21
Wed, Aug
32 Artikel Baru

PRU15 dijangka lebih awal

Berita
Typography

MACHANG: Jentera PAS di semua peringkat diminta membuat persediaan rapi bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) yang bakal diadakan sebelum tarikh matangnya.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, situasi politik sejak kebelakangan ini tidak memungkin dilakukan dalam masa empat tahun akan datang.

Menurut beliau, faktor utama yang menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat ialah kegagalan kerajaan melaksanakan manifesto pilihan raya lalu.

"Jika kerajaan hari ini dilabelkan dengan ‘pakatan hancing’, selalu diulang-ulangkan akhirnya rakyat akan mempercayai tanggapan berkenaan maka kerajaan akan lemas.

"Oleh itu kita menjangkakan pilihan raya akan diadakan tidak sampai masanya, jadi kita meminta semua jentera memulakan gerak kerja bermula sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Machang kali ke-65 di Markaz Dewan Ulamak (Madu) di Labok di sini, pagi tadi.

Turut hadir Yang Dipertua PAS Machang, Dato' Dr. Mohamed Fadzli Hassan; timbalannya, Zulkifli Mamat; naibnya, Ustaz Roseli Ismail dan setiausaha Ustaz Abdul Rahman Majid. – HARAKAHDAILY 16/3/2019