21
Wed, Aug
32 Artikel Baru

Metana: Kerajaan PH Johor lemah dan gagal

Berita
Typography
KESAN dari pencemaran Sungai Kim Kim telah menjadi satu malapetaka yang mengakibatkan insiden terburuk hingga menyebabkan ancaman bahaya kepada kehidupan manusia di Daerah Seri Alam. Tragiknya, setelah seminggu berlalu, radius kawasan tersebarnya toksik gas metana terhasil dari sisa pembuangan industri itu semakin luas, malah memakan ramai mangsa terutama para pelajar sekolah.
 
Sehingga semalam angka terlibat telah meningkat mendadak apabila 207 mangsa direkodkan dengan 29 mangsa dirujuk ke Klinik Kesihatan, 77 mangsa ke Hospital Sultan Ismail dan 35 ditahan di wad. Turut membimbangkan apabila empat mangsa terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Angka ditahan di wad biasa dan ICU ini tidak termasuk mangsa gelombang pertama.
 
Terkini dimaklumkan, jumlah tersebut telah meningkat lagi kepada seramai 566 mangsa melibatkan kalangan orang awam dan pelajar. Manakala sebanyak 16 sekolah terpaksa diarahkan tutup serta menghentikan sesi akademik. Namun, Kerajaan PH Negeri Johor hanya mengumumkan mesyuarat berkaitan dan mengaku telah menangkap tiga suspek berkaitan kes ini.
 
Pun begitu, Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Alam dan Mesyuarat Pengaktifan Jawatankuasa Kerja bagi menangani kejadian ini dilihat sama sekali gagal membendung keresahan rakyat. Malah, perkembangan yang berlaku menunjukkan kelemahan amat ketara khususnya Exco berkenaan iaitu Dr Sahruddin Jamal, seolah teraba-raba untuk menggerakkan tindakan operasi yang sepatutnya.
 
Walhal isu pencemaran tersebut telah sering dibangkitkan penduduk, tetapi reaksi pihak kerajaan seakan enak nyenyak tidur. Tidak hairanlah jika Sultan Johor, Tuanku Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut murka dengan kejadian yang berlaku. Oleh itu selaku Exco bertanggungjawab, Dr Sahruddin sewajarnya meletakkan jawatan atas kelemahan dan kegagalan melaksanakan tindakan menangani tragedi.
 
Kami juga mengesyorkan agar segera dibentuk Jawatankuasa Khas Bertindak Persekutuan untuk membantu menangani masalah ini dengan lebih berkesan. Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin diminta supaya secepatnya meneliti isu ini secara lebih dekat, apatah lagi beliau merupakan Ahli Parlimen Bakri.
 
"Islam Memimpin"
"Terus Mara"
 
NAZMAN CHE IBERAHIM
Pengerusi
Lajnah Alam Sekitar
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 13/3/2019