Tahlil Muslimat di rumah Almarhum Ustaz Taliban

Berita
Typography
IPOH: Dewan Muslimat PAS Zon Bandaraya telah mengadakan majlis tahlil dan munajat di kediaman Allahyarham Ustaz Norazli Musa atau juga dikenali sebagai "Ustaz Taliban" di Jalan Teratai Kampung Tasek, di sini malam ini. 
 
Turut hadir Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Muslimat PAS Malaysia merangkap Ketua Muslimat PAS Negeri Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad bagi menjayakan majlis tersebut. 
 
Beliau mewakili Dewan Muslimat PAS Malaysia mengucapkan salam takziah kepada isteri almarhum, Mastura Ahmad dan ahli keluarga dalam menghadapi ujian kehilangan tersebut. 
 
"Almarhum Ustaz Norazli merupakan seorang pejuang yang sangat berjasa buat ummah. Pemergian almarhum membuatkan kita semua mencemburui perjalanannya menghadap Allah S.W.T," ulas beliau. 
 
Bacaan Yassin dan tahlil yang dipimpin oleh Ketua Penerangan Muslimat PAS Perak, Ustazah Hasna' Ab Samad itu khas buat Almarhum Ustaz Norazli yang telah kembali ke rahmatullah 12 Mac lalu. 
 
Suasana penuh hiba tercetus semasa ahli jemaah mengaminkan bacaan doa daripada anak perempuan almarhum setelah tamat solat Isyak yang diimamkan oleh beliau sendiri.
 
Sebagai tuan rumah, isteri almarhum menyatakan penghargaannya kepada semua pimpinan Muslimat PAS Negeri dan empat kawasan Dewan Muslimat PAS Zon Bandaraya iaitu Tambun, Ipoh Barat,  Ipoh Timur dan Gopeng. - HARAKAHDAILY 14/3/2019