26
Sun, May
38 Artikel Baru

Selamatkan mangsa tragedi pencemaran Sg Kim Kim

Berita
Typography
PAS memandang berat tragedi yang menimpa lebih 500 mangsa khususnya pelajar, kakitangan sekolah dan orang awam akibat pembuangan tidak bertanggungjawab pelbagai sisa kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor baru-baru ini.
 
Sikap tidak bertanggungjawab seperti ini bukan sahaja menjejaskan alam sekitar tetapi satu tindakan yang secara serta-merta mengancam nyawa manusia.
 
Oleh kerana itu, dakwaan terhadap tertuduh di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling semata-mata tidak memadai kerana ia melibatkan nyawa manusia, maka Kanun Keseksaan wajar dipertimbangkan pihak berkuasa dan Peguam Negara agar menjadi pengajaran besar kepada pihak yang terbabit. 
 
Kami mencadangkan hukuman paling berat dikenakan kepada pesalah yang mengancam nyawa ribuan orang yang mungkin menanggung risiko daripada tindakan mereka. Hukuman penjara mandatori sehingga seumur hidup wajar dikenakan kepada pihak yang didapati bersalah mengakibatkan pencemaran ini. 
 
Insiden pencemaran sungai sehingga menjejaskan rakyat bukan sesuatu yang baru di Negara ini. Tragedi ini adalah satu amaran buat Kerajaan PH bahawa Dasar Sumber Air Negara (DSAN) serta undang-undang yang berkaitan tidak memadai untuk melindungi keselamatan dan kesihatan rakyat sehingga ke hari ini. 
 
Kami dapati banyak kilang yang menjalankan operasi berisiko, malah dibina secara haram dikawasan penempatan tanpa buffer zone. Pulau Pinang dan Selangor harus segera menangani isu seperti ini. 
 
Dalam kes di Johor ini, sewajarnya pihak Kerajaan mengambil tindakan drastik dalam usaha-usaha penambahbaikan khususnya terhadap pemantauan lokasi sumber air, potensi pelepasan sisa kimia dari 252 premis yang berhampiran serta jumlah kakitangan penguat kuasa yang tidak munasabah buat masa ini, bukan menambah buruk lagi keadaan dengan cadangan pengurangan jumlah kakitangan perkhidmatan awam di seluruh Negara. 
 
PAS juga berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) segera mengaktifkan Arahan Tetap Keselamatan atau prosedur kecemasan  menghadapi bencana, seperti MKN20 bagi menghadapi kemungkinan situasi dan risiko yang lebih buruk. Kerajaan Negeri Johor harus memastikan semua langkah keselamatan, kecemasan, rawatan dan pemulihan agar lokasi yang terjejas dapat dikawal dengan sebaik-baiknya dari terus merebak ke kawasan lain.
 
InsyaAllah, jentera PAS khususnya PAS Negeri Johor dan Khidmat Malaysia akan berganding bahu untuk segera membantu keluarga mangsa-mangsa yang terlibat. Doa dari seluruh barisan pemimpin dan ahli PAS agar kesemua mangsa-mangsa yang terlibat dapat segera sembuh.
 
MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Pengerusi
Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS)
PAS Pusat - HARAKAHDAILY 13/3/2019