20
Mon, May
28 Artikel Baru

Operasi kuari risiko ancaman, status diragui

Berita
Typography
BATU  KAWAN: Aktiviti kuari yang menyebabkan pencemaran udara serta risiko bahaya terhadap keselamatan penduduk tempatan, didapati masih aktif beroperasi walaupun bantahan telah dibuat sejak tahun 2016.
 
Walhal, ketika isu ini dirujuk kepada Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto, beliau mendakwa Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah mengeluarkan notis pengosongan.
 
Demikian itu, timbul kecurigaan sama ada syarikat berkenaan sedang menjalankan kerja-kerja kuari tersebut secara haram atau pihak berkuasa bersikap 'menutup telinga dan mata' terhadap bantahan digemakan.
 
Bertindak atas aduan penduduk, Pemuda PAS telah turun mengadakan tinjauan lokasi dan mendapati aktiviti kuari yang didakwa itu masih aktif beroperasi berhampiran perumahan Taman Merpati, di sini.
 
Tinjauan oleh Ketua Pemuda PAS Kawasan Batu Kawan, Mohd Kamil Halim dan Ketua Penerangan PAS Negeri Pulau Pinang, Ahmad Safuan Ujar itu juga telah turun melihat dua lagi kawasan kuari berdekatan. 
 
Bagaimanapun didapati operasinya telah dihentikan, namun telah ditinggalkan begitu sahaja tanpa penyelenggaraan sewajarnya iaitu kawasan kuari di Kampung Masjid dan Jeti Batu Musang.
 
Menurut Safuan, operasi kuari yang masih aktif itu bukan sahaja memberi kesan terhadap kesihatan berikutan pencemaran udara terhasil, bahkan juga ke atas keselamatan dari kerja-kerja letupan dijalankan sebelum ini.
 
Jelasnya, walaupun kini sudah tidak lagi kedengaran bunyi letupan yang mengganggu kedamaian penduduk serta beberapa sekolah berdekatan, namun isu keselamatan masih berisiko berlaku.
 
Terang beliau, jentera dan kenderaan berat yang turut menggunakan jalan raya utama bagi mengangkut bahan kuari itu sendiri boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya terutamanya.
 
Malah turut dikesali pihaknya, kuari ditinggalkan pula terbiar tanpa baik pulih kembali terhadap ekosistem alam sekitar bukit yang telah dimusnahkan di mana dikhuatiri menjadi ancaman bencana alam.
 
Sehubungan itu, Pemuda PAS mendesak Kasthuriraani, Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Seberang Perai dan Jabatan Alam Sekitar serta PDC segera menutup operasi kuari tersebut.
 
Usaha tersebut jelas mereka, amat perlu selaras dasar Kerajaan Pulau Pinang menjadikan negeri ini bersih dan alam sekitarnya hijau dan mampan, serta selamat didiami dengan mempunyai masyarakat serta persekitaran sihat.
 
Turut serta dalam tinjauan itu adalah Exco Pemuda PAS Pulau Pinang, Hafiz Alias dan Solehin Abu Bakar bersama Exco Pemuda PAS Batu Kawan, Fakiruddin Idris dan Nizar Ahmad Tajudin. - HARAKAHDAILY 3/4/2019
IMG 20190402 WA0065