26
Fri, Apr
15 Artikel Baru

Lori ahli PAS selamatkan ceramah Tok Mat

Berita
Typography

SEREMBAN: Suasana panik akibat 'blackout' semasa ceramah calon BN Dun Rantau, Dato' Seri Mohamad Hasan di Kampung Sega malam tadi akhirnya tenang apabila lori pentas milik ahli PAS Pendang jadi penyelamat.

mat saparTindakan pantas pemilik lori Mat Sapar Mat, 62, mengambil lorinya yang diparkir tidak jauh dari program tersebut menerujakan banyak pihak sekali gus beliau menerima ucapan penghargaan daripada calon BN dan ahli-ahli pimpinan tertinggi Umno.

"Bekalan elektrik terputus jadi saya tawarkan lori pentas saya sebagai pentas sementara menanti bekalan elektrik kembali pulih.

"Sempat orang Umno gunakan alatan di atas pentas ini iaitu generator untuk meneruskan ceramah mereka selama lima belas minit.

"Kita (PAS) tak mampu macam orang Umno ada khemah sebagainya nak buat ceramah, kita buat ikut kemampuan kita dan lori ini sebahagian kemampuan kita," katanya kepada Harakahdaily.

Usia lori pentas Mat Sapar yang menjengah 22 tahun telah banyak membantu dan berkhidmat selama hampir sebelas tahun kepada beliau khususnya kepada PAS.

Ayah kepada lapan cahaya mata ini tidak pernah gentar menempuh perjalanan jauh dari Pendang ke Rantau bersendirian memandu lorinya demi berkhidmat kepada parti.

Tindakan beliau bukan hanya mengharumkan nama PAS malah pengorbanannya itu menggamit penduduk Rantau yang kagum dengan warga emas ini yang tinggi ciri-ciri nilai pengorbanan demi Islam.

Pemerhatian Harakahdaily selepas majlis beransur, beliau didatangi oleh pelbagai lapisan generasi Umno memberikan penghargaan dan mengucapkan ribuan terima kasih atas jasanya itu termasuk Tok Mat.

"Dulu memang lori pentas ini saya guna untuk kita menentang kezaliman BN.

"Tapi suasana hari ini berbeza, kita patuh pada pendirian pimpinan, demi penyatuan ummah dan Islam untuk menolak mudarat besar. Kalau kita bersendirian memang kita tak boleh menang,” ujarnya.

Kepakaran beliau sebagai tukang besi dimanfaatkan untuk mengubah suai lorinya menjadi sebuah ‘harta’ yang bermanfaat untuk diinfakkan ke jalan fisabilillah.

Katanya, pentas bergeraknya itu pernah dinaiki oleh pelbagai pimpinan termasuk menteri kabinet kerajaan Pakatan Harapan antaranya Dr Wan Azizah Ismail, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan ramai lagi.

Lebih seminggu Mat Sapar yang juga Ketua Penerangan Assabiqun PAS Kedah berkampung di Rantau membantu kempen Tok Mat, turut tidak ketinggalan lorinya itu juga digunakan semasa kempen PRK Cameron Highlands dan PRK Semenyih.

"Lori pentas ini jadi lori siar raya pada hari siang, kita buat pengumuman, maklum maklumat dan sebagainya," katanya yang menyifatkan pendekatannya itu mampu mengeratkan ukhuwah penyatuan ummah demi Islam. – HARAKAHDAILY 10/4/2019

lori1