17
Tue, Sep
45 Artikel Baru

Bukan tempat Si Kaduk dalam junjungan

Dunia
Typography

BARU-baru ini saya ada terbaca satu hantaran rakan lama saya diFacebook. Ia berkenaan kelas agama yang dianjurkan oleh jabatan beliau ketika waktu rehat. Memanggil ustaz untuk membuka kefahaman berkenaan agama bagi dirinya dan juga kakitangan jabatan beliau. Saya tumpang gembira dengan kesungguhan beliau. Kiranya sewaktu sekolah dahulu, beliau memang seorang pelajar yang pintar. Maaf, tetapi beliau bukanlah seorang ustazah. Malah tidak bertudung. Perkara biasa zaman dahulu.
 
Tetapi apabila Allah membukakan hidayah, ia menerpa masuk ke dalam hatinya, beliau mula mengenakan pakaian menutup aurat dengan sempurna. Malah pernah memberitahu sentiasa cuba melarikan diri apabila terpaksa bersalam dengan ‘orang besar’ lelaki. Maklumlah bila berpangkat, memang ada dugaan seperti itu. Jelas, apabila keimanan sudah menebal, maka hal-hal yang dahulu mungkin remeh, menjadi beban yang berat, kerana memikirkan dosa pahala yang bakal ditanggung. Saya doakan beliau istiqamah.
 
Ingatan saya melayang pula ke tempat kerja lama saya, Petronas Gas Berhad (PGB), Kertih. Bermula tahun 1992 memasukinya sebagai pelatih kemudiannya sebagai pekerja tetap, terlalu besar perubahan yang dapat saya saksikan sehinggalah saya berhenti pada sekitar tahun 2002. Ketika mula-mula saya masuk, ada juga daripada kakitangan yang tidak solat langsung atau solat tetapi berselang-selang, atau solat tetapi tidak berjemaah. Yang benar-benar sentiasa solat berjemaah, sangat sedikit.
 
Alhamdulillah, kami mempunyai ketua-ketua yang sangat mengambil berat pelaksanaan solat. Suatu waktu, bilik solat kami hanya boleh memuatkan mungkin tujuh, lapan orang termasuk imam, solat bergilir-gilir. Dengan usaha ketua-ketua ini, mereka berjaya mendapatkan sebuah bilik yang mungkin tiga, empat kali ganda daripada surau kecil itu. Daripada tiada apa-apa, kami akhirnya berjaya membuka kelas agama semasa rehat dengan peruntukan yang ada, menjemput ustaz-ustaz dari luar, mengajar. Solat berjemaah pula menjadi suatu kemestian.
 
Sehingga saya meninggalkan PGB, bilangan yang tidak bersolat kalau tidak silap hanya dua tiga orang dari puluhan orang, masih ada baki yang degil itu. Tetapi orang yang paling keras dahulu, sudah mula mengangkat takbir bersama-sama. Terasa lucu bila teringat pertama kali melihat dia solat secara senyap-senyap. Bersorakan kawan-kawan. Menitis air mata dalam hati, setelah melihat hidayah Allah kurniakan. Kini, tempat itu kekal menjadi taman ilmu pada waktu rehat. Kerja untuk dunia, majlis ilmu untuk akhirat. Amat bertuah rasanya memiliki ketua dan rakan-rakan yang begitu cakna mengenai keperluan agama.
 
Kedua kisah yang saya ceritakan ini ialah berkenaan kehendak diri untuk berubah. Ianya lebih lagi bermakna, apabila ketua jabatan yang menggerakkan perubahan itu. Itulah gunanya kuasa. Mereka menggunakan kuasa yang Allah kurniakan kepada mereka, membawa kumpulan bawahan mereka ke jalan yang benar. Betapa berganda pahala yang mereka dapat apabila mereka berjaya mempengaruhi anak-anak buah mereka untuk melakukan ketaatan. Tepat sekali mereka mendapat jawatan itu. Itu baharu kuasa di pejabat.
 
Bagaimana pula kuasa memegang negara? Ianya pasti lebih besar, kerana jika berjaya membawa rakyat menjadi bertakwa kepada Allah, ia akan membuka pintu-pintu keberkatan di langit bagi negeri jajahannya. Agama rakyat itu mengikut agama pemimpin mereka. Jadi sangat munasabah apabila berjaya mendapat kuasa politik, kita akan menguasai agama rakyat. Jika tidak mempengaruhi rakyat mengikuti agama kita pun, pastinya paling minimum, agama kita itu tiada yang berani memperolok-olokkannya. Tetapi amat pelik jika agama kita semakin dihina teruk ketika kita mendakwa kita memegang kuasa negara. Mana silapnya?
 
Lihat di India setelah Bharatiya Janata Party (BJP), sebuah parti yang berasaskan Hindu, diketuai oleh Narendra Modhi, mendapat kuasa, menang dua kali PRU, kali ini dengan lebih besar jumlahnya, telah mengeluarkan taring mereka, mencabuli perjanjian dengan Kashmir. Sekian lama kepercayaan diberikan kepada Kerajaan India yang diketuai oleh Kongres sejak tahun 1947 dahulu, kini rakyat Kashmir, menerima padahnya bila kuasa bertukar. Secara perlahan-lahan Modhi mahu mengambil Kashmir yang majoritinya Muslim. Artikel 370 yang memberikan keistimewaan kepada Kashmir, dihapuskan Kerajaan India.
 
