Pencemaran: Perniagaan merosot

Berita
Typography

PASIR GUDANG: Perniagaan semakin merosot sejak seminggu lalu, orang semakin tiada, demikian rungutan seorang pengusaha kedai runcit yang mengeluh akibat kesan pencemaran gas metana di Sungai Kim Kim di sini.

Dia yang mempunyai premis terletak sekitar dua kilometer dari Sungai Kim Kim berkata, perniagaan tetap perlu dibuka walaupun orang semakin susut.

"Ramai tiada, salesman yang nak datang hantar barang pun WhatsApp bertanyakan sama ada keadaan di sini selamat atau tidak.

"Mereka pun takut-takut nak datang," katanya kepada Harakahdaily yang turun meninjau keadaan sekitar daerah yang dipercayai terjejas.

Semalam, seorang pekerja menjahit pakaian wanita di premis yang terletak bersebelahan dengan kedai runcitnya telah pengsan setelah muntah dan pening akibat terhidu gas metana.

Tinjauan Harakahdaily mendapati orang ramai masih mengabaikan langkah-langkah keselamatan asas iaitu tidak memakai topeng muka.

Aktiviti harian di sini masih berjalan seperti biasa namun kawasan penduduk di sekitar Pasir Putih ibarat padang jarak padang tekukur, lengang dan sepi.

Sekolah Menengah Taman Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Putih adalah sekolah yang pertama diarah tutup.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata bahan penyebab utama dikenalpasti selepas gelombang pertama namun tidak dibuang. – HARAKAHDAILY 14/3/2019