19
Fri, Jul
47 Artikel Baru

Lantikan Menteri Besar bukan kuasa mutlak Sultan

Berita
Typography
SEHUBUNGAN dengan isu pelantikan Menteri Besar Johor baru yang sedang hangat diperkatakan sekarang, fakta-fakta yang ada di hadapan saya menunjukkan bahawa pandangan beberapa pihak kononnya pelantikan seseorang Menteri Besar adalah berada di bawah kuasa mutlak Sultan Johor atau Raja-Raja Melayu yang lain adalah tidak benar.
 
Laporan Suruhanjaya Reid yang menggubal Perlembagaan negara waktu merdeka pada tahun 1957 dahulu mengakui pada perenggan 177 bahawa perlembagaan-perlembagaan negeri seperti Perlembagaan Johor 1895 dan Perlembagaan Terengganu 1911 memperuntukkan pelantikan Menteri Besar oleh Sultan dan pertanggungjawaban beliau kepada Sultan. 
 
Keadaan ini menyebabkan Suruhanjaya Reid menganggap Raja-Raja Melayu waktu itu sebagai Raja-Raja tidak berperlembagaan dalam konteks kerajaan demokrasi berparlimen yang perlu diubah kepada Raja-Raja berperlembagaan dengan kuasa terbatas, iaitu tertakluk kepada nasihat Menteri Besar yang bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri.
 
Sebab itulah dalam perlembagaan-perlembagaan negeri sekarang ada peruntukan tetap yang menyebut bahawa “Raja boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melantik seorang Menteri Besar” dan bahawa lantikan itu hendaklah daripada “seorang Ahli Dewan Undangan yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan itu”.
 
Dan peruntukan inilah yang ada dalam Perkara 4(2)(a) Perlembagaan Johor, dan dalam perlembagaan-perlembagaan negeri lain, iaitu bahawa “the Ruler shall first appoint as Mentri Besar to preside over the Executive Council a member of the Legislative Assembly who in his judgment is likely to command the confidence of the majority of the members of the Assembly”.
 
Walaupun telah pernah berlaku beberapa insiden dalam mana Raja-Raja Melayu melantik seorang Menteri Besar yang tidak mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan itu, belum ada apa-apa cabaran di mahkamah ke atasnya walaupun ada ura-ura mengenainya dalam insiden lantikan Dato' Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar Perlis selepas PRU14.
 
Begitupun, Sultan Azlan Shah sewaktu masih menjadi Ketua Hakim Negara pernah memberikan pandangan mengenai perkara ini dalam tulisan beliau yang mula-mula disiarkan dalam JMCL [1982] 103-118 dan yang kemudiannya disiarkan dalam buku Trindade & Lee pada tahun 1986 dan dalam buku koleksi tulisan dan ucapan Baginda pada tahun 2004.
 
Dalam tulisan bertajuk “The Role of Constitutional Rulers” ini, Baginda menyebut bahawa, walaupun Raja mempunyai budi bicara dalam melantik Menteri Besar, bila parti yang memperolehi majoriti dalam PRU mencalonkan salah seorang Ahli Dewan Undangannya sebagai Menteri Besar, Raja tidak mempunyai pilihan lain selain untuk melantik beliau.
 
Tegas Baginda, jika seseorang Raja mengenepikan hasrat parti dan melantik Ahli Dewan Undangan lain yang tidak mampu mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan itu, ini boleh membawa kepada timbulnya undi tidak percaya ke atas beliau yang akan menyebabkan Raja itu sama ada melantik ahli lain atau membubarkan Dewan Undangan.
 
Malah, Baginda selaku Yang di-Pertuan Agong IX bersama-sama Raja-Raja Melayu lain sebenarnya telah membuat perisytiharan mengenai perkara ini, bersama-sama 9 perkara lain, “untuk mengelakkan sebarang salah tafsiran mengenai kedaulatan, hak kedaulatan, kuasa dan bidang kuasa”, dalam Perisytiharan Prinsip-Prinsip Perlembagaan bertarikh 4 Julai 1992.
 
Berhubung soal “Pelantikan Menteri Besar” (“Appointment Of Menteri Besar”), Yang di-Pertuan Agong IX bersama-sama Raja-Raja Melayu lain mengisytiharkan bahawa:
 
(1)    “Selaras dengan Perlembagaan Negeri, kita memperkenankan pencalonan seorang yang mendapat kepercayaan sebilangan ahli-ahli dalam Dewan Undangan Negeri sebagai Menteri Besar” (“In accordance with the State Constitution, we shall accept the nomination of a person who commands the confidence of the majority of the members of the Legislative Assembly as the Menteri Besar”).
 
(2)    “Sekiranya tidak ada parti yang mendapat majoriti yang jelas di dalam Dewan Undangan Negeri, kita hendaklah menggunakan budi bicara kita dalam pelantikan tersebut selaras dengan prinsip-prinsip tertentu” (“Where no party has a clear majority in the Legislative Assembly, we shall exercise our own discretion in such appointment in accordance with accepted constitutional principles”).
 
(3)    “Apabila kita tidak puas hati di atas kesesuaian orang yang dicalonkan sebagai Menteri Besar, kita boleh merujuk pencalonan tersebut bagi dipertimbangkan semula oleh pemimpin parti berkenaan untuk keputusan muktamad” (“When we have any reservation as to the suitability of any person nominated as Menteri Besar, we may refer the nomination for reconsideration by the leader of the appropriate party for a final decision”).
 
Lebih baharu adalah pandangan anakanda kepada Sultan Azlan Shah, Sultan Nazrin Shah, yang kini merupakan Raja Perak, yang menyebut dalam satu syarahan umum anjuran Institute Of Southeast Asian Studies, Singapura, pada 27 Julai 2004 “The Monarchy in Contemporary Malaysia” bahawa Raja-Raja melantik (tetapi tidak memilih) Menteri Besar.
 
Berdasarkan kepada fakta-fakta ini maka jelaslah bahawa adalah tidak benar kononnya pelantikan seseorang Menteri Besar adalah berada di bawah kuasa mutlak Sultan Johor atau Raja-Raja Melayu yang lain atau kononnya pencalonan seseorang Menteri Besar memerlukan parti yang memperolehi majoriti dalam PRU mencalonkan lebih daripada seorang nama.
 
Budi bicara ini hanya timbul dalam keadaan di mana tidak ada parti yang mendapat majoriti yang jelas di dalam Dewan Undangan Negeri, begitu juga bila terdapat ketidakpuasan hati di atas kesesuaian orang yang dicalonkan sebagai Menteri Besar yang membolehkan ia dirujuk bagi dipertimbangkan semula oleh pemimpin parti berkenaan untuk keputusan muktamad.
 
Hakikat bahawa telah pernah berlaku beberapa insiden dalam mana Raja-Raja Melayu melantik seorang Menteri Besar yang tidak mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan itu atau meminta parti yang memperolehi majoriti dalam PRU mencalonkan lebih daripada seorang nama tidak boleh digunakan sebagai hujah untuk melegitimasikannya.
 
Saya tidak bersetuju dengan sebarang cubaan untuk merendahkan martabat, menjejaskan kedudukan atau mengabaikan peranan Raja-Raja Melayu, dan saya juga berbeza dalam banyak perkara dengan mereka yang turut lantang memperkatakan perkara ini, tetapi dalam perkara ini saya tidak ragu-ragu untuk bersama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Konsep kuasa mutlak bukan sahaja tidak dapat dipertahankan dari sudut perlembagaan dan undang-undang negara tetapi juga tidak dapat dipertahankan dari sudut agama.
 
DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF - HARAKAHDAILY 11/4/2019