26
Sun, May
38 Artikel Baru

Tender: Kontraktor bumiputera resah

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Timbul keresahan dalam kalangan kontraktor bumiputera apabila terdapat isu perubahan secara agresif mengenai status kelayakan tender untuk kontraktor bumiputera.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary berkata, perubahan tersebut berlaku tanpa notis atau pekeliling daripada kementerian yang bertanggungjawab.

"Saya ingin tarik perhatian terhadap dakwaan perubahan ketara dalam sistem perolehan kerajaan yang mana Perolehan Kontrak dan Tender telah berubah daripada status kelayakan Penyertaan Kontraktor Bumiputera kepada Penyertaan Terbuka kepada semua (termasuk bukan bumiputera).

"Secara agresif tanpa notis dan pekeliling makluman daripada kementerian mahupun jabatan. Perkara ini telah dibangkitkan oleh Persatuan Kontraktor Bumiputera," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau menyuarakan sejauh manakah perkara ini berlaku dan mempersoalkan tahap jaminan kerajaan terhadap dasar menggalakkan penglibatan usahawan bumiputera dipertahankan.

"Apakah bukti nyata dasar ini terus diperkukuhkan dalam pemerintahan Pakatan Harapan?" katanya. – HARAKAHDAILY 2/4/2019