19
Fri, Jul
21 Artikel Baru

Sebar berita palsu juga jenayah siber

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, penyebaran berita palsu juga boleh dianggap sebagai jenayah siber selain daripada serangan kepada protokol internet, virus dan sebagainya.

Katanya, tindakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia sebelum ini menubuhkan jawatankuasa membanteras jenayah siber adalah selari dengan tindakan beberapa buah negara yang telah menubuhkan jawatankuasa khusus untuk menangani jenayah siber.

Sehubungan itu, beliau meminta penjelasan daripada Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berhubung tindakan kerajaan memansuhkan akta antiberita tidak benar merupakan langkah mundur ke belakang.

"Tidakkah kerajaan berasa bahawa pemansuhan akta anti berita tidak benar merupakan salah satu langkah mundur ke belakang dalam menangani jenayah siber?" soalnya ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan tersebut, Wan Azizah berkata, terdapat mekanisma lain yang boleh menangani jenayah berita tidak benar tanpa mewujudkan akta yang baharu, malah akta yang sedia ada boleh digunakan.

Fadhli dalam soalan asal meminta Perdana Menteri menjelaskan apakah usaha kementerian dalam membendung ancaman siber yang boleh menggugat kedaulatan negara jika tidak ada langkah-langkah yang proaktif dilakukan. – HARAKAHDAILY 3/4/2019