MAT PAS Tambun sempurna dengan jayanya

Berita
Typography

TAMBUN: PAS Kawasan Tambun telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-33 yang telah dilangsungkan dengan jayanya di Pusat Tarbiyah PAS Tambun, Taman Meru 1A, Ipoh, di sini hari ini.

Majlis perasmian telah disempurnakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib yang dalam ucapannya mengingatkan supaya sentiasa mengutamakan kepentingan Islam berbanding diri sendiri.

Beliau yang juga Pegawai Khas Presiden PAS menyeru supaya melaksanakan tanggungjawab dimandatkan demi agama termasuk strategi ta'awun untuk kesejahteraan rakyat melalui penyatuan ummah.

Yang DiPertua PAS Tambun, Ustaz Salleh Said dalam ucap utamanya mengajak mempertahankan jamaah, memperkukuh saf, memperkemas fikrah dan meningkatkan keyakinan kepada janji Allah.

Beliau juga menyeru memperkuatkan kesabaran menghadapi cabaran musuh sebagaimana ayat 200 surah Ali-Imran, selain menyentuh isu ekonomi rakyat yang menuntut pembelaan menerusi pemerintahan Islam.

Sementara itu Pengerusi Pemilihan, Ustaz Ahmad Fuad Abdul Ghani dari PAS Kawasan Sungai Siput mengumumkan semua jawatan bagi PAS Tambun Sesi 2019 - 2021 telah dimenangi tanpa bertanding.

Sempena majlis tersebut telah disampaikan Anugerah Khas Keluargaku PAS kepada keluarga Azizan Mohd Arif dari PAS Cawangan Klebang Selatan dan keluarga Ahmad Najri Ghazali dari PAS Cawangan Tengku Hussein.

Manakala Anugerah Jasamu Dikenang diberikan kepada Ustazah Wan Halimatun Wan Aziz dari PAS Cawangan Pekan Chemor dan Ustaz Mat Hussein Mat Said dari PAS Cawangan Batu 5, serta Abdullah Ismail dari PAS Cawangan Ulu Kuang.

Hadir sama pada majlis tersebut adalah Ketua Umno Bahagian Tambun, Dato' Aminuddin Hanafiah dan jawatankuasanya serta wakil Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Ipoh, Ustaz Mohd Najib Sadli. - HARAKAHDAILY 17/3/2019

 

 IMG 20190317 WA0025

IMG 20190317 WA0027

 

 

IMG 20190317 WA0028 

IMG 20190317 WA0029