PAS - Umno berpadu ceramah di T. Intan

Berita
Typography

TELUK INTAN: Kerjasama Umno dan PAS wajar diteruskan demi memastikan kemuliaan Islam terjaga di negara ini, demikian dinyatakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato' Dr Khairuddin Aman Razali.

Menurutnya, kerjasama kedua parti Melayu-Islam terbesar Malaysia itu kini sangat digeruni part politik pemerintah yang membawa agenda sebaliknya kerana dilihat berupaya mengubah landskap politik negara pada PRU akan datang.

Pun begitu dalam memastikan keutuhan kerjasama tersebut nasihatnya, semua pihak terutama dalam kalangan ahli Umno dan PAS mesti mewaspadai bisikan-bisikan jahat syaitan yang cuba mengganggu gugat hubungan itu.

Peringat Ahli Majlis Syura Ulamak PAS itu, perihal berkaitan hubungan dan kerjasama itu juga perlu difahami sebaiknya, serta diterima dengan lapang dada serta taat terhadap keputusan yang ditetapkan oleh pihak pimpinan.

Kupasan tersebut dikemukakan beliau pada majlis yang bersama pimpinan Umno iaitu Ceramah Perpaduan Ummah di Dewan KOMPASTI, Kampung Padang Tembak, di sini malam tadi.

Ketua Penerangan Umno, Dato' Dr Shamsul Anuar Nasarah pula dalam ucapannya menyentuh isu rakyat terutama berkaitan pembayaran semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Negara (PTPTN).

Menurut beliau, kemelut berkaitan dijangka berterusan kerana Kerajaan PH gagal mencari penyelesaian di mana sejak mengambil alih kerajaan berlaku polisi yang berubah-ubah sehingga mengecewakan anak muda.

Bidas beliau yang juga bekas Pengerusi PTPTN, kerajaan hari ini bercakap mengikut suka hati dan membuat pertimbangan tanpa menunaikan janji berasas kepada manisfesto pilihan raya mereka.

Beliau juga berkata, polisi bayaran semula untuk peminjam berpendapatan RM4,000 ke atas itu turut mendapat bantahan daripada mahasiswa GAMIS yang menuntut ianya ditangguhkan sehingga ekonomi pulih.

Hadir sama majlis ceramah itu ialah Ketua Umno Bahagian Teluk Intan, Dato' Azhar Jamaluddin dan Yang DiPertua PAS Kawasan Teluk Intan, Ustaz Ismail Chek Nik. - HARAKAHDAILY 17/3/2019 

IMG 20190317 WA0020