26
Sun, May
38 Artikel Baru

Dunia perlu buang stigma ekstrem terhadap Islam

Berita
Typography

PADANG RENGAS: Dunia mesti menerima hakikat dengan bertindak adil bahawa keganasan, melampau dan radikalisme yang dikaitkan kepada Islam selama ini adalah api fitnah dan tuduhan jahat agenda Islamophobia.

Ketua Pemuda PAS Padang Rengas, Muhammad Helmi Affindi Ali berkata, realiti yang terjadi, semua perlakuan kejam, zalim lagi tidak berperikemanusiaan itu muncul di seluruh bahagian dunia dengan mensasarkan sesiapa sahaja.

"Tidak benar bahawa Eropah menjadi sasaran dan Islam pula dikaitkan dengan topeng serta wajah hodoh seperti itu. Sebenarnya, umat Islam yang sering menjadi mangsa penindasan dan pembunuhan.

"Bahkan, di banyak negara umat Islam menjadi korban kehilangan nyawa berlaku secara terangan-terangan dan mudah dari peperangan yang disebaliknya ditaja oleh musuh Islam dan penggiat industri persenjataan.

"Hari ini, Jumaat sekali lagi dunia menyaksikan buktinya, 27 ahli jamaah masjid termasuk kanak-kanak menjadi mangsa serangan bersenjata di Christchurch, New Zealand," ujar beliau yang juga Setiausaha Pemuda PAS Negeri Perak.

Katanya, tragedi itu adalah kesakitan buat umat Islam di seluruh dunia kerana Mukmin itu bersaudara yakni diibaratkan Rasulullah S.A.W sebagai satu jasad, di mana bila sakit satu anggota, demamlah seluruhnya.

Beliau juga mahu dunia membuka mata melihat betapa umat Islam minoriti di mana-mana negara dunia seringkali menjadi mangsa sikap fanatik majoriti yang berbeza dengan kehidupan bangsa atau agama lain di dalam negara umat Islam.

Paling dipertikaikan Helmi, apabila segala kekuatan polis dan tentera atau perisikan hebat dunia, termasuk kecanggihan teknologi yang ada gagal mengesan dan mengekang tindakan ekstrem tersebut.

Sedangkan maklumnya, The West Australian melaporkan, ia dirancang sejak dua tahun lalu oleh kumpulan anti-pendatang yang mendakwa diri sebagai Christian Knight Templers (Pahlawan Kristian).

Bidasnya, ternyata pihak keselamatan dan kerajaan berkenaan gagal menjamin keselamatan umat Islam yang berjumlah hanya satu peratus dari 4.8 juta penduduk New Zealand, termasuk premis seperti masjid menjadi sasaran.

"Cukuplah dunia mengambil iktibar, beberapa kes pembunuhan kejam dan bersenjata mensasarkan awam termasuk di sekolah-sekolah di Amerika misalnya, bukan dilakukan oleh seorang Muslim. Dunia tidak pula mengaitkan pelaku dengan agamanya.

"Tetapi umat Islam di seluruh dunia, ketenangannya diragut, dicurigai, dihambat dan dilayan lebih buruk dari haiwan atas tuduhan semata-mata berkaitan keganasan. Belum terlambat dunia membetulkan semua skeptikal ini," seru beliau. - HARAKAHDAILY 15/3/2019