlu mempunyai komitmen yang tinggi untuk menjayakan misi yang besar dan seterusnya minta KESEDAR menumpukan perkara-perkara yang boleh disegerakan seperti tempat-tempat pelancongan dan sebagainya itu tadi. Sekian, terima kasih.

Ucapan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dr Izani Husin semasa membahaskan Rang Undang-undang Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Pindaan) 2017 di Dewan Rakyat pada 8 Ogos 2017.