26
Sun, May
38 Artikel Baru

UEC: Pejuang bahasa, pendidikan sokong Tun M

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Pejuang bahasa dan pendidikan menyambut baik ketegasan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) hanya boleh diputuskan oleh kerajaan.

Menurut Ketua Eksekutif Mappim, Mohd Zai Mustafa, pendirian Tun Mahathir mengenai pengiktirafan UEC timbul selepas pertemuan semalam, antara tokoh bahasa terkemuka dan persatuan pendidikan dengan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di pejabat Kementerian Dalam Negeri, di Putrajaya.

Pertemuan tersebut dibuat selepas media melaporkan Peguam Negara Tommy Thomas, sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa kelayakan UEC pada tahap Senior Middle 3 boleh diterima sebagai memenuhi syarat kelayakan di peringkat STPM bagi tujuan menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) mulai 2021.

Lebih-lebih lagi, Menteri Pendidikan masih menjalankan kajian ke atas sijil UEC, sungguhpun begitu Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Cheng telah diingatkan tidak wajar mengeluarkan kenyataan bahawa kementeriannya telah mengiktiraf UEC.

Pengumuman tersebut mendapat bantahan daripada tokoh pejuang bahasa, tokoh pendidikan dan pertubuhan badan pendidikan.

Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) Prof Datuk Dr Awang Sariyan berkata, terdapat hujah dan alasan konkrit menyebabkan UEC perlu dibantah.

Katanya dalam satu kenyataan yang turut terlibat dalam pertemuan tersebut, pengiktirafan UEC akan mewujudkan sijil substandard yang mencacatkan mutu penilaian dan penaksiran pendidikan negara yang dikendalikan oleh Lembaga Pendidikan Malaysia dan Majlis Peperiksaan Malaysia.

"UEC ialah sijil yang dikeluarkan oleh badan persendirian yang tidak jelas kokurikulumnya, latihan gurunya, kaedah pengajarannya, mutu peperiksaannya dan lain-lain.

"Sijil ini dikendalikan oleh sebuah badan yang sejarah awalnya berkiblat ke Taiwan dan hingga kini tidak jelas, adakah sistem, kokurikulum, latihan guru, buku teks dan sebagainya selaras dengan ciri-ciri kenegaraan Malaysia," katanya.

Malah katanya, pengiktirafan UEC mewujudkan persaingan tidak wajar dalam peluang pengajian tinggi dan pekerjaan kepada lepasan sekolah menengah kebangsaan yang menurut acuan kenegaraan.

Antara pertubuhan yang menemui Muhyiddin semalam adalah PLM, MPM, Gapena, ASASI, PENA, Abim, Teras, Mappim dan PKPIM. – HARAKAHDAILY 4/4/2019