26
Fri, Apr
15 Artikel Baru

Khidmat sekretariat wakil rakyat PAS diarah henti

Berita
Typography

MERBOK: Hanya kerana sekeping banner "Bantuan Bekalan Air Sekretariat Wakil Rakyat PAS Kedah", pemimpin Kerajaan Pakatan Harapan (PH) negeri sudah kepanasan dan mengarahkan operasinya dihentikan.

Ketua Adun Pembangkang Kedah, Muhammad Sanusi Mohd Nor melahirkan kesalan dengan sikap sedemikian yang sewajar tidak berlaku di era pemerintahan Malaysia Baharu yang kononnya lebih matang dari kerajaan terdahulu.

Arahan memberhentikan operasi itu dibuat melalui pegawai Syarikat Air Darul Aman (SADA) agar khidmat anjuran sekretariat itu dihentikan serta merta.

"Di manakah nilainya sebuah kerajaan dan agensi awam, bila hal banner seumpama itu menjadi lebih besar keutamaan rakyat yang terputus bekalan air berhari-hari lamanya.

"Atas alasan apa arahan ini dibuat? Saya tidak tahu. Selain daripada alasan banner, lori kita juga mengambil air dari sumber yang sama dengan 40 lori lain yang sedang beroperasi," ujar beliau.

Katanya lagi, operasi lori tangki daripada Sekretariat Wakil Rakyat PAS Kedah telah beroperasi selama dua hari membantu menghantar bekalan air kepada orang ramai yang terputus bekalan itu terutama di sekitar Dun Tanjung Dawai dan daerah Merbok.

Sehubungan itu, khidmat yang dibiayai oleh sekretariat itu sebanyak RM450 sehari sebagai upah kepada pemandu lori dan pembantu, sementara laluan dan daerah operasi mengikut jadual yang disusun oleh pihak SADA.

"MP Merbok dari PKR letak banner di lori yang dia biayai dari duit peruntukan kerajaan kepada Ahli Parlimen, tak ada masalah apa pun.

“Kenapa menjadi masalah perkara yang sama di buat oleh pembangkang. Tidakkah ini satu sumbangan Adun-Adun PAS untuk membantu rakyat?" katanya lagi.

Walau bagaimanapun tegasnya, operasi itu akan diteruskan juga tanpa menghirau sekatan atau larangan dari pihak kerajaan.

Menurutnya, menyekat jalan-jalan kebaikan umpama menahan limpahan air yang akhirnya akan menghayutkan diri sendiri.

"Sebelum ini operasi itu menggunakan tangki air SADA, lepas ini pihak sekretariat akan usaha mencari tangki lain untuk meneruskan khidmat ini," jelas Sanusi. – HARAKAHDAILY 23/3/2019

kk2