18
Thu, Jul
47 Artikel Baru

PAS syor letak SPRM bawah Parlimen

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Dato' Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) mencadangkan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi kuasa dan kebebasan sepenuhnya dengan meletakkan suruhanjaya itu terus di bawah parlimen.

Menurutnya, rasuah yang berlaku hari ini lebih teruk walaupun kerajaan Pakatan Harapan (PH) sehingga kini menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) kononnya dahulu menyekat kebebasan SPRM mengambil tindakan terhadap pemimpin kerajaan pada masa itu.

Dalam nada sinikal, Abdullah memaklumkan, sebelum ini tularnya satu surat daripada seorang menteri kabinet berkenaan apabila pegawainya terlibat dengan rasuah.

Katanya lagi, surat itu berbunyi sangat 'familiar' (diketahui umum).

Tambahnya, sebelum ini sudah ada surat yang sama menyatakan kononnya menteri memberi kebebasan kepada SPRM untuk menjalankan tanggungjawab.

"Ini seolah-olah PH sudah ada 'standard form' setiap kali ada pegawai mereka yang terlibat dengan rasuah, guna surat yang sama menyatakan mereka tidak akan mengganggu pihak SPRM untuk menjalankan siasatan dan sebagainya.

"Selepas daripada surat berkenaan, kebanyakan kes itu hilang entah ke mana, walaupun sebelum daripada ini ditahan dan disiasat. Jadi ini merupakan satu suasana sangat merugikan rakyat," ujarnya.

Katanya, rakyat kini sangat kecewa dengan corak pentadbiran kerajaan PH apabila gagal membasmi masalah rasuah.

Malangnya, tindakan yang dilakukan oleh PH hanyalah membebaskan pemimpin mereka daripada dakwaan rasuah.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2018) 2019 di Dewan Rakyat, hari ini. – HARAKAHDAILY 2/4/2019