19
Fri, Jul
46 Artikel Baru

Biar saya masuk sidang dewan - Tok Mat

Berita
Typography

SEREMBAN: Tindakan terdesak Pakatan Harapan (PH) menuduh Negeri Sembilan sebagai sebuah negeri miskin semasa Dato' Seri Mohamad Hasan menerajuinya adalah satu penghinaan kepada rakyat negeri Adat Perpatih ini.

Mohamad atau mesra dengan panggiln Tok Mat berkata, sebelum kerajaan negeri diambil alih oleh kerajaan Pakatan Harapan, beliau telah meninggalkan rizab kerajaan sejumlah RM764 juta manakala beberapa projek untuk pembangunan negeri itu sedang rancak berjalan.

Walau bagaimanapun keadaan hari ini berlaku sebaliknya apabila peruntukan untuk warga emas sepi tiada khabar dan beberapa projek pembangunan telah terbengkalai kerana dibatalkan oleh kerajaan PH Negeri Sembilan.

Bekas Menteri Besar itu berkata, paling mengecewakan apabila perancangannya untuk memodenkan negeri ini bagi tempoh 30 tahun dari 2015 hingga 2045 tidak diteruskan oleh PH.

"Saya dah buat Negeri Sembilan ini mantap dengan dasar jaringan sosial untuk bantu semua lapisan masyarakat di negeri ini.

"Baru-baru ini semasa turun kempen, saya jumpa makcik-makcik India menangis, dia kata bantuan kebajikan untuknya telah dipotong sejak empat, lima bulan lalu.

"Apa pasal? Saya tinggalkan Negeri Sembilan banyak duit, rizab Negeri Sembilan saya tinggalkan sebanyak RM764 juta," katanya.

Tok Mat yang juga calon BN untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau mempersoalkan sama ada tindakan PH Negeri Sembilan bertindak sedemikian kerana meletakkan satu stigma bahawa projek BN yang dulu mesti dihentikan walaupun hal itu baik untuk rakyat.

"Biar saya masuk ke dalam sidang dewan negeri, saya nak 'goreng' mereka cukup-cukup. Saya tahu hujung pangkal hulu ke hilir Negeri Sembilan.

"Saya tahu (kedudukan) kewangan negeri ini macam mana. Ada macam-macam janji oleh mereka. Macam-macam saya nak tanya pada mereka.

"Jangan lupa 13 (April) ini jangan lupa undi saya," ucap Tok Mat.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira lebih 200 penduduk Kampung Sega ketika berkempen di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Sega, malam tadi..

Hadir sama pada malam tersebut, AJK PAS Pusat, Ustaz Abdullah Hussin, Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Kamarudin Sidek, Adun (PAS) Guar Sanji, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim dan beberapa pimpinan utama tertinggi Umno dan BN. – HARAKAHDAILY 10/4/2019