26
Sun, May
38 Artikel Baru

Marzuk dedah isu kontraktor bumiputera di Medan Ilmu

Ahmad Marzuk Shaary dedah isu kontraktor bumiputera di Medan Ilmu.

Berita
Typography

KOTA BHARU: Setelah gagal mendedahkan bukti di parlimen, hari ini ahli parlimen Pengkalan Chepa Ustaz Ahmad Marzuk Shaary ‘membongkar’ pula di Medan Ilmu.

Katanya, pada persidangan parlimen baru-baru ini beliau tidak dibenarkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan bukti kontraktor bumiputera sekarang teraniaya.

“Pada persidangan parlimen saya tidak dibenarkan mendedahkan kontraktor bumiputera teraniaya dengan polisi baharu kerajaan Pakatan Harapan.

“Kami ingin membela nasib golongan kontraktor bumiputera di mana sekarang mereka terpaksa bersaing dengan kontraktor besar kerana dasar tender terbuka,” katanya di sini.

Pada Selasa lepas, Ahmad Marzuk diarah keluar daripada persidangan parlimen selama dua hari selepas menyebut perkataan 'pondan' terhadap Menteri Kewangan.

Berikutan itu penyokong kerajaan mendesak ahli parlimen PAS terbabit menarik balik perkataan pondan terhadap Guan Eng.

Kemudian Ahmad Marzuk cuba membetulkan dengan perkataan ‘macam pondan’.

Namun Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Dato’ Mohd Rashid Hasnon membuat keputusan mengikut Perkara 44 (2) Peraturan Mesyuarat mengarahkan ahli parlimen terbabit keluar dewan kerana enggan menarik perkataan pondan.

Isu terbabit menjadi gamat ketika penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2018) 2019 di mana Marzuk membangkitkan isu tender terbuka yang dianggap merupakan agenda mengelapkan masa depan kontraktor Bumiputera.

Ahmad Marzuk juga berkata, sebelum ini tender di bawah RM200,000 diberi kepada khas bumiputera yang memiliki lesen kontraktor bumiputera. - HARAKAHDAILY 5/4/2019