Penduduk Kashmir kini tertekan dengan keadaan ini. Bukan itu sahaja, menggunakan suatu ritual keagamaan ‘Amarnath Yatra’ yang terletak di sebuah kuil pergunungan Kashmir, rakyat India beragama Hindu, bebas memasuki Kashmir. Hanya ribuan peserta pada sekitar tahun 1980, sekarang, menghampiri 300,000 orang. Kedatangan mereka itu pula, tidak membantu ekonomi rakyat Kashmir kerana semua perbelanjaan mereka ditaja oleh persatuan Hindu. Dan Kashmir juga terkena kesan alam sekitar yang teruk. Akhirnya penduduk Kahsmir yang menderita. Malah ada yang dipukul oleh penganut Hindu ini.
 
Ritual ini sangat digalakkan oleh kumpulan sayap kanan Hindu. Mereka mengadakan promosi yang hebat dengan mendakwa adanya tuhan Shiva di sana. Daripada asal 15 hari perayaan, mereka memanjangkannya kepada 45 hari, menetap di sana. Pada satu-satu ketika kira-kira hampir 20,000 orang menggunakan lereng-lerang bukit di kawasan itu setiap hari, memburukkan lagi keadaan. Ironinya, kuil itu dijumpai oleh seorang Muslim bernama Buta Malik pada sekitar 1850. Keluarganya pula, secara turun temurun, menjadi urusetia kepada ritual Hindu ini, sehinggalah kini diambil oleh jawatankuasa Hindu.
 
Kira-kira 55 tan sampah yang dibuang sepanjang perayaan, menyebabkan aliran air tersekat dan banjir. Kawasan glasier ditarah, harga barangan ditetapkan penganjur, menyebabkan peniaga tempatan mengadu ia dibawah harga keuntungan. Jalan-jalan disekat oleh tentera India, kecuali bagi laluan peserta ritual, menyebabkan pelancong tidak mahu datang, pekerja-pekerja sukar bergerak ke tempat kerja, pelajar-pelajar juga menghadapi kesukaran untuk ke sekolah, kerana perayaan ini. Ia sebenarnya suatu tindakan menguasai Kashmir oleh India. Lebih 60 orang Kashmir mati memprotes keadaan ini.
 
Begitulah kuasa yang digunakan oleh Modhi. Beliau menunaikan janjinya kepada ekstremis Hindu yang menyokong partinya, mereka boleh melakukan sesuka hati. Kepada golongan Islam yang menyokong BJP, sekarang hanya mampu melihat keadaan negara Kashmir, negara Islam yang berada di bawah penguasaan India, bakal tenggelam. Ia seperti perbuatan Nazi dahulu, kata Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan kepada India. Namun, apa yang beliau mampu lakukan? Tanah-tanah Kashmir sekarang bebas dibeli oleh orang Hindu, persis Yahudi memasuki Palestin suatu waktu dahulu. Tangan kamu yang menyokong itu akan menjadi saksi di hadapan Allah.
 
Dalam perkembangan dunia, semenjak dahulu, perluasan kuasa jajahan atau sekarang ini kita panggil kuasa politik ialah kerana mahu melebarkan penguasaan agama, selain kekayaan. Lihatlah Rom, Parsi, Islam dahulu dan eropah di zaman moden. Kerajaan masing-masing mahu melebarkan agama mereka atas nama tuhan. Hanya yang menentukannya siapa yang betul ialah dengan mendalami agama. Jangan dipercayai jika dikata mereka mahu mencari jalan menguasai perniagaan rempah ratus. Lebih gila jika ada yang mempercayai kenyataan memilih pemimpin negara tiada kena mengena dengan agama.
 
Inilah bahana apabila silap memilih ketua yang celaka. Mereka bebas melakukan apa sahaja terhadap rakyat. Dahulu, kita mendengar raja-raja jika berlaku zalim, tiada pembangkang kepada mereka, maka demokrasi adalah solusi terbaik menggantikan sistem beraja. Tetapi sekarang, dengan menggunakan nama demokrasi, mereka menipu, kemudiannya menukar sistem itu dan ini, bagi membolehkan mereka memenangi pilihan raya. Sama sahaja, mereka mempunyai ‘sistem beraja’ mereka sendiri. Hanya kaedah sedikit berbeza. Namun, niat mahu mengekalkan kuasa tetap ada bagi yang sedang berkuasa dan ada yang sedang menyalak manja, meminta-minta bagi yang masih belum berkuasa. Hilang sudah nilai Islam.
 
Oleh itu kesilapan yang nyata, dengan memberikan kuasa kepada mereka yang jahat terhadap Islam. Itu hal yang paling utama untuk kita perhatikan, iaitu 'agama'. Pemimpin yang jahat terhadap Islam, diistilahkan sebagai kaduk yang sangat salah jika kita letakkannya di junjungan. Pemimpin yang mengikut ajaran Islam itulah seperti sirih, yang paling kena untuk kita letakkan di junjungan. Bukan kaduk yang tidak tahu diuntung itu. Jadi, untuk meletakkan sirih pada tempatnya, kita mesti membantu PAS berkerjasama dengan Umno bagi mengalahkan PH. Kita mesti menguatkan kerjasama ini, agar kita dapat menjaga agama Islam kita.
 
MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
8 Ogos 2019 - HARAKAHDAILY 8/8/2019

IMG 20190808 WA0040

IMG 20190808 WA0039

IMG 20190808 WA0038