21
Wed, Aug
32 Artikel Baru

Parlimen sekian kali sahkan PAS bersih

Berita
Typography
KUALA  LUMPUR: Parlimen buat sekian kali telah 'menyanggah' dakwaan terhadap PAS serta para pimpinan parti ini yang cuba difitnah dengan tuduhan kononnya terlibat dalam penyelewengan dan rasuah.
 
Terbaru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH - Johor Bahru) terpaksa akur dan menarik balik tuduhan dilemparkannya ketika berucap dalam agenda Perbahasan Titah DiRaja pada Sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.
 
Beliau dalam ucapan tersebut mendakwa terdapat pimpinan PAS yang telah dibekukan akaun banknya berikutan memiliki wang tunai RM1 juta, manakala kenderaan bernilai jutaan ringgit pula disita.
 
Menurut Dato' Che Abdullah Mat Nawi (PAS - Tumpat), penarikan balik tuduhan dalam sidang dewan yang mulia itu menjadi satu kemenangan moral kepada PAS dan sekali gus membersihkan pimpinannya.
 
Katanya, dakwaan tersebut bukan sahaja tuduhan jahat, malah sama sekali tidak berasas atau disokong dengan dokumen atau rujukan berkredibiliti yang boleh disahkan untuk dijadikan butiran perbahasan.
 
Tempelaknya, hal tersebut menjadi 'tragedi' memalukan buat PH, namun paling mengecewakan apabila selaku Ahli Parlimen kerajaan bermentaliti seperti semasa mereka masih pembangkang.
 
Beliau yang juga Setiausaha PAS Negeri Kelantan menegaskan, sewajarnya dengan berada di pihak kerajaan, Akmal boleh memanfaatkan segala sumber siasatan atau penguatkuasaan sebagai rujukannya.
 
Malang sekali ujar beliau, fitnah dan tuduhan seperti itu terus menjadi modal serta pendekatan tidak matang politik PH hingga kini dalam mendepani lawan politiknya termasuk dalam sidang rasmi Parlimen.
 
Terdahulu, disebalik dakwaan PAS menerima wang sebanyak RM90 juta dari 1MDB, Tony Pua (PH -Damansara) mengakui tiada maklumat mengenai hal tersebut pada Sidang Dewan Rakyat, 19 Julai tahun lalu.
 
Malah, permintaan Tony Pua supaya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (PH - Bagan) menjawab tuduhan tersebut hingga kini tidak dikemukakan sebarang keterangan yang dapat mengaitkan PAS serta pimpinannya.
 
Bahkan, setahun lalu, Parlimen menerusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Paul Low Seng Kuan mengesahkan tiada kes dibuka siasatannya atas ahli politik daripada PAS, berbanding 71 BN dan 21 PH ketika sidang, 12 Mac 2018. - HARAKAHDAILY 12/3/2019