18
Thu, Jul
47 Artikel Baru

Taawun: Bimbang peringkat awal

Berita
Typography

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin mendedahkan pada peringkat awal beliau begitu bimbang taawun parti itu dengan Umno.

Katanya, kebimbangan paling dikhuatiri kerjasama itu tidak dapat diterima akar umbi PAS.

"Pada muktamar lepas di Kuala Terengganu saya cuba mengintai suasana yang berlaku di Muktamar Dewan Muslimat.

"Takut takut ada perwakilan tidak boleh menerima kerjasama dengan Umno. Namun Alhamdulillah jangkaan saya tidak berlaku.

"Begitu juga saya meninjau muktamar Dewan Pemuda bagi melihat perbahasan isu tersebut, namun alhamdullilah semua cukup matang boleh menerima kerjasama tersebut," katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan muktamar PAS Kota Bharu kali ke-52 di Dewab Jubli Perak MPKB-BRI.

Hadir sama Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Dato’ Takiyuddin Hassan, timbalannya, Dato’ Dr Ramli Mamat, naibnya, Dato’ Anuar Tan Abdullah dan Ketua Muslimat Rohani Ibrahim.

Tuan Guru Hashim juga berkata kerjasama itu atas dasar memberi manfaat kepada Islam.

Menurutnya juga, parti itu memberi sokongan kepada kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad buat masa sekarang kerana ketegasan perdana menteri dalam isu berkaitan Rome Statut dan ICERD.

"PAS memilih pemimpin yang mampu memberi mudarat yang minimum kepada Islam dan negara seperti yang berlaku sekarang," katanya.

Sempena mesyuarat agung itu Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) menyerah 336 borang keahlian baru kepada Mursyidul Am.

Borang permohonan itu diserah Ketua DHPP Kelantan, Lim Guan Seng. – HARAKAHDAILY 6/4/2019

kb