19
Thu, Sep
41 Artikel Baru

Sudan Spring: Kebangkitan atau mangsa percaturan?

Dunia
Typography
SUDAN mutakhir ini menjadi perhatian dunia Islam dan Barat dengan berlakunya demonstrasi rakyat yang membawa kepada kejatuhan Presiden Omar Al-Bashir yang memerintah selama 30 tahun. Sudan mempunyai sejarah panjang dalam perang saudara antaranya kejadian pembunuhan beramai-ramai di Darfur dengan 300,000 rakyat menjadi korban pada dekad 90-an. 
 
Kejatuhan Presiden Omar Al-Bashir ini adalah rentetan daripada permasalahan ekonomi yang melanda Sudan terutamanya selepas Sudan kehilangan Sudan Selatan pada tahun 2011 selepas referendum PBB yang di lakukan oleh Omar Al-Bashir. 
 
Peperangan antara puak pemberontak di Sudan Selatan selama bertahun-tahun telah membawa kepada tindakan Omar Al-Bashir menerima referendum PBB. Tindakan Omar Al-Bashir yang ingin menunjukkan sikap 'gentleman' ternyata memakan diri dan memberikan kesan yang cukup besar kepada Sudan.
 
Selepas perpecahan Sudan dan Sudan Selatan pada 2011, Kerajaan Sudan kehilangan beberapa telaga minyak yang berada di dalam garis sempadan Sudan Selatan. Kehilangan hasil 50 peratus sumber ekonomi yang menjadi tulang belakang Sudan ternyata membawa malapetaka kepada Sudan sehingga membawa kepada detik kejatuhan Presiden Omar Al-Bashir sendiri pada 2019.
 
Pengaruh Islamis dalam kerajaan dan tentera
 
Sudan sebagaimana diketahui oleh barat merupakan antara negara yang di senarai hitam dan dituduh sebagai negara pengganas. Hakikatnya Sudan ditadbir oleh kalangan Ikhwan Muslimin selepas Presiden Jaafar Niferi dijatuhkan oleh kudeta tentera yang diketuai Jeneral Omar Al-Bashir pada tahun 1980-an.
 
Jeneral Omar Al-Bashir juga mengadakan kolaborasi bersama dengan Sheikh Hassan Turabi yang berfikrah Ikhwan Muslimin. Gandingan antara dua tokoh ini di dalam pemerintahan kerajaan Sudan tidak kekal lama dan berlaku pertembungan yang membawa kepada Sheikh Hassan Turabi mendekam di dalam penjara selama beberapa tahun. 
 
Hasil pengaruh islamis yang melakar di dalam pentadbiran dan tentera Sudan turut membawa kepada termaktubnya undang-undang Syariah Islam. Perkara ini yang menjadi faktor kepada sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat terhadap Sudan. 
 
Rapid Support Force (RSF) merupakan angkatan tentera yang telah di strukturkan kembali daripada militan Janjaweed. RSF memainkan peranan dalam menjaga sempadan Sudan dan diletakkan di bawah National Intelligen and Security Service (NISS). 
 
RSF mempunyai peranan yang cukup efektif dalam mengekang pemberontakan yang berlaku di beberapa wilayah yang bergolak di Sudan. Jumlah anggota RSF dianggarkan sekitar 50,000 di seluruh Sudan berbanding jumlah tentera Sudan seramai 200,000 anggota.
 
RSF telah digunakan oleh pihak pemerintah dalam menangani krisis protes rakyat yang berlaku di Khartoum dengan kemuncak pembataian pada 29 Ramadan baru-baru ini yang membawa kepada ratusan kematian dalam kalangan pelaku protes. 
 
Di sebalik kejadian demonstrasi rakyat ini, peranan utama yang membawa kepada kebangkitan ialah peranan Sudanese Profesional Association (SPA) yang banyak mempromosikan gerakan kebangkitan melalui media sosial.
 
Peranan SPA ini ternyata membawa kepada kebangkitan besar-besaran sehingga jatuhnya Presiden Omar Al-Bashir. Sebelum kejatuhan Presiden Omar Al-Bashir beberapa siri pertembungan berlaku antara Polis dan rakyat sehingga menyebabkan demonstran berkhemah di depan Kementerian Pertahanan Sudan dan ini membawa kepada tindakan tentera melakukan kudeta dan melindungi para demonstran yang berhimpun. 
 
Ketika naiknya Jeneral Burhan antara janji yang letakkan ialah mengadakan Pilihan Raya Presiden dalam masa 2 tahun bagi melantik Presiden di kalangan orang awam yang tidak mempunyai kaitan dengan tentera namun perkara ini tidak dipersetujui oleh SPA. 
 
Beberapa siri dialog turut diadakan oleh pihak tentera Sudan dengan pelbagai pihak terdiri daripada parti politik dan pertubuhan bagi mencari jalan keluar terhadap krisis yang semakin meruncing yang boleh membawa kepada kehancuran besar Sudan sepertimana yang berlaku di Syria dan Libya.
 
