21
Sat, Sep
42 Artikel Baru

PRK Rantau: BN-PAS akan hasil 'catatan hatrik'

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Kematangan yang semakin diperlihatkan oleh penyokong serta pendukung BN dan PAS diyakini menjadi faktor untuk menghasilkan 'catatan hatrik' kemenangan pada PRK N.27 Rantau.

Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau secara jujur melihat pada peringkat awal 'eksperimen' tersebut tidak berjaya di PRK Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia.

Namun pujinya, penyokong kedua pihak sudah semakin menyerap perbezaan dengan realiti politik semasa hingga menyaksikan kejayaan diraih pada PRK Cameron Highlands dan diikuti di Semenyih kemudiannya.

Perkara tersebut dinyatakan beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas pada Wacana Sinar Harian. Ke-99 bertajuk "PAS-Umno bergabung: Apa kesan demografi politik" di Dewan Karangkraf, Shah Alam, semalam.

Menurutnya, usaha-usaha berkaitan sudah sampai kemuncak yang mematangkan penyokong kedua pihak dan percaya jika berlaku PRK di manapun, penerimaan sama akan saling berlaku antara PAS dan BN.

PAS sendiri kemukanya, lebih awal menzahirkan kematangan berpolitik sebagaimana sejarah menyertai BN tahun 1973, sedangkan sebelum itu ramai ulamak dan aktivis PAS ditangkap ISA besar-besaran.

Begitu juga katanya, PAS dalam sejarahnya mengadakan rundingan politik dengan banyak pihak termasuk DAP walaupun tidak bergabung, termasuk bersama, juga dengan Semangat 46, PKR dan lain-lain.

Malah PAS ujarnya, pernah menobatkan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri dan mengeluarkan sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, tanpa menggadai dasar dan prinsipnya.

Bsgitu juga menurutnya, Umno kini melalui fasa kematangan selepas diuji kekalahan dalam sejarah pilihan raya dan mengolah pendekatan politiknya yang semakin berbeza serta sederhana. - HARAKAHDAILY 3/4/2019