26
Sun, May
38 Artikel Baru

Aktivis desak tahanan SOSMA dibebas, diadili

Berita
Typography

TAPAH: Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Tapah, Salmah Abdul Latif menyifatkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA masih digunakan menjadi agenda politik pemerintah.

Tegasnya, agenda berkepentingan menggunakan SOSMA hanya akan diteruskan oleh pemerintah yang zalim, sebaliknya penyelesaian secara Islam sahaja mampu memberi keadilan.

Beliau bersama Ketua Muslimat PAS Kawasan Kuala Kangsar, Ustazah Intan Norhani Abdullah antara yang hadir di himpunan aman di hadapan Penjara Tapah Road pada 9 dan 10 Mac lalu.

Pada himpunan dinamakan "Desak Sampai Mansuh" (DSM) itu membawa mesej agar tahanan SOSMA sebelum PRU14 dibebaskan, sementara tahanan selepas PRU14 diadili sewajarnya.

Himpunan itu juga sebagai usaha supaya Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa harapan baharu sempena Sidang Dewan Rakyat bermula 11 Mac agar tahanan dibebaskan.

Ini kerana tahanan berbangsa India dan Cina sudah dibebaskan selepas PH memenangi PRU14, di mana sebagai protes seiring himpunan itu, para tahanan turut melancarkan mogok lapar.

Beberapa waris tahanan turut berkongsi kisah penahanan anggota keluarga mereka di mana selain berdepan tahanan tanpa bicara, turut diberi tekanan untuk membuat pengakuan salah.

Antaranya diceritakan bekas anggota polis mengenai anak beliau yang juga seorang anggota polis ditahan di dalam balai atas tuduhan pengganas hanya sebab menggunakan aplikasi WhatsApp.

Beliau yang enggan dikenali namanya kesal dengan tuduhan dialami anaknya, sedangkan keluarga beliau termasuk ayah dan datuknya pada hayat mereka adalah juga anggota polis.

Begitu juga waris dari Selangor yang turut enggan namanya disiarkan memaklumkan perihal kakaknya ditangkap sebelum PRU14 atas tuduhan berniat membuat letupan.

Ketika ditangkap menurutnya, kakak beliau didapati membawa tong gas di dalam kereta, sedangkan kakaknya itu merupakan penjaga suami sendiri yang mengidap strok.

Dimaklumkan, kebanyakan mereka dituduh memiliki kaitan dengan pengganas, termasuk dikatakan terlibat merekrut dan berlatih bersama golongan tersebut di mana berdepan hukuman penjara antara 5 hingga 15 tahun.

Hadir sama memberi sokongan moral dan mengajukan desakan pada himpunan tersebut adalah wakil-wakil NGO termasuk daripada Jalinan Bersatu Sahabat Perak (JABAT). - HARAKAHDAILY 13/3/2019

 IMG 20190313 WA0039