RUU 164: Tragedi malang buat umat Islam negara ini

Nasional
Typography

PARLIMEN Malaysia mencatat sebuah lagi episod sejarah yang perlu dikenang semalam. 9 Ogos 2017 akan tertulis dalam memori mengerikan buat negara yang selama ini digelar sebagai sebuah negara Islam apabila rang undang-undang bagi meminda Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau dikenali juga sebagai Akta 164 diluluskan pada jam 1 pagi setelah dibahaskan selama beberapa jam di Parlimen.

Di pihak PAS, 13 orang Ahli Parlimennya telah berjuang membantah RUU 164 ini. Mereka ibarat benteng terakhir umat Islam yang mempertahankan kesucian Islam di negara ini. Mereka telah laksanakan amanah mereka dengan baik, dan Parlimen telah membuat keputusannya, dan yang pasti kesemua mereka akan menjadi saksi di hadapan Allah SWT di akhirat kelak.

Tidak timbul PAS hanya bersikap pilih kasih dan hanya menjadi ‘penyokong’ kerajaan Umno-BN. Ianya jelas dan bersuluh untuk dilihat. Bagi PAS, jika sesuatu perkara itu baik untuk Islam dan negara ini, sama ada kerajaan mahupun pembangkang, PAS akan menyokongnya. Sebaliknya, jika ia bertentangan dengan Islam dan rakyat di negara ini, tidak kira siapa yang mencadangkan usul ini, PAS tetap akan menentangnya. Kami ada prinsip, dan prinsip kami mudah difahami, iaitu Islam adalah matlamat tertinggi perjuangan PAS.

Dalam usul semalam, PAS menentang usul yang dibentangkan oleh pihak kerajaan. PAS berdiri teguh mempertahankan prinsip Islamnya, dalam keadaan pihak pembangkang lain tidak bersatu dan bersepakat dalam menyatakan pendirian. Bahkan, ahli parlimen pembangkang sanggup pula bersekongkol dengan Ahli Parlimen BN dalam merendahkan martabat umat Islam di negara ini.

PAS ada sebab yang kukuh untuk menentangnya, dan bukan bangkit menentang secara semberono atau untuk meraih kepentingan politik demi populariti semata-mata. PAS yang diwakili oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, YB Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Takiyuddin Hassan telah membangkitkan percanggahan dengan beberapa peruntukan sedia ada melibatkan Mahkamah Syariah seperti Akta 303 Seksyen 46(2) yang mesti diselaraskan dan dibaca secara bersama dengan Akta 164. RUU 164 dianggap pincang kerana ia kontradik dengan beberapa peruntukan lain seperti Akta 303 Seksyen 46(2) yang memberi hak kepada mualaf membubarkan perkahwinan sebelum Islam dan juga enakmen-enakmen negeri dalam isu yang sama. Ahli-ahli Parlimen PAS juga menuntut penubuhan Tribunal Mediasi menerusi Akta 164 sebagai medium perundingan antara mualaf dengan bekas suami atau isteri.

Apa yang menyedihkan, daripada sejumlah besar Ahli Parlimen beragama Islam, baik pihak kerajaan (Umno-BN) mahupun pembangkang, tidak ada suara yang membangkang usul ini. Lebih pelik apabila Ahli Parlimen beragama Islam dari parti Amanah Negara (PAN) serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengaku berjuang Islam tidak turut sama mengambil bahagian dalam membantah usul ini. Speaker Parlimen dengan mudah menolak bantahan MP PAS yang berjumlah 13 orang tanpa perlu mengundi kerana Speaker hanya akan membuat belah bahagi jika cukup bilang ahli Parlimen berjumlah 15 orang.

Semoga tragedi di Parlimen semalam membuka mata rakyat bahawa PAS benar-benar ikhlas berjuang demi agama Islam dan kepentingan rakyat terutama umat Islam di negara ini. Kerajaan yang ditunjangi Umno tidak serius memikirkan maslahat umat Islam jangka panjang lantas terus membawa isu ini ke Parlimen untuk kelulusan. Di pihak pembangkang pula, mereka bukan pembela Islam sejati, sebaliknya hanya menjadikan Islam sebagai bahan pelaris produk mereka sahaja. Ketika sempit, Islam dijulang dan ketika ingin mencapai sesuatu, Islam dibuang! Bayangkan kalau mereka memerintah kelak, apa akan jadi kepada nasib umat Islam di negara ini?

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
10 Ogos 2017 - HARAKAHDAILY 10/8/2017