Bola sepak antara globalisasi dan asabiyah primitif

Dunia
Typography

KATA sejarawan dan intelektual Ian Buruma, stadium bola sepak ialah satu medan yang masih boleh, dengan had tertentu, membenarkan sentimen perkauman dan pelbagai emosi primitif dizahirkan. Berdasarkan pengalaman Eropah, menurut pemerhatiannya, bola sepak boleh menjadi medan untuk merasai emosi peperangan, tanpa perlu mati atau cedera yang teruk.

Perlawanan antara musuh tradisi mempunyai emosi kesan daripada peperangan, seperti halnya perlawanan antara Jerman dengan Belanda dan Inggeris lawan Jerman, yang berpuluh tahun selepas peperangan sebenar berakhir, peminat-peminat fanatik boleh hadir ke stadium dengan pakaian bertema perang, membangkitkan emosi yang membuak-buak.

Perlawanan antara Inggeris dengan Jerman misalnya, biasa terkait dengan sentimen nasionalisme yang mencetuskan ingatan pada Perang Dunia ke-2, menunjukkan sejarah perang di Eropah tetapi juga memberi gambaran persaingan antara kedua-kedua kuasa ekonomi dan politik Eropah itu.

Pertandingan besar seperti Euro, Piala Dunia dan malah Liga Juara-Juara memperlihatkan sentimen nasionalisme yang kuat, dengan masing-masing kelab dilihat mewakili - sama ada benar atau hanya khayalan - maruah negara dan kelab masing-masing.

Dalam dunia bola sepak, kapitalisme telah mengatasi semua yang lain, tetapi nasionalisme bola sepak masih menjadi sesuatu yang menjadi penggerak jutaan atau ratusan ribu manusia untuk mengesahkan dan mengukuhkan identiti, nasionalisme dan lain-lain sentimen dan kepentingan.

Kapitalisme menentukan yang kelab kini berada di kedudukan tertinggi dari segi kekayaan pasukan bola sepak, hingga mampu membeli pemain berharga ratusan juta, dan hanya ditewaskan oleh pasukan negara dalam nasionalisme.

Di Eropah kini, liga-liga utama dihidupkan dan dimeriahkan oleh dana dari Asia Barat dan juga Asia Tenggara dan Timur. Negara-negara seperti Qatar dan Emiriyah Arab Bersatu menjadikan kelab-kelab ternama di liga Inggeris, Sepanyol, dan Perancis sebagai pelaburan dan "papan iklan" mereka.

Pembelian kelab Paris Saint-Germain dan pemain Brazil Neymar Jr oleh kuasa ekonomi Qatar menjelaskan realiti baharu bola sepak, iaitu kapitalisme dan globalisasi ialah penggerak utama aktiviti ini.

Dalam hal ini, sokongan diberikan pada kelab dan juga pemain, walaupun kuasa sebenar terletak pada Qatar. Seorang penyokong kelab Barcelona itu pula, dalam perlawanan Piala Dunia, mungkin menyokong Brazil, atau Argentina, atau Sepanyol.

Apabila menyokong sebuah pasukan bola sepak, biasanya seseorang itu menunjukkan sentimen kepuakan atau kenegerian terhadap negeri kelahirannya, walaupun globalisasi telah menentukan yang pasukan bola sepak negeri perlu wujud sebagai sebuah kelab yang kehidupannya memerlukan jenama sukan global popular, jurulatih luar negara, dan pemain-pemain antarabangsa.

Hal ini mudah disaksikan, misalnya apabila peminat-peminat bola sepak mengulas - malah memberikan cadangan terperinci berdasarkan rekod pemain dan keperluan kelab, walaupun hanya di kedai kopi bersama peminat lain - pemain mana yang perlu dibeli oleh kelab Eropah kesayangannya, menunjukkan penerimaannya terhadap globalisasi dalam dunia bola sepak, tetapi mengecam dan mengejek pasukan negeri lawannya yang mengambil pemain dari luar negeri.

Dalam satu kes pada 2014, sebuah akhbar Iran mengedit memadamkan logo Azerbaijan, The Land of Fire daripada jersi pasukan bola sepak Atletico Madrid, berpunca daripada sentimen politik terhadap Azerbaijan, negara jiran yang bersekutu dengan Israel.

Sokongan berdasarkan sentimen asabiyah mendorong pelbagai bentuk pernyataan untuk menegaskan identiti dan nasionalisme ini termasuk dalam bentuk yang kasar dan primitif seperti yang mudah disaksikan di Facebook. Suasana meriah dan panas sesuatu pertandingan biasa meningkatkan sentimen asabiyah primitif yang menjangkiti sesiapa sahaja termasuk yang lebih liberal dan kosmopolitan.

Apa yang berlaku selama ini, sentimen bola sepak ini cenderung memberi kesan kepada kehidupan di luar stadium yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan sentimen tersebut, sehingga menimbulkan suasana asabiyah kenegerian yang menjejaskan kehidupan bermasyarakat.

Daripada pelbagai medan aktiviti manusia termasuk politik kepartian, bola sepak dapat menjadi satu sumber sentimen kepuakan yang agak luar biasa kesannya, melibatkan kenyataan-kenyataan keras dan bermacam lagi bentuk penegasan sentimen yang negatif.

Dalam kehidupan hari ini, bola sepak masih menjadi satu - dan mungkin satu-satunya - aktiviti yang terus membenarkan dan meraikan asabiyah dan emosi serta tingkah laku primitif yang hampir tidak wujud di medan-medan lain kehidupan manusia masa kini. – HARAKAHDAILY 4/11/2017