24
Wed, Apr
25 Artikel Baru

Pemimpin k'jaan punca rasis, benci, menghina

Berita
Typography
KUALA  LUMPUR: Serangan berbaur perkauman yang mencanang kepada perpecahan dan menyentuh sensitiviti dilihat semakin berani dihamburkan oleh pelbagai pihak mutakhir ini.
 
Dato' Che Abdullah Mat Nawi (PAS - Tumpat) berkata, perkara seumpama turut dilakukan pemimpin kerajaan apabila mengeluarkan kenyataan sinis, rasis dan anti perpaduan.
 
Beliau membangkitkan perkara tersebut ketika mengambil bahagian dalam perbahasan bagi usul menjunjung kasih ke atas Titah DiRaja pada Sidang Dewan Rakyat, di Parlimen, di sini semalam.
 
Kemukanya, sikap tersebut tidak hanya ditujukan kepada rakyat biasa, bahkan juga terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu, malah lebih jauh lagi menghina Nabi Muhammad S.A.W.
 
"Kebencian apakah yang cuba disemarakkan di negara kita mutakhir ini? Di kala Nabi Muhammad S.A.W dihina, umat Islam bangkit membantah dan mempertahankan.
 
"Di kala Nabi Isa A.S dan Nabi Ibrahim A.S dihina, umat Islam juga bangkit membantah dan mempertahankan Nabi Isa dan Nabi Ibrahim. (Menunjukkan Islam) Itu adalah ajaran kedamaian.
 
"Lebih mendukacitakan, bila kenyataan berbaur kebencian, penghinaan agama, perkauman dan perpecahan ini datang dari pemimpin kerajaan sendiri," kesalinya kerana hal tersebut tidak ditangani dengan tindakan sewajarnya.
 
Tegas beliau, perpaduan ini tidak akan tercapai sekiranya antara masyarakat dalam negara berpecah, tetapi pihak kerajaan pula dilihat takut melihat perpaduan orang Melayu.
 
Katanya, seburuk-buruk tuduhan pada Umno dahulu, tetapi parti itu tetap mengusahakan penyatuan bangsa yang ada di dalam negara ini, malah Kelantan turut membuktikan perkara sama.
 
Jelas beliau, PAS merupakan parti yang cukup mampu melaksanakan perpaduan selama 30 tahun mentadbir Kelantan, juga sebagaimana ketika rusuhan kaum 1969.
 
Namun, ucapan beliau itu mengundang ketawa sinis dan beberapa Ahli Parlimen terutama Kangar dan Jelutong cuba berkali-kali bangun untuk mencelah butiran disampaikan.
 
Bagaimanapun Dato' Che Abdullah tidak dapat memberi laluan tersebut melainkan sekiranya Speaker memberinya ruang untuk menjawab setiap celahan pihak kerajaan. - HARAKAHDAILY 22/3/2019