Ustaz Taliban dekat di hati PAS Pdg Rengas

Berita
Typography

PADANG  RENGAS: Pemergian Ketua Penerangan Ulamak PAS Negeri Perak, Ustaz Norazli Musa atau lebih dikenali sebagai "Ustaz Taliban" turut dirasai oleh PAS Kawasan Padang Rengas.

Sehubungan itu solat jenazah ghaib ke atas Almarhum telah dianjurkan dengan kerjasama Masjid As-Saudah Kampung Jamuan, di sini sejurus selepas solat isyak, semalam.

Yang Dipertua PAS Padang Rengas, Sukeri Mat Amin merakamkan takziah kepada pihak keluarga Almarhum dan turut mengimbau noltalgia peribadinya bersama Ustaz Norazli.

Antara dinukilkannya adalah kenangan ketika berada seangkatan dengan Almarhum dalam Dewan Pemuda PAS Negeri Perak suatu ketika dahulu sebagai pengalaman yang tidak akan dilupakan.

Beliau turut mengakui Almarhum sebagai seorang yang tegas dengan pendirian, namun tetap berlapang dada apabila melibatkan kepentingan jemaah.

Ujarnya, Almarhum disifatkan cukup bertuah apabila dianugerahkan oleh Allah pengakhiran perjalanan hidupnya di kota suci Madinah al-Munawwarah.

Solat jenazah ghaib tersebut diimamkan oleh Penolong Setiausaha PAS Padang Rengas, Ustaz Salehuddin Mohd Zabidi dengan disertai ahli jamaah kariah masjid tersebut.

Ustaz Norazli menghembuskan nafas terakhir di jam 12:30 pagi waktu tempatan Madinah semalam dan difahamkan telah dikebumikan di Perkuburan Baqi’ selepas zuhur hari yang sama. - HARAKAHDAILY 13/3/2019