26
Sun, May
38 Artikel Baru

Miliki hati ikhlas untuk hidupkan hati mati

Berita
Typography
KEPALA  BATAS: PAS perlu berada di depan memimpin perubahan ummah menerusi peranan para pejuangnya mendekatkan masyarakat Melayu kepada Islam melalui ikatan "berpegang dengan tali Allah".
 
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Hashim Jasin berkata, kesatuan atas prinsip syahadah itu hanya dapat diadakan dengan menghidupkan kembali hati-hati yang mati dalam kalangan umat Islam di negara ini.
 
Perkara tersebut dititipkan beliau semasa berucap menyempurnakan majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kepala Batas Kali Ke-41 di Hotel Seri Malaysia, di sini kelmarin.
 
Namun tegasnya, ahli-ahli PAS yang berkorban berjuang siang dan malam perlu terlebih dahulu memiliki hati dengan niat ikhlas semata kerana Allah untuk dapat menghidupkan kematian sedemikian.
 
Sehubungan itu, beliau menyeru supaya bermuhasabah dalam gerak kerja agar segala amalan, sama ada secara terang mahupun rahsia, dilakukan semata-mata untuk meraih keredaan Allah.
 
Kerana peringatnya, Allah mengetahui rahsia hati hamba-Nya serta menghakimi amalan di Akhirat dalam keadaan Dia telah mengetahui semua yang ada di dalam mahupun di luar hati manusia.
 
Hadir sama pada perasmian tersebut adalah Adun Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah dan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dato' Reezal Merican Naina Merican serta kepimpinan Umno Bahagian Kepala Batas. - HARAKAHDAILY 2/4/2019