18
Wed, Sep
30 Artikel Baru

Rutin tarbiyah PAS ikat kesetiaan ahli

Berita
Typography
TAMBUN: Ahli PAS Zon Klebang dengan kerjasama PAS Cawangan Klebang Jaya telah mengadakan program iftar jamaie di Markas PAS Cawangan Klebang Jaya, Chemor, di sini semalam. 
 
Yang DiPertua PAS Kawasan Tambun, Ustaz Salleh Said telah dijemput untuk menyampaikan tazkirah usai solat Isyak secara berjamaah sebagai pengisian program ini.
 
Beliau yang juga merupakan Naib Ketua Ulamak PAS Negeri Perak telah memberi penekanan dalam ucapannya berkaitan kematangan ahli memahami perjuangan PAS.
 
"Pentingnya kefahaman yang mantap dari ahli dan penyokong PAS bahawa perubahan suasana politik ini adalah demi kepentingan Islam. Kuasa politik perlu dikuasai oleh Islam, oleh itu gerak kerja parti ini perlu menjadi keutamaan dan benteng awal mempertahankan Islam," ujarnya 
 
Turut berlangsung solat hajat memohon kesejahteraan umat Islam di Palestin serta kesihatan yang baik buat Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di mana kini sedang mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
 
Menurut Ketua PAS Zon Klebang merangkap Ketua Penerangan PAS Tambun, Ustaz Rosli Azizan, program iftar jamaie ini merupakan program bulanan yang telah sekian lama berlangsung. 
 
PAS Zon Klebang katanya, giat melaksanakan pelbagai program bulanan seperti iftar jamaie, bacaan Yaasiin serta program kebajikan sebagai strategi berkesan mengikat kesetiaan dan komitmen ahli terhadap jamaah. 
 
Ironinya ujar beliau, ahli jamaah sentiasa memberi kerjasama yang baik seperti mengumpul dana dan tajaan bagi melancarkan perjalanan program telah dirancang sekali gus memastikan kelangsungan program seumpama akan datang. - HARAKAHDAILY 2/4/2019
20190402 041908