18
Thu, Jul
47 Artikel Baru

'Tok Mat menang' tidak mudah, balik mengundi

Berita
Typography

SEREMBAN: Calon Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun N.27 Rantau, Dato' Seri Mohamad Hasan atau lebih dikenali sebagai Tok Mat tidak ambil mudah usaha untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Beliau tidak memandang remeh persaingan empat penjuru tersebut walaupun ramai meletakkan keyakinan tinggi bahawa Tok Mat bakal menyandang kerusi Dun Rantau sekali lagi.

Katanya, apa yang yang membimbangkan beliau kini adalah sekiranya pengundi luar terlalu yakin dan mengambil mudah dengan PRK kali ini, lalu membuat keputusan untuk tidak pulang menunaikan tanggungjawab pada 13 April ini.

Disebabkan hal itu, beliau bersungguh-sungguh memohon agar jentera parti supaya bekerja keras memastikan pengundi luar pulang ke Rantau untuk menjalankan tanggungjawab mengundi.

Beliau mengakui pengundi Melayu merupakan tumpuan utama pada PRK Rantau.

"Kita memerlukan 8,000 undi Melayu untuk selamat. Saya tahu susah, tapi tak mustahil. Apa yang saya bimbang, orang pandang ringan PRK, mereka yakin 'Tok Mat menang', 'Tok Mat menang' kemudian kata tak payah balik dah.

Jadi kita perlu bekerja lebih kuat, serta perlu berhati-hati," ujarnya ketika bertemu para petugas BN bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Sega, malam tadi.

Dalam PRK kali ini, Tok Mat berkemungkinan mengalami kesukaran mengenal pasti pengundi Dun Rantau memandangkan pilihan raya umum (PRU) lalu beliau menang tanpa bertanding selepas lawannya Dr S Streram daripada PKR dilarang masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

PRK Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi Dun berkenaan pada PRU14 lalu terbatal dan tidak sah.

Pada PRK Rantau ini, Mohamad ditentang oleh Dr Streram a/l Sinnasamy (PH) serta dua calon Bebas, Malarvizhi A/P M Rajaram dan Mohd Nor Yassin.

SPR menetapkan hari mengundi PRK Rantau pada 13 April manakala pengundian awal 9 April. – HARAKAHDAILY 7/4/2019

sega1