19
Fri, Jul
21 Artikel Baru

Pengerusi cemar nama baik SPR

Berita
Typography

KOTA BHARU: Rakyat Kelantan terkejut dengan tohmahan liar yang dilontar Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Harun mengaitkan mereka dengan kelab malam.

Adun Dabong, Ku Mohd Zaki Ku Hussin berkata, kenyataan tersebut menjejaskan nama SPR yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Katanya, sepanjang sejarah SPR intitusi itu tidak pernah dicemari dengan kenyataan bersifat politik tersebut.

“Tidak sepatutnya orang nombor satu dalam SPR mengeluarkan kenyataan yang berbaur penghinaan terhadap rakyat Kelantan.

“Semua orang tahu kehidupan rakyat negeri Cik Siti Kembang itu lebih terkedepan dalam kehidupan beragama dibandingkan negeri lain,” katanya di sini.

Baru-baru ini Pengerusi SPR mendakwa setiap kali pilihan raya 60,000 rakyat balik ke Kelantan untuk mengundi menyokong hudud sedangkan mereka berada di Kuala Lumpur pergi ke kelab malam.

Adun Salor, Saiful Adli Abu Bakar menyifatkan kenyataan penghinaan itu dilakukan sebagai 'ikut sedap mulut', bukannya berpandukan fakta yang jelas.

Menurutnya Azhar tidak sepatutnya bertindakan sedemikian yang memberi gambaran bahawa semua rakyat Kelantan yang berada di perantauan merupakan kaki kelab malam. - HARAKAHDAILY 2/4/2019