19
Fri, Jul
46 Artikel Baru

Penduduk bantah pemaju halang berniaga

Penduduk membantah pemaju membina halangan tempat mereka berniaga.

Berita
Typography

KOTA BHARU: Peniaga kecil yang bergabung di bawah Komuniti Peniaga Kecil Masjid Maulana al Khurasan membantah tindakan pemaju memasang besi binaan bagi menghalang mereka berniaga di Lembah Sireh.

Pengerusinya, Mat Hassan Daud berkata, lokasi itu dianggap di bawah pengurusan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dan tiada kaitan dengan pemaju Bandar Baharu Lembah Sireh.

Lagi pun katanya, MPKB BRI memberi kebenaran mereka berniaga melalui surat bertarikh 28 Februari lalu.

"Mereka (pemaju) mendakwa kawasan ini dalam kawasan mereka yang akan dibangunkan, sedangkan mengikut pelan bangunan sahaja milik mereka dan jalan di bawah MPKB BRI," katanya di sini hari ini.

Mat Hassan mewakili 60 peniaga yang bernaung di bawah Komuniti Peniaga Kecil Masjid Maulana al Khurasan berhimpun membantah tindakan pemaju memasang besi binaan di lokasi terbabit.

Lokasi itu terletak berhampiran Kolej Poly-Tech MARA dan tidak jauh daripada Kampung Sireh.

Beliau juga mendakwa peniaga yang menjalankan perniagaan di situ sebelum ini pernah menerima ugutan pihak tertentu supaya menghentikan perniagaan.

"Kita berniaga di sini selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan, tetapi selepas sebulan menjalankan perniagaan, kami menerima ugutan supaya menghentikan.

“Dan akhirnya pihak terbabit memasang besi bagi menghalang penduduk mencari rezeki dengan berjualan secara kecil-kecilan,” ujarnya.

Kata beliau juga sebahagian besar peniaga kebanyakan anak petani yang terlibat dengan pengambilan tanah di Lembah Sireh.

Berdasar perjanjian pada 2002 pemaju menjanjikan membina gerai untuk petani yang terlibat. Kawasan itu sebelum ini merupakan lokasi pertanian yang diusahakan penduduk Kampung Sireh.

Mat Hassan juga berkata, berikutan kegagalan pemaju menyediakan gerai perniagaan kepada anak petani menyebabkan Komuniti Peniaga Kecil mengambil inisiatif mengutip dana bagi menambung tanah dan memasang paip air.

"Kami merupakan penduduk tempatan yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan sekitar Tecso sebelum ini," katanya.

Beliau juga berharap MPKB-BRI menyelesaikan segera masalah tersebut bagi membolehkan penduduk mencari rezeki tanpa gangguan. - HARAKAHDAILY 10/4/2019