Kesal Sidang Asean tidak sentuh isu Rohingya

Dunia
Typography
MAPIM sangat kesal kenyataan Sidang Kemuncak Asean Ke-13 di Filipina baru-baru ini yang mengenepikan sama sekali isu penindasan terhadap etnik Rohingya di mana kini sedang berlaku di Myanmar. 
 
Mengikut laporan media, kenyataan didraf oleh tuan rumah persidangan tersebut iaitu Filipina tidak menyentuh mengenai penderitaan etnik Rohingya yang sedang disaksikan sehingga hari ini.
 
Tidak ada disebut apa-apa mengenai lebih 600,000 pelarian Rohingya yang terbaru melarikan diri ke Bangladesh.
 
Ini adalah suatu pernyataan sangat melanggar semangat keharmonian dan kestabilan di Asean. Malah ia mengkhianati kesepakatan melindungi hak manusia yang dicapai antara anggota pertubuhan tersebut sebelum ini.
 
Apakah Asean kini sedang ditundukkan oleh kehendak Myanmar dalam suatu isu yang jelas sedang mendapat perhatian dunia? Malah Setiausaha Agung PBB, Guteres menggesa Myanmar menerima semula etnik Rohingya untuk pulang ke perkampungan mereka di wilayah Rakhine.
 
Jika alasan yang diberi oleh Aung San Suu Kyi keganasan di Myanmar dianggap urusan dalam negara dan prinsip Asean adalah tidak campur tangan dalam urusan dalam negara, maka jelas Asean sudah tunduk kepada hipokrasi pemenang Keamanan Nobel itu.
 
Pada 1999 ketika beliau berjuang menentang junta tentera Myanmar dan meminta dunia campur tangan atas nama hak manusia dan demokrasi, kini beliau menolak campur tangan luar untuk menghentikan kekejaman tentera Myanmar yang membunuh dan mengusir ratusan ribu etnik Rohingya.
 
Soalnya jika Asean ditegakkan atas nama kesatuan dan kestabilan komuniti Asean, kenapa suatu operasi 'genosid' dan penghapusan etnik yang terang-terangan berlaku di Myanmar tidak mendapat perhatian dalam Sidang Kemuncak Asean Ke-13 tersebut?
 
Kami sangat kecewa tidak ada seorangpun pemimpin anggota Asean dalam ucapan mereka yang menyentuh mengenai isu Rohingya.
 
Adakah ini suatu kompromi untuk memastikan Myanmar tidak memboikot persidangan tersebut di atas penganiyaan ratusan nyawa Rohingya yang dizalimi oleh negara itu?
 
Setiap pemimpin Asean sepatutnya peka dengan perhatian dunia yang kini memberi fokus kepada suatu operasi penghapusan etnik di Myanmar terbesar di dunia. Tidak mungkin ini boleh dianggap urusan dalaman Myanmar sehingga tidak boleh dikritik oleh masyarakat dunia amnya dan Asean khususnya.
 
Asean kini boleh dianggap hanya badan yang mandul dan tidak boleh mempertahankan hak manusia dan membela hak etnik minoriti di rantau ini seperti yang disepakati sebelum ini.
 
Kami mendesak supaya Asean menyatakan sikap tegas terhadap isu tentera Myanmar menindas etnik Rohingya dan bertindak sesuai dengan undang-undang antarabangsa terhadap hak minoriti. 
 
Jika ini tidak boleh ditunjukkan oleh Asean maka kewujudannya tidak ada erti kepada golongan minoriti dan ia bertukar menjadi sebuah forum retorik semata-mata dan hanya bertumpu kepada kepentingan golongan majoriti yang berkuasa.
 
MOHD AZMI ABDUL HAMID
Presiden
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia
14 November 2017 - HARAKAHDAILY 14/11/2017