18
Thu, Jul
47 Artikel Baru

Perlu penjelasan hibah TH 1.25%

Berita
Typography

KOTA BHARU: Tabung Haji (TH) perlu memberi penjelasan segera kepada rakyat mengenai pengagihan hibah sebanyak 1.25 peratus.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata, penjelasan itu amat penting bagi mengelak andaian negatif dalam kalangan masyarakat khususnya pendeposit.

Katanya, apa lagi peratus hibah itu paling rendah dalam sejarah institusi tersebut berbanding sebelumnya.

Beliau berkata, agihan bonus itu sudah tentu mengejutkan 9.3 juta pendeposit TH.

"Kita pun rasa amat terkilan sebab selama ini tidak pernah terima serendah ini.

"Rakyat perlu diberi pendedahan sebaiknya berhubung perkara itu pada rakyat khususnya pada pendeposit," katanya selepas merasmikan Seminar Hala Tuju Industri Mineral Negeri Kelantan di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai dakwaan agihan rendah itu akibat usaha pihak tertentu untuk melemahkan institusi kewangan Islam, beliau berkata, andaian sebegitu hanya boleh ditangkis jika penjelasan diberikan kepada rakyat.

"Kita perlu melihat perkara ini secara keseluruhan sebab-sebabnya kenapa ianya berlaku," ujarnya.

Tambahnya, kerana itu penjelasan yang teliti perlu supaya tidak ada andaian sebegitu. – HARAKAHDAILY 7/4/2019