20
Mon, May
28 Artikel Baru

Atasi penculikan kanak-kanak

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan langkah yang diambil bagi mengatasi masalah penculikan kanak-kanak.

Beliau mempersoalkan perkara itu apabila isu penculikan kanak-kanak yang berlaku sangat membimbangkan.

"Saya difahamkan ada dalam kalangan ibu bapa mengatakan bahawa anak-anak mereka didekati individu yang tidak dikenali mengajak menaiki kenderaan," katanya ketika mengemukakan soalan tambahan semasa sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Berhubung perkara itu, beliau mempersoalkan adakah kerajaan akan menempatkan anggota polis di setiap sekolah bagi memantau keselamatan anak-anak terutama ketika balik dari sekolah.

Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato' Mohd Azis Jamman berkata, kementeriannya telah mengambil langkah serius untuk menangani kes perculikan itu dengan penubuhan National Urgent Response (NUR) sebagai sistem amaran awal kehilangan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah yang dianggotai 37 petugas daripada pelbagai kementerian.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Batu Gajah, Sivakumar Varatharaju Naidu meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan statistik kes-kes penculikan kanak-kanak di negara kita sejak 10 tahun yang lalu. Berapakah kes penculikan kanak-kanak yang telah ditangkap dan diselesaikan setakat ini. – HARAKAHDAILY 2/4/2019