19
Mon, Aug
15 Artikel Baru

Tiada istilah cuti dalam perjuangan Islam

Berita
Typography

KEPALA  BATAS: Perjuangan PAS bagi meninggikan Islam menuntut anggotanya istiqamah melaksanakan tanggungjawab biarpun menghadap segala mehnah tanpa ada kehendak berehat atau bercuti.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Hashim Jasin menjelaskan, perjuangan PAS ini sukar kerana memikul peranan memberi kesedaran kepada manusia mengenai Islam yang membawa rahmat kepada semua.

Beliau berucap menyampaikan taujihat pada majlis Ceramah Malaysia Sejahtera anjuran Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Pulau Pinang di Markas Tarbiyah PAS Negeri di Pongsu Seribu, di sini kelmarin.

"Di hadapan kita kerja yang banyak. Kerja kita bukan membina terowong, lebuh raya atau bangunan. Tetapi lebih susah. Kita mahu bawa manusia dengan pemahaman (Islam) sebenar.

"Bukan sebagaimana konsep Rahmatan Lil 'Alamin dibawa PAN yang kabur tidak jelas hala tuju. Kita perlu celik dan nampak cahaya yang betul. Bukan cahaya yang palsu.

"Kita berpegang bahawa Allah itulah yang memberi cahaya hidayah kepada manusia termasuk golongan bukan Islam yang menyokong Islam turut mendapat kesan daripada Islam," ujarnya.

Terdahulu beliau mengimbau nostalgia bersama Almarhum Dr Burhanuddin Al-Helmy yang pada beberapa ketika sebelum kematian tetap menunjukkan semangat perjuangan dengan sisa tenaganya.

Ceritanya, beliau dan beberapa sahabat lain telah diberi pesanan oleh Almarhum supaya generasi selepasnya meneruskan perjuangan sungguhpun beliau sendiri dalam keadaan lemah kerana sakit.

Tuan Guru Hashim turut mengalukan kehadiran bekas calon PAS PRU14 Parlimen Batu Kawan, B Jay Kumar dan Dun Bukit Tambun, A Kumaravelu dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Beliau melahirkan harapan agar berlaku peningkatan anggota DHPP di mana ahli PAS dalam kalangan orang Islam sendiri perlu berperanan meyakinkan masyarakat bukan Islam mengenai kebaikan Islam.

Serunya, masyarakat bukan Islam perlu sentiasa didekati serta diberikan peluang untuk mempelajari mengenai Islam tanpa memaksa anutan mereka memeluk agama Islam. - HARAKAHDAILY 1/4/2019

IMG 20190401 WA0008