19
Fri, Jul
21 Artikel Baru

Bukan Islam kenali PAS lebih dekat

Berita
Typography

AMPANG: Program ‘National Unity Dinner’ anjuran Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Pemuda PAS Malaysia diadakan untuk mendekati dan berdiskusi dengan badan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam.

Program itu bertujuan untuk hadirin menyatakan pandangan dan persoalan tentang PAS yang sebelum ini pelbagai persepsi buruk dilabelkan.

Dalam masa yang sama membuka ruang kepada orang bukan Islam mengenali lebih dekat Islam yang diperjuangkan oleh PAS dan pendirian parti itu terhadap kepentingan kaum bukan Islam.

Menurut Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari PAS sentiasa menitikberatkan hak semua kaum dan tidak sesekali meminggirkan kaum bukan Islam.

“PAS bukan Taliban seperti yang dikatakan. Kita menerima kepelbagaian kaum malah di Kelantan orang bukan Islam boleh hidup aman dan harmoni, kuil-kuil tidak diganggu,” katanya.

Menyatakan pandangan yang sama, Timbalan Pengerusi Biro Solidariti (Perpaduan) Nasional PAS Pusat, Dr Halimah Ali berkata, dalam buku Perlembagaan PAS ada menyatakan dengan jelas jaminan PAS terhadap kaum bukan Islam akan terpelihara.

Pengarah program merangkap Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohammad Arifiriazul Paijo, berkata program itu merupakan permulaan bagi mendekati dan mendapatkan sudut pandang daripada kaum bukan Islam dan golongan profesional terhadap PAS.

“Insya-Allah kita akan adakan program seumpama ini lebih besar lagi pada masa-masa akan datang khususnya untuk NGO-NGO bukan Islam supaya kita boleh memberi tawaran yang komprehensif kepada mereka dalam usaha untuk kita memerintah Malaysia di masa akan datang,” katanya pada program yang dianjurkan dengan kerjasama Lajnah Perpaduan National Dewan Pemuda PAS Selangor di Kelab Darul Ehsan, di sini malam tadi.

Hadirin yang hadir meliputi pelbagai latar belakang antaranya parti politik seperti parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), BERJASA, MIC, MCA termasuk beberapa NGO antaranya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), NGO dakwah, NGO bukan Islam serta golongan profesional. – HARAKAHDAILY 7/4/2019