Majlis Peralihan Kuasa (TMC) menetapkan pelan baru untuk mengadakan pilihan raya dalam masa 9 bulan namun pihak SPA masih tidak bersetuju untuk menerima cadangan TMC. Tindakan SPA yang agak keras tidak dipersetujui oleh banyak pihak daripada parti politik dan membawa kepada tindakan keras RSF dengan membersihkan tapak demonstrasi di medan Columbia sehingga membawa kepada kematian para demonstran yang berkhemah selama hampir 2 bulan. 
 
Kebangkitan dan campur tangan asing
 
Demonstrasi di rata-rata medan dipenuhi oleh anak muda lelaki perempuan terutama daripada kalangan pelajar Universiti, pertubuhan dan pelbagai badan yang berkhemah dan membuka gerai pameran.
 
Pada malam hari pula suasana dipenuhi dengan ucapan pemimpin demonstrasi dan konsert nyanyian di pentas utama serta pelbagai persembahan nyanyian secara kumpulan kecil sepanjang 2 kilometer di depan Kementerian Pertahanan Sudan. 
 
Di medan demostrasi ini juga adanya khemah makanan dan minuman yang disediakan. Bagi para demonstran yang sakit dan cedera mereka akan dihantar ke hospital Royal Care iaitu antara hospital swasta yang mahal di Khartoum. Semua kos perubatan ditanggung oleh penganjur. 
 
Penganjur juga mendapat dana dan sumbangan daripada kalangan Sudanese yang berada di luar negara. Malahan jika ada para demonstran yang menghadapi masalah kewangan mereka turut diberikan wang dan dibayar untuk terus berada di medan demonstrasi. 
 
Permasalah yang berlaku ini telah membawa kepada campur tangan daripada pihak asing bagi kepentingan geopolitik mereka. SPA yang didokongi oleh pelbagai aliran dan dikatakan sebalik SPA wujudnya peranan komunis yang menggerakkan promosi demonstrasi ini. 
 
Perkara ini membawa kebimbangan kepada golongan Islamis sehingga Ulamak besar di Sudan iaitu Sheikh Abdullah Hayy Yusuf yang sebelum ini kurang terlibat dalam politik turut bangkit secara lantang memberi amaran kepada semua pihak agar Islam tidak dipinggirkan dan tidak menjadi korban dalam krisis yang berlaku di Sudan ini.
 
Kebangkitan rakyat di Sudan ini telah membawa situasi yang sangat membimbangkan kepada masa depan Sudan sendiri. Beberapa berita palsu turut muncul antaranya jumlah kematian, kecederaan dan jumlah kejadian rogol wanita dan paling mengejutkan ada juga lelaki yang dirogol. 
 
Malahan statistik ini keluar sehari selepas tentera melakukan operasi pembersihan secara kekerasan di medan demostrasi. Tidak dinafikan berlakunya kematian daripada operasi pembersihan oleh tentera, namun berita disebarkan oleh media sosial terutama dari media Barat seolah-olah sebagai lesen untuk meletakkan Sudan sebagai medan terbaru untuk pertembungan kuasa geopolitik kuasa besar. 
 
Kuasa besar dunia akan menggunakan berita yang tidak benar ini untuk menghalalkan tindakan keras kepada Sudan sepertimana berlakunya di Iraq, Syria dan Libya. Berita palsu ini juga turut galak dikongsi oleh netizen Malaysia di media sosial. 
 
Kini tentera mengambil tindakan dengan menyekat talian data Internet telefon selama tempoh 3 bulan dan hanya Wi-Fi kabel di rumah dan pejabat yang masih boleh diakses. Tindakan menyekat Internet telefon ini merupakan tindakan untuk mengawal keadaan dan menyekat tindakan kebangkitan demonstran memandangkan Internet merupakan faktor utama untuk mereka bergerak dalam mempromosikan demonstrasi. 
 
Tindakan menyekat Internet telah dilaksanakan oleh 20 negara Afrika dalam mengekang kebangkitan rakyat di negara mereka dan kaedah ini sangat berjaya. Cafe dan restoran yang menyediakan Wi-Fi dipenuhi oleh pelanggan semata-mata untuk mendapatkan akses Internet dengan bayaran 50 SDG sejam. 
 
Pengalaman sebagai penuntut ilmu di Sudan selama 4 tahun melihat banyak berita yang tidak betul disebarkan kerana Sudanese yang diketahui oleh penulis sangat menghormati perempuan dan sangat jarang berlaku kes perempuan diganggu di jalanan walaupun pukul 12 malam berjalan seorang diri atau berada di dalam bas mereka tidak diganggu dengan gangguan seksual. 
 
Budaya rakyat Sudan yang sangat memuliakan tetamu dan menjaga waktu solat dengan solat subuh masjid sentiasa penuh. Malahan solat waktu yang lain mereka akan menghamparkan tikar didepan kedai atau tepi jalan dan solat dilakukan secara berjemaah tepat pada waktunya. 
 
Netizen Malaysia dinasihat untuk menyelidik sesuatu berita yang datang terlebih dahulu sebelum kongsi di media sosial. Doakan semoga Sudan kembali aman dalam melalui detik genting dan tidak menjadi bidak catur yang merugikan kepentingan Islam dan mengelakkan berlakunya korban darah dikalangan rakyat Sudan.
 
AL-BARUHI
Tahun 3
Penuntut Malaysia di bumi Khartoum, Sudan - HARAKAHDAILY 27/6/2019
image